KENAL PASTI JALAN UNTUK DINAIK TARAF



2kenal
ALOR SETAR 2 Mei - Pejabat daerah di seluruh negeri ini diarah supaya me­ngenal pasti jalan termasuk jalan kampung di kawasan masing-masing untuk dinaik taraf kepada jalan negeri bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, setiap jalan yang berpotensi untuk dibangunkan itu perlu didaftarkan ke dalam Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) sekali gus membolehkan Kerajaan Pusat me­nyalurkan geran di bawah dana penyelenggaraan jalan.
Katanya, kerajaan negeri ber­ca­dang untuk menaik taraf lebih banyak jalan di negeri ini sepanjang tahun ini dengan sasaran panjang jalan sehingga 15,000 kilometer (km).
"Setiap jalan seperti jalan kampung yang menepati syarat untuk dinaik taraf perlu didaftarkan dalam Marris untuk diselenggara dengan baik. Melalui pendaftaran itu Kerajaan Pusat boleh me­nya­lurkan peruntukan untuk me­nye­lenggara jalan berkenaan.
"Statistik menunjukkan panjang jalan di Kedah yang mendapat peruntukan daripada Marris ada­lah, 5,753 km pada 2010; 5,766 km (2011); 7,756 km (2012); 11,399 km (2013) dan 13,332 km (2015 hingga Mac 2016).
“Ini menunjukkan pembangunan rancak di Kedah dirancang oleh kerajaan. Saya berharap lebih banyak jalan dapat diselenggara dengan baik, oleh sebab itu kita memerlukan data berkenaan,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kerja-kerja Undi 1Kedah Untuk Penyelenggaraan Jalan Negeri di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Samsudin Abu Bakar.
Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM170 juta melalui Marris pada 2016 yang diagihkan melalui sistem undi membabitkan Kontraktor G1 di seluruh negeri hari ini.
Ahmad Bashah juga mahu su­paya semua kontraktor ber­ke­na­an turut berdaftar dengan Marris untuk membuka peluang kepada mereka mendapat tempat dalam projek dari JKR.
“Saya juga mahu kontraktor yang terpilih dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin mahu pun dalam tender, dalam bentuk sebut harga mahupun undi. Ini mengelakkan mereka tidak disenaraihitamkan dan paling pen­ting memastikan pemberian geran daripada kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Segala perancangan dari kerajaan negeri dan Persekutuan ini adalah untuk membangun dan menaik taraf jalan negeri demi kesenangan rakyat,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan