PASAR PRODUK MARA KE THAILAND



22pasar
ALOR SETAR 22 Mei – Kerajaan Kedah berhasrat mengembangkan perniagaan usahawan Mara dengan memasarkan produk mereka ke Selatan Thailand.
Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, ia adalah usaha menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia khususnya Kedah selain memperkenalkan produk usahawan tempatan.
“Dua bulan lalu saya melancarkan Festival Thai yang membawa produk Thailand ke Malaysia dan saya tertanya-tanya adakah Malaysia juga mempunyai produk atau usahawan yang boleh diketengahkan.
“Melalui Mara, saya terkejut kerana kita juga ada produk yang setanding dan lebih hebat dari negara jiran,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan Kedah Fest 2016 anjuran Mara di Kompleks Aman Central, di sini, semalam.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan semasa hadir ke Kedah pada 24 Mei ini.
“Saya nak cadangkan supaya kita buka laluan kepada usahawan Melayu bawah Mara untuk 10 wilayah Thailand yang akan dijenamakan sebagai Malay Fest.
“Melalui program ini secara tidak langsung dapat memberi semangat dan bimbingan bermakna kepada semua usahawan untuk meningkatkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Pada program Kedah Fest 2016 itu, lebih 30 usahawan dari seluruh negara berkumpul dan berkongsi pandangan mengenai produk masing-masing.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar