MADA MULA LEPASKAN AIR UNTUK PESAWAH



30mada
KUBANG PASU 30 Mac - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan takungan air di tiga empangannya iaitu di Pedu, Ah­ning dan Muda mencukupi untuk ketiga-tiga fasa pelepasan air melibatkan kawasan sawah berkeluasan 100,558 hektar melibatkan 55,130 petani di negeri ini dan Perlis.

Pengurus Besarnya, Fouzi Ali berkata, ketika ini pihaknya sudah pun melakukan pelepasan air fasa pertama ke 11 kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perlis dan negeri ini sejak Khamis lalu.
Antara kawasan terlibat katanya adalah Arau, Kangar dan Tambun Tulang di Perlis serta Kodiang, Sanglang, Tunjang dan Pendang di negeri ini.
“Setakat ini sebanyak 35,456 hektar kawasan sawah melibatkan 16,724 petani di sebelas kawasan terlibat, sudah pun diairi sekali gus membolehkan mereka menjalankan kerja-kerja penanaman padi bagi musim pertama, tahun ini.
“Pelepasan air untuk kawasan lain bagi fasa kedua dan ketiga pula akan dilakukan pada 9 April dan 19 April ini. Setakat ini para petani tidak perlu bimbang kerana bekalan air di tiga empangan utama kita itu mencukupi biar pun dalam kea­daan cuaca panas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada media berhubung perkara berkenaan di Kawasan Bendang Fasa 1, Wilayah 2, Jitra di sini hari ini.
Sementara itu, rata-rata petani ditemui menzahirkan rasa syu­kur kerana bekalan air di petak sawah masing-masing tidak terjejas ekoran fenomena el-Nino yang melanda negara sejak 1 Mac lalu.
Salah seorang daripadanya, Shukri Samsuddin, 52, memberitahu, beliau dan rakan-rakannya sudah pun mula turun ke sawah untuk melakukan kerja-kerja membajak sebagai persediaan untuk menabur benih padi.
“Sistem perairan di kawasan sawah di sini sangat terartur kerana dipantau MADA. Sejak mula bertani kira-kira 30 tahun lalu, tidak pernah kami mengalami masalah bekalan air yang teruk.
“Disebabkan itu kami bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat. Dalam keadaan cuaca panas ketika ini juga, kami boleh turun ke sawah untuk mencari rezeki,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan