27tarik
GURUN 27 April - Dalam usaha memperkukuh serta menarik minat generasi muda terutamanya pelajar mencintai dunia sains dan bidang berkaitan, sebuah pusat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bakal diwujudkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) menjelang Oktober depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd. Nor, pusat pem­belajaran dan latihan itu merupakan hasil kerjasama banyak pihak termasuk kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Multimedia (Mdec) serta syarikat multinasional yang bertapak di KHTP.
“Mengikut perancangan, pusat STEM itu akan mempunyai pelbagai fungsi. Selain daripada ruang pameran, latihan juga akan diberikan kepada para pelajar, lepasan sekolah, mahasiswa mahu pun pekerja dalam sektor tertentu agar mereka menjadi lebih mahir serta ‘mesra’ sains dan teknologi.
“Setakat ini kertas cadangan untuk mewujudkannya sudah diluluskan kerajaan negeri malah tapak pembinaannya juga sudah difikirkan. Cumanya kami kini di peringkat mencari dana bagi memastikan hasrat tersebut menjadi keny­ataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menjelajah Petronas 2016 peringkat zon utara di Petronas Fertilizer (Kedah) Sdn. Bhd., di sini baru-baru ini.
Seramai 130 pelajar cemerlang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, MRSM Beseri, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu serta Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu menyertai program tersebut yang bertujuan mendedahkan mereka mengenai peluang yang ada untuk mendapatkan biasiswa serta pekerjaan di syarikat milik kerajaan (GLC) tersebut.
Mengulas lanjut katanya, penubuhan pusat itu tepat pada masanya memandangkan statistik sedia ada menunjukkan tidak sampai 20 peratus pelajar negeri ini memilih untuk meneruskan pem­belajaran dalam bidang sains selepas tingkatan lima.
“Keadaan itu perlu diperbetulkan segera kerana negeri ini memerlukan banyak pekerja mahir dan berpengetahuan tinggi dalam bidang berkenaan terutamanya untuk menarik pelabur luar ke KHTP yang kian berkembang.
“Setakat ini kami menyasarkan agar pusat tersebut dapat dirasmikan pembukaannya pada Minggu Sains Kedah yang dijangka akan diadakan pada Oktober nanti,” katanya.
Antara syarikat multinasional yang teribat dalam membangunkan pusat berkenaan adalah syarikat pmbuat wafer semikonduktor terkemuka, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra) serta Pengeluar panel solar, First Solar Sdn. Bhd. (First Solar).
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan


27manfaat
SUNGAI PETANI 27 April - Rakyat di Yan, Kedah bakal memanfaatkan jalan raya campuran getah sepanjang 10 kilometer (km) pertengahan tahun ini dalam usaha meningkatkan penggunaan getah domestik, sekali gus menstabilkan komoditi itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, ia merupakan jalan raya campuran getah terpanjang dalam negara selepas di Tampin, Negeri Sembilan dan Kota Tinggi, Johor.
Menurutnya, dua projek sebelum ini di Tampin dan Kota Tinggi hanya melibatkan jalan raya sepanjang satu kilometer, namun pembinaan di Yan membabitkan jarak 10km.
“Kita sudah bincang dengan kerajaan negeri Kedah melalui mesyuarat yang kita adakan baru-baru ini di mana kita akan buat pelarasan dari segi kontraktor,” katanya ketika hadir ke bengkel, Workshop on Agronomy and Transfer of Technology di sini, semalam.
Majlis perasmian bengkel disempurnakan Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Datuk Norsabrina Mohd Noor bagi mewakili menteri besar.
Menurut Zairossani, pembinaan jalan raya berasaskan getah di negara ini merupakan yang pertama di dunia.
“Kalau lihat strategi kerajaan bagi membolehkan kita menggunakan 5 peratus pembinaan jalan berasaskan getah, kita perlu ada nasional kapasiti.
“Jadi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 kita bangunkan kapasiti. Kapasiti yang kita nak bangunkan ialah untuk membolehkan kita menurap 2,000 kilometer jalan raya setahun,” katanya.
Jelasnya, penggunaan teknologi bagi melaksanakan jalan raya campuran getah bukan sahaja dibina di jalan negeri, tetapi turut dikenal pasti di jalan kampung dan kampung baru cina seluruh negara.
“Tahun ini sahaja kita merancang untuk menyiapkan 700 kilometer jalan negeri dan jalan ladang.
“Dari segi teknologi ia lebih tahan, dari segi keselamatan pula cengkamannya lebih bagus kerana mengurangkan kelicinan tayar, selain mengurangkan bunyi,” katanya.
Sumber : Sinar


26empangan
ALOR SETAR 26 April – Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air ketika berlakunya cuaca panas dan kering yang berpanjangan, Kerajaan Negeri Kedah akan membina sebuah lagi empangan baru dalam Daerah Pendang dan Sik.
Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pembinaan empangan baru itu merupakan sebahagian daripada projek Jeniang Transfer yang berperanan sebagai terusan untuk menghantar air daripada Empangan Beris.
“Buat masa ini, kajian pembinaan empangan itu kini berada di peringkat akhir. Kita rancang nak buat Jeniang Transfer sebagai sebuah terusan untuk memudahkan aliran air tetapi kita lihat ini tidak mencukupi. Sebab itu empangan baru perlu diwujudkan,” jelasnya ketika berucap pada Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 yang diadakan di Wisma Darul Aman.
Menurutnya, mungkin Empangan Nauk akan menjadi salah satu empangan yang akan dibina di mana Empangan Nauk ini agak besar dan perlu mendapatkan kerjasama pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran sebanyak RM650 juta.
“Paling utama apabila Jeniang Transfer ada, air di Empangan Beris tidak semata-mata ke Pulau Pinang. Apabila ada projek ini, air di Empangan Beris beri keutamaan kepada Negeri Kedah dengan terkumpulnya di Empangan Nauk sebelum dilepaskan ke Pulau Pinang,” ujarnya.
Sumber : UMTK



    26pindaan
    ALOR SETAR 26 April - Pindaan akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah terhadap Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi tujuan memudahkan pemilikan rumah kepada rakyat di negeri ini.
    Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak PR1MA dan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat ini.
    Pihaknya berharap sebanyak 20,000 unit rumah PR1MA yang diluluskan di Negeri Kedah pada sebelum ini dapat berjalan dengan baik. Cuma ada sedikit kekangan di beberapa bahagian yang perlu kita bincang dan selesaikan.
    “Saya lihat ramai sangat tak mampu beli rumah. Tetapi untuk rumah PR1MA ini, kita akan adakan perbincangan untuk mengatasi masalah ini kerana ada yang persoal rumah mampu milik, tetapi tak mampu beli,” ujarnya ketika berucap pada Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 yang diadakan di Wisma Darul Aman.
    Sumber : UMTK


    24juta
    BEDONG 24 April - Di bawah Projek Khas Pembaikan Kuarters pada tahun 2013, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pembinaan semula kuarters institusi kebajikan dan jumlah tersebut dapat menampung sebanyak lima buah institusi.
    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, kuarters Rumah Seri Kenangan Bedong ini mengandungi sebuah rumah Penguasa dan 36 unit rumah bersaiz 1,100 kaki persegi setiap satu dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.
    Menurutnya, kuarters ini telah dapat disiapkan dalam tempoh 18 bulan mengikut jadual pembinaan dan kuarters yang pertama siap dalam projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan peruntukan sebanyak RM21.6 juta.
    “Projek pembinaan kuarters ini adalah berdasarkan kepada perancangan pembinaan kuarters baru yang selaras dengan keperluan asas kuarters yang mempunyai komponen yang penting seperti surau, padang permainan dan tempat letak kereta,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Kuarters Rumah Seri Kenangan Bedong yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
    Beliau memberitahu, semua itu adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan kemudahan perumahan dan persekitaran yang selesa bagi kakitangan Kerajaan. Semoga kemudahan perumahan yang disediakan itu akan dapat meningkatkan lagi produktiviti serta menjadikan tenaga kerja jabatan lebih berdedikasi, komited dan efisien.
    “Dalam projek pembinaan kuarters pada kali ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga prihatin terhadap keperluan kakitangan orang kurang upaya (OKU). Oleh yang demikian, sebanyak empat unit kuarters telah dinaiktaraf untuk kemudahan kakitangan OKU,” katanya.
    Tambahnya, kemudahan TASKA dan Pusat Sumber juga disediakan untuk memudahkan kakitangan untuk menghantar anak-anak semasa mereka bekerja. Untuk kemudahan itu, KPWKM telah menaiktaraf empat unit kuarters sebagai TASKA dan Pusat Jagaan. Semoga semua kemudahan yang disediakan ini akan memberi manfaat kepada semua kakitangan yang bertugas.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan serta Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
    Sumber : UMTK


    24skim
    BEDONG 24 April - Kerajaan Negeri telah mewujudkan dua skim baru di samping skim bantuan negeri yang sedia ada iaitu Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA) dan Skim Insentif Pendaftaran Orang Kurang Upaya (SIP-OKU).
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, IKA diberikan kepada bayi yang dilahirkan di Negeri Kedah di mana salah seorang ibu atau bapa merupakan rakyat Negeri Kedah.
    “Manakala SIP-OKU merupakan insentif yang diberikan sekaligus sahaja sepanjang hayat kepada OKU yang pertama kali berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU),” jelasnya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kuarters Rumah Seri Kenangan Bedong.
    Menurutnya, sejak dilancarkan pada tahun 2014 sehingga kini, sebanyak 9,931 orang telah menikmati IKA yang menelan belanja sebanyak RM993,100. Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah melancarkan satu lagi skim iaitu SIP-OKU. Sehingga kini, seramai 1,416 OKU telah menerimanya dan berjumlah RM141,600.
    “Harapan saya juga semoga dengan adanya kuarters baru untuk petugas-petugas di Rumah Seri Kenangan Bedong ini dapat memberi suasana yang lebih kondusif dan selesa kepada semua termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.
    Sumber : UMTK


    21tiada
    ALOR SETAR 21 April - Kerajaan negeri akan terus memantau empangan ne­geri ini walaupun hujan sekali sekala sejak kebelakangan ini yang menyumbang peningkatan paras airnya.
    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihak­nya tidak bercadang melakukan catuan air ekoran peningkatan paras air empangan di seluruh ne­geri ini.
    Katanya, agensi berkaitan sentiasa mengadakan mesyuarat setiap hari bagi memantau situasi di empangan terbabit termasuk dua daripadanya iaitu Empangan Beris dan Muda yang dilaporkan kritikal sebelum ini.
    “Orang ramai tidak perlu risau dengan perkara ini kerana kita belum ada cadangan untuk lakukan catuan air. Apatah lagi hasil pembenihan awan sejak 12 April lalu berlaku sedikit perkembangan apabila ada hujan dan peningkatan air di empangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maj­­lis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana di sini hari ini.
    Selain itu tambah beliau, pihak­nya turut mengarahkan syarikat pengurusan air negeri ini memberi perhatian pengagihan bekalan air bersih kepada penduduk di loji rawatan bekalan air yang dilaporkan berlaku penyusutan.
    “Pihak yang diberi tanggungjawab ambil tindakan perlu jika ada masalah bekalan air dipercayai akibat masalah tekanan di kawasan tertentu seperti kawasan tinggi bekalan air bersih perlu segera dihantar kepada penduduk,” katanya.
    Dalam pada itu ketika berucap dalam majlis tersebut, beliau berkata, permuafakatan antara pihak sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah perlu dalam memastikan aspirasi pembangunan pendidikan negeri dilaksanakan.
    “Semua pihak harus bagi komitmen dan kerjasama kerana Kedah tidak mahu ketinggalan dalam mencapai prestasi pendidikan terbaik. Anak-anak kita berdepan dengan pelbagai cabaran yang mana pengorbanan semua pihak diperlukan,” katanya.
    Dalam majlis sama selain me­nyampaikan hadiah anugerah cemerlang kepada murid sekolah berkenaan Ahmad Bashah turut melakukan pecah tanah bagi pembinaan surau sekolah ter­babit.
    Terdahulu beliau juga me­ng­umumkan sumbangan RM50,000 daripada kerajaan ne­geri untuk pembinaan surau ber­kenaan.
    Oleh : Jamliah Abdullah
    Sumber : Utusan



      20penerima
      PANTAI MERDEKA 20 April - Seramai 500 penerima yang terdiri daripada keluarga miskin dan penoreh getah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka menerima Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) daripada Kerajaan Negeri Kedah.
      Majlis penyampaian BARAKAH itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya yang bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutama keluarga miskin dan penoreh getah.
      YB. Ali Yahaya berkata, bantuan yang disampaikan itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri begitu mengambil berat terhadap golongan kurang berkemampuan.
      “Kerajaan Negeri tetap memberikan perhatian terhadap golongan penoreh getah dan keluarga miskin di negeri ini dan bantuan yang diberikan itu diharap mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka selama ini,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      19golongan
      SINTOK 19 April - Golongan belia merupakan generasi pelapis negara di masa depan dan dibahu merekalah letaknya tanggungjawab dalam bersama-sama kerajaan untuk membangunkan negara.
      Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pembangunan Insan, YB. Dato’ Aminuddin Omar berkata, golongan belia merupakan golongan yang secara tidak langsung menjadi tulang belakang yang akan menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.
      Menurutnya, golongan belia boleh menjadi tenaga kerja yang penting di negara ini bagi memenuhi peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan.
      “Golongan belia juga harus menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mereka dapat meningkatkan kemajuan dan pembangunan negara dengan lebih pesat lagi. Kemahiran dan pengetahuan di kalangan belia merupakan salah satu aset yang sangat bernilai yang tidak boleh dijual beli walaupun dengan wang,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup Himpunan Kebangsaan Pemimpin Belia Malaysia yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
      Tambahnya, golongan belia memiliki banyak idea baru dan mempunyai wawasan yang jelas dan mereka mampu menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
      “Jika perkara ini benar-benar menjadi kenyataan, pasti golongan belia di negara kita akan menjadi salah satu penyumbang terbesar dan menjadi nadi utama dalam mengecap kegemilangan negara,” katanya.
      Beliau menjelaskan, golongan belia perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, ketahanan diri dan memiliki daya saing yang tinggi. Sekiranya mereka menghayati sepenuhnya budaya ilmu itu, sudah pasti mereka akan menjadi anggota masyarakat yang memiliki pemikiran yang terbuka.
      Sumber : UMTK


      18hubungan

      KUALA NERANG 18 April – Hubungan baik antara pelbagai kaum di negeri ini membolehkan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni, sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan rakyat dengan mengamalkan konsep ‘Muafakat Kedah’ yang membolehkan rakyat untuk bersatu dan hidup dengan penuh harmoni.
      “Konsep Muafakat Kedah diharap mampu menjernihkan minda masyarakat untuk saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam usaha bersama-sama Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri ini,” ujarnya pada majlis perasmian Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah 2016 yang diadakan di Watt Pikul Thaharam.
      Menurutnya, hubungan baik di kalangan rakyat pelbagai kaum perlu dieratkan dan dipertahankan agar permuafakatan yang terjalin itu dapat memberi sinar kesejahteraan agar rakyat dapat hidup dengan penuh kebahagiaan.
      “Sebagai Menteri Besar, saya berharap rakyat di negeri ini dapat menjalinkan ikatan persaudaraan walaupun berbilang kaum dan agama kerana semangat satu Malaysia mampu menjadikan kita sebagai rakyat yang tahu erti keharmonian,” katanya.
      Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam dalam arus kemodenan negara kerana pelbagai bantuan turut diberikan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat Siam di negeri ini.
      “Kita tidak pernah membeza-bezakan kaum kerana kita sentiasa mendengar permasalahan dan rintihan dari mereka dan sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada kita, Kerajaan Negeri sedia menghulurkan bantuan,” jelasnya.
      Beliau berharap agar masyarakat Siam di negeri ini dapat berkongsi idea dan pendapat dalam usaha bersama-sama Kerajaan Negeri bagi membangunkan negeri ini.
      “Program yang diadakan pada hari ini diharap mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni di samping mengeratkan hubungan baik di antara rakyat dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

      Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pegawai Daerah Padang Terap, Tuan Mohd Fisol Md Noh; pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
      Sumber : UMTK

      17mapan
      SUNGAI PETANI 17 April - Pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) diminta agar lebih memberi tumpuan dalam gerak kerja dengan merangkumkan semua NGO di negeri ini di bawah Majlis Permuafakatan NGO Kedah (MAPAN) bagi mewakili suara kelompok masyarakat.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, MAPAN perlu meningkatkan sensitiviti kaum bagi mewujudkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.
      Menurutnya, pihaknya berharap agar NGO dapat bertindak dengan baik sebagai kuasa ketiga yang boleh menentukan pendirian dan persepsi masyarakat untuk memberi respons terhadap dasar kerajaan.
      “Ini kerana NGO dan kerajaan boleh menjadi rakan kongsi strategik dan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan bagi membolehkan lebih banyak isu serta masalah yang berbangkit dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Kedah Bersama Pemimpin-Pemimpin NGO Utama dan Penyerahan Memorandum Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam yang diadakan di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
      Beliau memberitahu, perbincangan mengenai idea serta kegiatan berfaedah untuk masyarakat pelbagai kaum akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan serta Perpaduan, YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong.
      “Di sesetengah negara, wakil NGO menjadi ahli tetap dalam majlis perundingan atau sekretariat khusus yang memberi input dan terlibat dalam mempengaruhi dasar kerajaan seperti di Korea Selatan dan Jepun,” katanya.
      Tambahnya, pihaknya berharap NGO yang diketuai oleh YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong dapat membincangkan peranan masing-masing untuk mencapai permuafakatan dalam setiap keputusan demi kepentingan bersama.
      “Misalnya isu rumah ibadat yang dibangkitkan boleh dibincang sebelum dimuktamadkan peringkat Kerajaan Negeri atau Pusat. Isu pembinaan kuil atau rumah ibadat di sesuatu tempat perlu dibincangkan dalam MAPAN agar diterima semua pihak dan masyarakat setempat. Sama seperti isu kubur orang Islam dan sebagainya yang dibincangkan terlebih dahulu dalam NGO sebelum dibawa ke peringkat kerajaan,” jelasnya.
      Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan serta Perpaduan, YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong; Pegawai Daerah Kuala Muda, Tuan Haji Abd Rahman Haji Ismail dan Yang Dipertua MPSPK, Encik Abd Rashid Othman.
      Sumber : UMTK


      16tiada
      PENDANG 16 April - Tiada pembatalan dalam jadual aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2016 di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (Mada) walaupun cuaca panas dijangka berterusan hingga Jun ini.
      Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, sehingga semalam paras air di ketiga-tiga empangan utama seliaan Mada iaitu empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 70 peratus penuh dan mencukupi untuk musim ini.
      "Musim 1/2016 kami jalankan ikut jadual tiada pembatalan dan dalam masa sama kami bantu kerajaan negeri bekal air daripada empangan Muda ke empangan Beris. Empangan Beris pula akan salur air melalui Sungai Muda ke selatan Kedah (Sungai Petani, Kulim dan Pinang Tunggal) termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.
      Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Turun Bendang di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, di sini hari ini.
      Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Paduka Md Rozai Safian.
      Mengikut jadual, tiga fasa bekalan air ditetapkan Mada iaitu 30 Mac, 9 April dan 19 April.
      Terdahulu dalam ucapannya, Othman berkata hampir 30 peratus daripada kira-kira 55,000 pesawah di kawasan Mada tidak menggunakan benih padi sah yang murah, menyebabkan padi yang dihasilkan tidak berkualiti, seperti padi angin.
      "Benih padi sah ialah yang dikeluarkan di bawah piawaian mutu Skim Pengesahan Benih Padi yang dikendalikan Jabatan Pertanian sebagai agensi pengesahan serta mendapat perakuan pematuhan piawaian mutu yang melibatkan aspek ketulenan jenis, ketulenan fizikal, peratus percambahan dan peratus kelembapan," katanya.
      Dalam pada itu Suraya yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani dalam ucapannya berkata penyelarasan 449 hektar sawah di kawasan Mukim Padang Kerbau di sini oleh Mada yang merupakan kawasan pinggiran Mada, adalah amat dialu-alukan.
      "Walaupun hanya 287 pesawah terlibat, tetapi yang pentingnya nanti hasil itu beri peningkatan kepada pesawah," katanya.
      Malah beliau juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran Serta Jabatan Pertanian untuk tidak lepas tangan serta membantu pesawah dalam mengendalikan kawasan tersebut walaupun sudah diselaras Mada.
      Program Jom Turun Bendang bertujuan menggalakkan peladang di kawasan bendang mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan Mada, selain memaklumkan peladang boleh memulakan aktiviti penanaman padi bagi musim ini.
      Seramai 2,000 orang dijangka menghadiri program selama dua hari bermula hari ini yang turut diisi pelbagai program seperti ceramah agama, pameran, taklimat dan sukaneka bendang.
      Sumber : Sinar


      16terima
      BANDAR BAHARU 16 April - Seramai 500 penoreh dan golongan kurang berkemampuan bakal menerima Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang dilancarkan menteri besar bagi meringankan beban golongan tersebut.
      Adun Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd Nor berkata, seramai 90 orang sudah menerima barangan keperluan makanan dan wang tunai dalam jelajah Barakah bagi fasa pertama di Mukim Sungai Batu.
      “Kita faham keadaan penoreh ketika ini begitu tertekan kerana harga getah yang begitu merudum, ada yang dapat RM15 hingga RM20 dalam sehari, tapi bukan 30 hari mereka boleh menoreh.
      “Di kawasan Mukim Sungai Batu ini ramai yang menoreh getah sebagai sumber pendapatan. Kita harap dengan bantuan sebegini sedikit sebanyak dapat tolong mereka,” katanya pada sidang media program Jelajah Barakah di Kampung Kenangan, Mukim Sungai Batu, semalam.
      Menurutnya, jelajah Barakah ini juga bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan malah dapat mendekati dan mengenal pasti masalah dihadapi mereka untuk diselesaikan melalui rancangan yang akan disusun kerajaan kelak.
      “Kita akan kutip maklumat dan salurkan kepada kerajaan untuk merangka skim atau bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat untuk basmi kemiskinan dengan tindakan segera, jangka panjang dan pendek.
      “Barakah ini dilakukan secara menyeluruh dari semasa ke semasa kepada rakyat yang layak,” katanya.
      Penoreh getah, Mahidzir Mohd Yatim, 48, berkata, dengan pendapatan yang begitu kecil pada masa ini, dia sememangnya memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan untuk meringankan beban.
      "Kadang bila menoreh pokok orang, sekali kutip sekerap dapat RM80, itupun kena bahagi dua dan dapatlah RM40 dalam tempoh tiga hari. Memang tak cukup tapi kena juga menoreh.
      "Dengan bantuan diberi kerajaan ini, sedikit sebanyak dapat juga ringankan beban tapi kami harap harga getah dapat dinaikkan lagi," katanya.
      Rokiah Wahid, 62, pula berkata, dia terpaksa juga menoreh getah walaupun umur makin meningkat kerana tiada sumber pendapatan lain.
      "Anak-anak ada bagi duit tapi saya tak mahu susahkan mereka. Lagipun suami saya dah tak ada.
      “Saya berterima kasih atas sumbangan kerajaan kepada kami yang susah,” katanya.
      Sumber : Sinar

      14kesejahteraan
      ALOR SETAR 14 April - Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini yang melibatkan pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Siam.
      Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong berkata, dengan adanya kepelbagaian kaum di negeri ini, keamanan dan kesejahteraan rakyat dapat dikecapi dengan baik.
      “Hubungan pelbagai kaum inilah yang kita mahukan agar Malaysia, terutamanya Negeri Kedah dapat membangun sebagai sebuah negeri yang maju dan sejahtera,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Kedah Bersama Pemimpin-Pemimpin NGO Utama Masyarakat Cina, India dan Siam Negeri Kedah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wisma Darul Aman.
      Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini agar dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
      “Kesepakatan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan kaum dan agama amat dititikberatkan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk melihat rakyat di negeri ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      13penyampaian
      KUALA NERANG 13 April - Sumbangan yang disampaikan kepada penoreh getah dan keluarga miskin melalui Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) adalah tanda ingatan dan rasa simpati Kerajaan Negeri kepada golongan yang kurang berkemampuan.
      Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, Kerajaan Negeri begitu menyedari hakikat yang terpaksa dihadapi oleh golongan penoreh getah yang menghadapi masalah berkaitan penurunan harga getah di pasaran.
      “Kita cuba mencari mekanisma yang terbaik dalam membantu golongan ini agar mereka tidak tersisih dan sumbangan yang disampaikan pada hari ini diharap dapat membantu penoreh getah untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian BARAKAH kepada Penoreh Getah dan Keluarga Miskin Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang 2016 yang diadakan di Pusat Komuniti Malaysia, Cikgu Hashim, Kampung Barokhas.
      Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi rakyat dan tindakan segera turut diambil dalam membantu rakyat agar setiap permasalahan yang berlaku itu dapat diatasi dengan sebaiknya.
      Sementara itu, ADUN Belantek, YB. Dato’ Haji Mohd Tajudin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti senarai 500 penerima di kawasannya dengan majoriti mereka adalah penoreh getah dan bantuan akan disampaikan kepada mereka.
      “Pada minggu ini, saya akan selesaikan bantuan kepada 500 golongan sasar yang bukan sahaja menyampaikan barangan keperluan harian, malah ada juga wang tunai RM50,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      13bantuan
      KUALA NERANG 13 April - Golongan penoreh getah di negeri ini dijangka akan memperolehi bantuan daripada Kerajaan Pusat melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tidak lama lagi.
      Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, YB. Dato’ Haji Mohd Tajudin Abdullah berkata, beliau telah berjumpa dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhubung masalah yang dihadapi oleh golongan penoreh getah di Negeri Kedah.
      “Saya telah berjumpa dengan beliau dan mengadu mengenai masalah yang dihadapi oleh golongan penoreh getah di negeri ini dan beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membantu golongan berkenaan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Azam Tani dan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) kepada penoreh getah dan keluarga miskin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang yang diadakan di Pusat Komuniti Malaysia, Cikgu Hashim, Kampung Barokhas.
      Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri juga akan mencari dana yang lain dalam usaha membantu golongan penoreh getah melalui pemberian fasa kedua BARAKAH yang secara tidak langsung dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan.
      “Dengan suasana penurunan harga getah di pasaran, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan penoreh getah di negeri ini dan kita berharap agar sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur dan wang tunai yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat kepada golongan berkenaan dapat digunakan dengan sebaiknya,” ujarnya.
      Turut hadir dalam majlis itu ialah ADUN Kuala Nerang, YB Dato’ Badrol Hisham Hashim.
      Sumber : UMTK


      11barakah
      SUNGAI PETANI 12 April - Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) akan menjadi pusat koordinasi bagi memastikan semua bantuan dihulurkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri agar sampai kepada golongan sasar, sekaligus mengurangkan risiko keciciran melalui kaedah yang lebih sistematik.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, program BARAKAH ditampilkan dalam lima kategori membabitkan modal insan, pendidikan, usahaniaga, anak muda dan kemasyarakatan. BARAKAH bersifat berterusan selain menyeluruh membabitkan bantuan kepada semua kaum dan peringkat usia termasuk golongan muda.
      Melalui BARAKAH, ujarnya, Kerajaan Negeri akan mengawasi setiap dana dan bantuan bagi memastikan ia dapat dinikmati semua golongan sasar tanpa ada pertindihan. Pihaknya akan ada rekod penerima dan menyimpan senarai jika ada bantuan lain bagi memastikan penerimanya bukan orang yang sama kerana pihaknya mahu jumlah penerima itu bertambah dari semasa ke semasa.
      Sumber : UMTK


      10peranan
      BALING 10 April – Dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara, seorang guru bertanggungjawab untuk mendidik pelajar iaitu dengan memberi ilmu, pendedahan dan pengalaman serta mendidik mereka untuk berakhlak mulia.
      Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, YB. Dato’ Azmi Che Husain berkata, guru berperanan dalam mengajar, menyampai maklumat, berbincang dan mengendalikan bengkel ke arah meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan.

      “Hal ini kerana guru merupakan insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik pelajar-pelajar dengan segala ilmu pengetahuan supaya mereka dapat mengembangkan segala aspek yang ada dalam diri mereka iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Asam Jawa, Charok Kelian.

      Menurutnya, guru juga perlu mendedahkan pelajar-pelajarnya dengan pengalaman-pengalaman tertentu. Antaranya pengalaman mengembara, ikhtiar hidup di hutan, dan menyertai pertandingan.

      “Hal ini adalah berkaitan dengan kegiatan kokurikulum di sekolah. Seterusnya, guru juga berperanan dalam mendidik pelajar-pelajarnya berakhlak mulia supaya mereka menjadi insan yang mulia,” katanya.

      Beliau memberitahu, guru hendaklah mendidik pelajarnya cara berhubung, berkomunikasi, adab makan, adab berpakaian, adab bergaul dan sebagainya supaya mereka menjadi insan yang berilmu dan bersahsiah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

      “Guru haruslah menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa supaya perkembangan pelajar di sekolah dan di rumah dapat diikuti. Sehubungan itu, guru haruslah mengetahui latar belakang keluarga pelajarnya,” jelasnya.

      Sumber : UMTK


      9kedah
      SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini melancarkan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bagi meringankan beban keluarga miskin dalam menangani peningkatan kos sara hidup di negeri ini.
      Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM2 juta yang diagihkan kepada 20,000 keluarga penoreh getah dan keluarga miskin di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
      Barakah, yang menyelaraskan sumbangan dan bantuan rakyat Kedah, disalurkan kepada golongan sasar menerusi lima komponennya - Barakah Insan, Barakah Kemasyarakatan, Barakah Usahaniaga, Barakah Anak Muda serta Barakah Pendidikan dan Modal Insan.
      "Sumbangan hari ini, Barakah Insan, diharap dapat membantu meringankan beban keluarga khususnya di kawasan luar bandar yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup," katanya semasa berucap melancarkan Barakah di
      pekarangan bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini.
      Ahmad Bashah turut menekankan supaya aspek pemuafakatan dititikberatkan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini dalam usaha membawa lebih banyak kejayaan dan perubahan di Kedah.
      Sumber : Sinar


      7discover
      ALOR SETAR 7 April - Kerajaan Negeri yakin dapat mencapai sasaran lima juta pelancong ke negeri ini menerusi pelbagai program pelancongan sempena Discover Kedah 2016 yang dijalankan sepanjang tahun ini.
      Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, sepanjang Discover Kedah 2016 dilancarkan sejak tiga bulan lalu, berlaku peningkatan mendadak kemasukan pelancong khususnya domestik ke negeri ini.
      “Saya mendapat respons positif daripada pengusaha hotel, peniaga termasuk mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan di mana Discover Kedah berjaya membawa kemeriahan dan keseronokan ke Kedah,” ujarnya selepas majlis pelepasan solo kayak dan konvoi permotoran Yayasan Permotoran Nasional (YPN) Dicover Kedah ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand yang diadakan di Tanjung Chali.
      Menurutnya, walaupun masih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan Kedah, pihaknya tidak akan mensia-siakan kemudahan sedia ada yang berpotensi diketengahkan.
      “Antaranya ialah keindahan Sungai Kedah yang masih boleh diteroka selain penganjuran Temasya Sukan Sungai baru-baru ini yang mendapat penyertaan 10 negara,” jelasnya.
      Tambahnya, program YPN dan Kelab Goldwing Kedah (KGK) antara misi mempromosi Kedah melalui darat dan lautan. Pihaknya menggunakan pendekatan berbeza iaitu misi solo kayak oleh Nadzeri Mustaffa ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, bermula dari Tanjung Rhu Langkawi pada 7 April 2016. Manakala konvoi bermotor disertai 30 motorsikal berkuasa tinggi menjelajah Wilayah Satun, Trang dan Krabi sebelum tiba ke Wilayah Phang Nga.
      Beliau selaku ketua konvoi dalam misi itu berkata, konvoi akan meneruskan perjalanan ke Pulau Koh Yao Noi untuk misi kemanusiaan untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Islam di pulau itu.
      “Kita akan sumbangkan sebanyak 50 buah basikal bagi kegunaan golongan kurang berkemampuan di sana. Setibanya di Phuket, sesi promosi Kedah akan dibuat di Phuket Bike Week yang disertai seramai 100,000 peminat motorsikal berkuasa tinggi, di mana saya diberi kesempatan berucap di majlis penutup,” ujarnya.
      Sumber : UMTK


      7pibg
      PENDANG 6 April - Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ibu bapa perlu faham bahawa PIBG merupakan badan yang sah yang ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar.
      “Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang.
      Menurutnya, pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak. Sebarang masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bekerjasama dengan pihak sekolah.
      “Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya,” jelasnya.
      Beliau memberitahu, peranan guru juga amat penting dalam memberikan pendidikan yang terbaik kepada setiap pelajar agar mereka mampu menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
      Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan serta Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Dato’ Hajah Azuyah Hassan.
      Sumber : UMTK