26pdnkk

    KUBANG PASU 25 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri hari ini merampas kira-kira 21,000 helai pakaian berjenama disyaki tiruan dianggar bernilai RM1.85 juta di Taman Sri Pelangi, dekat sini.
    Serbuan ke atas tiga buah rumah pada kira-kira pukul 11 pagi melibatkan 20 anggota penguat kuasa itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama sebulan.
    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai pemilik pakaian berjenama tiruan berkenaan.
    “Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 30-an itu sedang leka menyusun pakaian tiruan berkenaan sebelum diedarkan kepada peniaga di seluruh negara.
    “Sehubungan itu, kita berjaya merampas 8,000 helai pakaian dipercayai tiruan jenama Adidas, Nike (8,000 helai), Puma (2,500 helai), Boss (1,500 helai) dan Warrix sebanyak 1,000 helai yang dianggar bernilai RM1.85 juta.
    “Selain itu, sebuah van yang dipercayai digunakan untuk me­ngedar pakaian tiruan dari Thailand itu ke seluruh negara turut dirampas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    Shahrudin memberitahu, modus operandi digunakan pemilik itu adalah dengan menyewa rumah berkenaan sejak dua tahun lalu dengan kadar RM500 sebulan bagi menyimpan stok pakaian tiruan berkenaan sebelum diedarkan.
    “Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
    “Kita juga akan memanggil pemilik kepada jenama tersebut untuk membuat pengesahan ketulenan pakaian yang dirampas hari ini,” ujarnya.
    Tambahnya, penjualan pakai­an tiruan itu berleluasa dipercayai kerana mendapat permintaan tinggi dalam pasaran ekoran har­ganya yang lebih murah selain faktor musim bola sepak tempatan yang berlangsung pada masa ini.
    Sumber : Utusan


    23fest
    ALOR SETAR 24 Febuari - Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS) dengan sokongan Kerajaan Negeri Kedah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menganjurkan MYFest Darulaman 2016 yang julung-julung kali diadakan di Negeri Kedah Darul Aman.
    Pengerusinya, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, program ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 25 hingga 27 Februari 2016 yang bertempat di Dataran Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.
    “Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda terutamanya Bumiputera bagi menimba ilmu pengetahuan sambil meningkatkan ekonomi masing-masing,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Hotel Holiday Villa.
    Selain itu, katanya, bertepatan tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Negeri Kedah (Discover Kedah 2016), program ini mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar Negeri Kedah dengan diserikan pelbagai program yang menarik untuk manfaat semua lapisan masyarakat.
    Beliau memberitahu, MYFest Darulaman 2016 ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB. Dato’Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 27 Februari 2016, jam 4 petang.
    “Pelbagai pengisian telah diaturkan sepanjang berlangsungnya program ini dengan penglibatan jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan korporat dan swasta. Pengisian aktiviti ini meliputi beberapa segmen berdasarkan golongan sasaran iaitu kanak-kanak, belia dan masyarakat awam,” jelasnya.
    Sumber : UMTK


    22kekal
    ALOR SETAR 22 Febuari - Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengekalkan sembilan anggota Exco di bawah pentadbiran yang lalu merupakan satu langkah bijak bagi memastikan kelangsungan kemajuan negeri, kata beberapa anggota Exco.
    Pengerusi Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata keputusan untuk mengekalkan barisan exco sedia merupakan satu tindakan bijak Ahmad Bashah kerana kepakaran dan kefahaman mereka dalam bidang masing-masing.
    "Apa yang penting, segala mandat dan Akujanji yang dibuat pada PRU13 (pilihan raya umum ke-13 dapat ditunaikan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah exco di Istana Anak Bukit di sini hari ini
    Tajul Urus berkata walaupun portfolio sebagai Exco Perumahan digugurkan dan digantikan dengan portfolio baharu iaitu Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), dia akan terus menjalankan tugas dengan penuh berdedikasi dan tanpa berbelah bahagi.
    Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pula menyifatkan barisan exco yang dikekalkan adalah individu berpengalaman dan masing-masing bekerja keras di bawah kepimpinan bekas menteri besar lalu dan tidak ada masalah untuk menggerakkan momentum kerja pada penggal ini di bawah kepimpinan Ahmad Bashah. "Kita ada tempoh dua tahun sebelum pilihan raya umum, kemungkinan akan cadang kepada Kerajaan Negeri untuk melihat ruang bagi rakyat merasai nikmat secara langsung, contohnya isu pemilikan tanah di kawasan seperti Langkawi, Sik dan Pendang, serta berkaitan penjaja dan peniaga kecil," katanya.
    Mohd Rawi turut berharap akan ada tambahan peruntukan kepada semua portfolio yang akan diagihkan kepada semua Exco.
    Datuk Norsabrina Mohd Noor yang memegang portfolio yang sama sebagai Pengerusi Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia berkata dia yakin barisan exco yang dilantik semula ini dapat meneruskan segala perancangan yang dibuat sebelum ini demi kelangsungan negeri.
    "Saya yakin barisan exco yang dilantik ini adalah yang terbaik. Kami akan memberikan komitmen dan sokongan kepada kepimpinan baharu dalam memastikan segala perancangan dan agenda negeri dapat dilaksanakan.
    "Tahun ini merupakan tahun pelaksanaan perancangan negeri jadi kami akan bekerjasama dan isu wujudnya jurang persefahaman tidak berlaku kerana kami sudah meletakkan isu-isu sebelum di tepi dan telah kembali bersatu untuk memperkukuhkan negeri," katanya.
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob berkata kepercayaan Ahmad Bashah tidak akan disia-siakan bagi meneruskan agenda untuk rakyat yang belum tercapai sebelum ini.
    Suraya berkata beliau akan meneruskan usaha yang dibuat selama ini dan berharap segala rancangan yang dilaksanakan dapat diterima baik oleh rakyat.
    "Kita sudah melalui fasa yang menguji dan menjadi cabaran bukan sahaja kepada kepimpinan negeri tetapi juga rakyat. Saya amat berharap mereka bersabar untuk melihat segala yang dirancangkan dapat dilaksanakan," katanya.
    Katanya, beliau tidak melihat masalah yang akan timbul di sebalik pengekalan barisan Exco sedia ada dan berharap kesemuanya akan dapat bersama-sama melaksanakan janji dan perancangan yang dibuat sebelum ini.
    Hari ini sembilan anggota Exco di bawah pentadbiran Mukhriz dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
    Sumber : Sinar


    21r
    ALOR SETAR 21 Febuari - Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Mesir (WAAGM), Profesor Datuk Dr Fakhruddin Abdul Mukti dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berkuatkuasa 16 Februari.
    Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Profesor Datuk Mohd Yusof Kasim yang tamat perkhidmatan September lalu.
    Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, Dr Fakhruddin dilantik sebagai Rektor Kuin yang ke-4 bagi tempoh dua tahun dan menyifatkan pemilihan beliau amat bertepatan berikutan mempunyai latar belakang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab.
    “Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Azhar selain pernah menjadi Duta Malaysia di Mesir sewaktu negara Timur Tengah itu dilanda Arab Spring dan perang saudara, dan juga bekas pensyarah Universiti Malaya (UM),” katanya.
    Menurutnya, anak jati Kedah ini merupakan cucu kepada ulama tersohor di Gajah Mati, Pendang dikenali Pak Chu Him atau nama sebenarnya, Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Qader.
    Tajul Urus berkata, Dr Fakhruddin mempunyai hubungan baik dengan Universiti Al-Azhar dan kelebihan itu akan dimanfaatkan dalam memantapkan bidang pengajian Islam di Kuin.
    “Saya harap bawah pengurusan beliau kelak, Kuin mampu muncul sebagai pusat pengajian Islam tersohor, selain dapat fokus dalam bidang pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab,” katanya.
    Menurutnya, beliau juga antara individu yang mengatur pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas satu pentas, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di Kuala Lumpur, Disember lalu.
    Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menyifatkan pelantikan Dr Fakhruddin mampu memantapkan kecemerlangan pendidikan Islam di Kedah.
    Sumber : Sinar


    21cari
    PADANG TERAP 21 Febuari - Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan peruntukan untuk membantu membina semula asrama Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah yang musnah dalam kebakaran di Padang Kerasak, Naka dekat sini, baru-baru ini.
    Mahdzir berkata, sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan bagi membina semula dua buah blok asrama dan surau yang musnah dalam kebakaran pada Ahad lepas, dan surat permohonan kepada Pejabat Perdana Menteri telah dihantar untuk tujuan itu.
    “Saya akan berjumpa dengan Datuk Seri Najib untuk bincang perkara ini,” katanya selepas melawat sekolah tersebut dan menyampaikan bantuan di sini semalam.
    Jelasnya, Jabatan Kerja Raya ditugaskan untuk membuat reka bentuk bangunan tersebut menggunakan dana awal yang diperoleh daripada kerajaan negeri, orang perseorangan dan kerajaan persekutuan.
    Terdahulu, beliau yang juga Anggota Parlimen Padang Terap mengumumkan peruntukan awal RM100,000 kepada sekolah berkenaan.
    Dalam pada itu, Mahdzir mengulangi kenyataannya sebelum ini agar Jabatan Pendidikan Negeri menyemak dan melihat semula sistem pendawaian sekolah-sekolah yang berusia 20 tahun ke atas.
    Mahdzir berkata, ia kerana kecenderungan untuk berlaku litar pintas adalah tinggi bagi sekolah-sekolah berkenaan.
    “Kita nak mengelakkan kejadian litar pintas daripada berlaku, kalau sekolah usia lebih 20 tahun ini, risiko itu sangat tinggi,” katanya.
    Sumber : Sinar


    13langkah
    BALING 13 Febuari - Majlis Daerah Baling (MDB) akan mengkaji untuk memperketat langkah keselamatan kepada mereka yang mendaki Gunung Baling termasuk menyediakan jurupandu, kata Pegawai Daerah Baling, Dzohir Md Zain.
    Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan kerana sejak akhir-akhir ini banyak berlaku perkara tidak diingini kepada mereka yang mendaki gunung tersebut yang jumlah pendakinya semakin bertambah.
    "MDB akan turut melatih jurupandu supaya dapat membantu pendaki agar tidak tersesat laluan," katanya kepada Bernama.
    Pada Disember tahun lalu, empat remaja dilapor sesat ketika mendaki gunung tersebut dan lima remaja turut dilapor sesat pada Sabtu lalu.
    Sementara tiga hari lepas berlaku kebakaran hutan seluas empat hektar di gunung itu yang kerja-kerja memadam api ditamatkan semalam walaupun api masih belum dipadamkan sepenuhnya hingga ketika ini.
    Dzohair berkata antara elemen lain yang dikaji ialah untuk mewujudkan unit khas bagi membantu sekiranya pendaki menghadapi kesukaran semasa mendaki.
    "Kemungkinan juga selepas ini mana-mana individu yang ingin mendaki gunung ini perlu mengisi borang dan mendapat keizinan dari pihak MDB terlebih dahulu," katanya.
    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagaian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nazri Zakaria berkata pihaknya masih menyiasat punca kebakaran yang mengakibatkan aktiviti pendakian terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
    "Pendaki juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran semasa melakukan ekspedisi pendakian termasuk membuang puntung rokok sesuka hati," katanya.
    Sumber : Sinar


    5ahmaddd 
    ALOR SETAR 4 Febuari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berjanji akan menunaikan amanah sebagai Menteri Besar Kedah dengan sebaik mungkin demi rakyat dan rakyat.
    Beliau yang mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Jemaah Sultan Kedah di Balai Penghadapan Lama, Istana Anak Bukit di sini hari ini berkata, walaupun menyedari tanggungjawab yang dipikul amat berat namun yakin akan berjaya kalau ia dipikul secara bersama melalui kerjasama daripada semua peringkat.
    “Jika itu dapat dilakukan saya percaya negeri ini akan terus membangun, selain aspirasi rakyat dapat dipenuhi.
    Tumpuan utama kini, saya mahu membawa kembali ‘keluarga’ rakyat Kedah bersatu. Episod selama 14 hari sudah pun selesai dan mana yang terguris di sana sini, kita mahu ubati agar semua pihak dapat terus melangkah ke hadapan,” katanya yang menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang mele­takkan jawatan, semalam.
    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-88 di Balai Penghadapan Baharu istana tersebut.
    Yang hadir sama Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.
    Menurutnya, beliau menjunjung kasih terhadap Sultan Kedah serta Jemaah Pemangku selain berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi.
    Sementara itu katanya, beliau tiada masalah untuk meneruskan apa jua perancangan yang dibuat Mukhriz selagi perkara itu mendatangkan manfaat kepada rakyat ke­seluruhannya.
    “Selama ini apabila Barisan Nasional (BN) merampas negeri daripada pembangkang sekalipun, kita tiada masalah meneruskan agenda yang baik. Inikan pula sekadar bertukar Menteri Besar daripada parti yang sama. Tiada sebab untuk kita sekat,” katanya.
    Mengulas mengenai serangan-serangan peribadi yang sudah pun bertebaran di laman sosial, Ahmad Bashah berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang asing bagi ahli politik sepertinya.
    “Mainan politik seperti ini, di mana-mana pun ada. Saya tak kisah kerana apa yang lebih penting adalah perubahan politik di Kedah dengan sokongan pegawai kerajaan negeri serta Pusat.
    “Pagi ini mereka ambil gambar ketika mata saya tertutup dalam istiadat mengangkat sumpah. Takkanlah kita semua tak berkedip mata? Bagi saya perbuatan itu se­ngaja dilakukan semata-mata untuk menghina orang dan ingatlah, suatu hari nanti kita akan menghadap Tuhan,” katanya.
    Beliau dalam pada itu menganggap tempoh kira-kira dua tahun yang masih ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung cukup untuk memperkukuhkan UMNO serta Barisan Nasional di negeri ini.
    “Memang ada anggapan krisis yang berlaku ini sedikit-sebanyak mengikis kekuatan UMNO. Tetapi percayalah, dengan sokongan semua pihak, rak­yat akan diperjelaskan mengenai apa yang berlaku dalam tempoh dua ming­gu kebelakangan ini.
    “Tunggulah, saya percaya pada penghujungnya rakyat akan dapat melihat hikmah di sebalik perubahan ini. Segalanya dilakukan kerana kami menyayangi negeri dan rakyat Kedah,” ujarnya.
    Oleh : Mohd Rafie Azimi
    Sumber : Utusan