22amanat
ALOR SETAR 22 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah hari ini melancarkan Amanat 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar dengan menggariskan lebih 27 agenda khusus membabitkan hala tuju kerajaan negeri ke arah pembangunan Kedah.
Berpaksikan konsep Muafakat Kedah, menurut Ahmad Bashah, pelbagai dasar yang diperkenalkan bukan sahaja menjadi pelan gerak kerja untuk dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi memetakan perjalanan Kedah dalam jangka panjang.
Sehubungan itu katanya, tiga fokus menjadi keutamaan dasar kerajaan negeri yang boleh dicapai secara realistik.
“Pertama, agenda memenuhi keperluan anak muda, termasuklah peluang pekerjaan, latihan, rekreasi, gilapan potensi dan minat.
“Keduanya, merencana peluang pendapatan tambahan untuk rak­yat selain mensejahterakan keper­luan hidup mereka dan yang ketiga, membangun modal insan sebagai pewaris masa depan negeri de­ngan tumpuan diberi terhadap dua bidang iaitu pendidikan agama dan juga sahsiah diri melalui semangat kesukarelaan dan jati diri,” katanya ketika melancarkan majlis ber­kenaan yang turut dihadiri barisan Exco serta lebih 2,000 jemputan di Dewan Seri Negeri Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Dalam jangka panjang pula katanya, dua misi khusus ditetapkan iaitu memacu ekonomi dan juga membentuk keadilan sosial dalam kalangan kaum.
“Ia merupakan satu polisi yang perlu dijana secara konsisten, melalui perancangan teliti dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Tambah beliau, ke arah pembangunan ekonomi negeri, kerajaan negeri memberi jaminan akan melaksanakan projek mega yang dirancang seperti Bandar Raya Getah di Padang Terap yang menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM417 juta dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam bernilai RM78 juta.
“Ini menjadikan ekonomi setempat menerima kesan limpahan dengan manfaat untuk semua. Projek berskala besar seperti KXP, Kedah Aerocity dan Taman Warisan Lembah Bujang akan diteruskan.
“Begitu juga dengan ranca­ngan pembinaan litar lumba rakyat yang dimuktamadkan tahun ini akan dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, empat elemen muafakat yang digariskan untuk menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah Muafakat Sosial dan
Kemasyarakatan, Muafakat Pen­tadbiran, Muafakat Ekonomi dan Muafakat Politik.
“Dasar pentadbiran yang diguna pakai untuk semua baik pejabat Menteri Besar, Exco dan seluruh agensi serta jabatan kerajaan di Kedah mesti berpaksikan ‘merakyatkan perkhidmatan’ dan mendemokrasikan pentadbiran. Jangan ada banyak kerenah birokrasi, syarat yang menyusahkan dan khidmat diberikan kepada rakyat mestilah bersifat ‘kasual’,” tambah beliau.
Pada majlis yang sama, Ahmad Bashah turut mengumumkan beberapa insentif untuk rakyat ne­geri ini termasuk khidmat percuma Wifi yang boleh diakses di tempat tumpuan awam dengan dimulakan di Taman Jubli Emas sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
“Aplikasi Kedah Apps turut dilancarkan secara rasmi pada hari ini yang memaparkan informasi tentang aktiviti saya dan seluruh Exco. Selain sebarang aduan berhubung pelbagai isu boleh di­salurkan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas itu kata Ahmad Bashah, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa induk untuk memastikan semua agenda yang dirancang dilaksanakan.
“Banyak yang perlu dibuat namun saya yakin hubungan baik bersama pegawai tadbir negeri (KCS) kita akan laksanakan apa yang dibawakan dalam amanat itu,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan


22pasar
ALOR SETAR 22 Mei – Kerajaan Kedah berhasrat mengembangkan perniagaan usahawan Mara dengan memasarkan produk mereka ke Selatan Thailand.
Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, ia adalah usaha menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia khususnya Kedah selain memperkenalkan produk usahawan tempatan.
“Dua bulan lalu saya melancarkan Festival Thai yang membawa produk Thailand ke Malaysia dan saya tertanya-tanya adakah Malaysia juga mempunyai produk atau usahawan yang boleh diketengahkan.
“Melalui Mara, saya terkejut kerana kita juga ada produk yang setanding dan lebih hebat dari negara jiran,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan Kedah Fest 2016 anjuran Mara di Kompleks Aman Central, di sini, semalam.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan semasa hadir ke Kedah pada 24 Mei ini.
“Saya nak cadangkan supaya kita buka laluan kepada usahawan Melayu bawah Mara untuk 10 wilayah Thailand yang akan dijenamakan sebagai Malay Fest.
“Melalui program ini secara tidak langsung dapat memberi semangat dan bimbingan bermakna kepada semua usahawan untuk meningkatkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Pada program Kedah Fest 2016 itu, lebih 30 usahawan dari seluruh negara berkumpul dan berkongsi pandangan mengenai produk masing-masing.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar


19sasar
ALOR SETAR 19 Mei - Kerajaan negeri berhasrat memperluaskan program Pe­rumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) ke seluruh daerah negeri ini bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam negeri dan Persekutuan memiliki rumah sendiri.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan negeri akan memohon agar Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih banyak kuota rumah PPA1M untuk penjawat awam di negeri ini.
Katanya, setakat ini sebanyak 7,000 unit rumah PPA1M akan dibangunkan membabitkan daerah Kulim, Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.
“Kerajaan negeri menyasarkan setiap daerah untuk membangunkan projek perumahan mampu milik kepada semua penjawat awam dan kita akan minta kerajaan tambah lebih banyak lagi projek PPA1M di negeri ini.
“Kesungguhan kerajaan membe­la nasib rakyat diterjemahkan me­lalui program pembangunan seperti ini serta lain-lain projek pembangunan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat. Saya berharap mereka rebut peluang yang ada untuk memastikan pelaburan yang bakal kita buat untuk jangka masa panjang ini akan memberikan manfaat pada kemudian hari,” katanya dalam Maj­lis Perasmian dan Pameran PPA1M di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.
Pada sambutan Hari Pekerja 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek perumahan penjawat awam yang pertama di Kedah iaitu di Bukit Pinang yang kemudiannya dimasukkan dalam Bajet 2015.
Setakat ini sebanyak 14 projek PPA1M akan dibuat secara berpe­ringkat di seluruh negeri ini sehingga 2018 dengan kadar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Tambah Ahmad Bashah, unit perumahan yang dibina berkenaan akan ditawarkan kepada penjawat awam yang layak memohon dan sedang berkhidmat di dalam pentadbiran kerajaan negeri atau Persekutuan, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan supaya dapat memiliki rumah sendiri.
“Di antara projek yang sudah dibangunkan melalui usahasama di antara kerajaan dan swasta ini ialah Program Perumahan Belliza di Tanah Merah, Daerah Kubang Pasu dan Projek Perumahan Taman Sa­yang di Jalan Kuala Sungai, Daerah Kota Setar.
“Projek-projek tersebut bukan sahaja menawarkan harga lebih rendah daripada harga pasaran kepada penjawat awam, malah persekitaran kawasan perumahan yang selesa serta reka bentuk rumah lebih menarik. Saya diberitahu projek ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan ada antaranya sudah habis dijual,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan


11baiki
NAKA 11 Mei - Simpati dengan masalah air yang dihadapi penduduk sejak berlakunya fenomena El Nino, Rangkaian Anak-anak Padang Terap (Rapat) mengambil usaha membaiki sebuah perigi lama berusia 64 tahun untuk dimanfaatkan.
Pengerusi Rapat, Mohd Rizuan Romli berkata, keluhan penduduk di Kampung Masjid Lama, di sini sudah mendapat perhatian pihaknya apabila masalah air yang berlaku menjejaskan kehidupan harian mereka di situ.
Menurutnya, pihaknya sudah membaik pulih perigi lama yang masih mampu membekalkan air kepada penduduk supaya masalah yang dihadapi mereka tidak berulang.
"Program ini salah satu objektif penubuhan Rapat bagi membantu masyarakat yang menghadapi pelbagai masalah.
"Kami dah berusaha membaiki perigi sedalam 2.5 meter itu kepada 7.5 meter supaya dapat bekalkan air kepada penduduk seramai 163 keluarga itu," katanya.
Mohd Rizuan berkata, kedatangan El Nino menyebabkan kemarau dan tekanan air rendah hingga penduduk sukar mendapat bekalan air mencukupi.
"Berikutan itu, Rapat telah turun melakukan penyelenggaraan semula dengan mengindahkan lagi kawasan perigi di situ," katanya.
Katanya, walaupun perigi itu sudah terbiar hampir 20 tahun tetapi kandungan airnya masih jernih dan mampu digunakan oleh penduduk untuk aktiviti harian.
"Kandungan air perigi itu juga tidak pernah tercemar dan selamat digunakan penduduk," katanya.
Majlis Perasmian Telaga Wakaf itu dilakukan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Ghazali Ibrahim.
“Pihak Rapat juga berterima kasih kepada beliau (setiausaha politik) yang turut menghulurkan sumbangan RM3,000 bagi membaiki semula perigi itu yang turut mendapat kerjasama daripada Adun Pedu, Kama Noriah Ibrahim serta Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Masjid Lama itu.
“Kami juga berharap penduduk kampung ini dapat memanfaatkan dan menjaganya sebaik mungkin perigi ini supaya dapat digunakan terutamanya jika berlakunya kemarau pada masa hadapan,” katanya.
Oleh : Mohd Rifaat Abd Hamid
Sumber : Sinar


3serang
BALING 3 Mei – Generasi muda hari ini dinasihatkan agar tidak melupakan sejarah hitam termasuk peristiwa serang hendap pengganas komunis ke atas anggota tentera di kawasan Ulu Legong, Weng dekat sini.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, setiap peristiwa itu perlu diketahui dan dihayati oleh penduduk daerah ini agar mereka dapat menghayati perit pedih perjuangan pasukan keselamatan negara suatu ketika dahulu.
“Tragedi serang hendap ke atas anggota tentera yang berlaku pada 29 Oktober 1981 masih segar dalam ingatan anggota yang terlibat dan perlu menjadi iktibar kepada gene­rasi hari ini.
“Kenanglah sejarah pahit itu, demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta, mereka sanggup bergadai nyawa berkorban membela nusa dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Tugu Peringatan dan Pelancaran Buku Peristiwa Serang Hendap Ulu Legong di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, hari ini.
Majlis tersebut diadakan sebagai mengenang kejadian serang hendap berkenaan yang menyebabkan seramai tujuh anggota Batalion 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terbunuh manakala dua orang lagi cedera parah.
Anggota-anggota tersebut di­se­­­­rang hendap oleh sekurang-kurangnnya 30 pengganas komunis yang bersembunyi di atas bukit yang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah trak yang dinaiki sembilan anggota terbabit.
Ketika itu, mereka dalam perjalanan untuk mengambil bekalan makanan di Kampung Lalang.
Kata Abdul Azeez, jasa dan bakti para perajurit yang mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja.
“Tanpa pengorbanan dan perjuangan mereka, tidak mungkin kita akan berada dalam keadaan selesa seperti hari ini,” kata Abdul Azeez.
Sementara itu, salah seorang mangsa serang hendap, Md. Said Adam, 55, yang cedera parah ketika kejadian serang hendap itu berkata, kejadian tersebut merupakan tragedi hitam yang tidak akan dilupakan.
“Saya berpesan kepada generasi muda, hargailah keamanan yang dikecapi pada masa sekarang kerana ia adalah hasil pengorbanan kami dan mereka yang terlibat menjaga keamanan di negara ini.
“Jagalah tanah air ini daripada serangan musuh yang sentiasa ada di mana-mana sahaja, pertahankan maruah negara ini dan kekalkanlah keamanan ini demi kesinambungan dan kesenangan cucu-cicit kita pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Oleh : Utusan


2kenal
ALOR SETAR 2 Mei - Pejabat daerah di seluruh negeri ini diarah supaya me­ngenal pasti jalan termasuk jalan kampung di kawasan masing-masing untuk dinaik taraf kepada jalan negeri bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, setiap jalan yang berpotensi untuk dibangunkan itu perlu didaftarkan ke dalam Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) sekali gus membolehkan Kerajaan Pusat me­nyalurkan geran di bawah dana penyelenggaraan jalan.
Katanya, kerajaan negeri ber­ca­dang untuk menaik taraf lebih banyak jalan di negeri ini sepanjang tahun ini dengan sasaran panjang jalan sehingga 15,000 kilometer (km).
"Setiap jalan seperti jalan kampung yang menepati syarat untuk dinaik taraf perlu didaftarkan dalam Marris untuk diselenggara dengan baik. Melalui pendaftaran itu Kerajaan Pusat boleh me­nya­lurkan peruntukan untuk me­nye­lenggara jalan berkenaan.
"Statistik menunjukkan panjang jalan di Kedah yang mendapat peruntukan daripada Marris ada­lah, 5,753 km pada 2010; 5,766 km (2011); 7,756 km (2012); 11,399 km (2013) dan 13,332 km (2015 hingga Mac 2016).
“Ini menunjukkan pembangunan rancak di Kedah dirancang oleh kerajaan. Saya berharap lebih banyak jalan dapat diselenggara dengan baik, oleh sebab itu kita memerlukan data berkenaan,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kerja-kerja Undi 1Kedah Untuk Penyelenggaraan Jalan Negeri di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Samsudin Abu Bakar.
Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM170 juta melalui Marris pada 2016 yang diagihkan melalui sistem undi membabitkan Kontraktor G1 di seluruh negeri hari ini.
Ahmad Bashah juga mahu su­paya semua kontraktor ber­ke­na­an turut berdaftar dengan Marris untuk membuka peluang kepada mereka mendapat tempat dalam projek dari JKR.
“Saya juga mahu kontraktor yang terpilih dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin mahu pun dalam tender, dalam bentuk sebut harga mahupun undi. Ini mengelakkan mereka tidak disenaraihitamkan dan paling pen­ting memastikan pemberian geran daripada kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Segala perancangan dari kerajaan negeri dan Persekutuan ini adalah untuk membangun dan menaik taraf jalan negeri demi kesenangan rakyat,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan


1bangun
ALOR SETAR 1 Mei - Pemaju perumahan ditawarkan untuk membangunkan semula projek perumahan yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu, bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), dalam usaha menambah pemilikan rumah kalangan rakyat Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemaju boleh membuat permohonan di Bahagian Perumahan dan majlis daerah terlibat untuk mengusahakan 1,922 unit rumah bawah projek perumahan terbengkalai di seluruh daerah.
“Kerajaan negeri bersetuju berikan tapak projek perumahan itu kepada pemaju untuk bina MyHome 1 dan MyHome 2, dengan menawarkan insentif RM30,000 sebagai bayaran pendahuluan. Harga ditawarkan kepada pembeli juga berpatutan, MyHome 1 dengan kos RM90,000 manakala RM190,000 untuk MyHome 2,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan 2016, semalam.
Menurutnya, ini antara usaha kerajaan negeri menyelesaikan tapak-tapak terbengkalai dan pada masa sama menawarkan perumahan kepada rakyat.
“Pemaju perlu bina banyak rumah mampu milik dengan ambil kira kemampuan rakyat Kedah untuk beli rumah, bukan tawarkan harga seperti di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, harga rumah mampu milik perlu tepati kriteria ditetapkan, iaitu bagi Kedah tidak boleh melebihi RM45,000 untuk kos rendah, RM90,000 (sederhana rendah) serta RM200,000 (kos sederhana).
“Bina rumah bertingkat untuk maksimumkan penggunaan tanah kerana tanah di Kedah semakin terhad. Jika dibina rumah bertingkat, harga dapat dikurangkan kerana lebih banyak unit ditawarkan,” katanya.
Sumber : Sinar