AHMAD BASHAH ANGKAT SUMPAH MB KEDAH



5ahmaddd 
ALOR SETAR 4 Febuari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berjanji akan menunaikan amanah sebagai Menteri Besar Kedah dengan sebaik mungkin demi rakyat dan rakyat.
Beliau yang mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Jemaah Sultan Kedah di Balai Penghadapan Lama, Istana Anak Bukit di sini hari ini berkata, walaupun menyedari tanggungjawab yang dipikul amat berat namun yakin akan berjaya kalau ia dipikul secara bersama melalui kerjasama daripada semua peringkat.
“Jika itu dapat dilakukan saya percaya negeri ini akan terus membangun, selain aspirasi rakyat dapat dipenuhi.
Tumpuan utama kini, saya mahu membawa kembali ‘keluarga’ rakyat Kedah bersatu. Episod selama 14 hari sudah pun selesai dan mana yang terguris di sana sini, kita mahu ubati agar semua pihak dapat terus melangkah ke hadapan,” katanya yang menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang mele­takkan jawatan, semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-88 di Balai Penghadapan Baharu istana tersebut.
Yang hadir sama Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.
Menurutnya, beliau menjunjung kasih terhadap Sultan Kedah serta Jemaah Pemangku selain berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi.
Sementara itu katanya, beliau tiada masalah untuk meneruskan apa jua perancangan yang dibuat Mukhriz selagi perkara itu mendatangkan manfaat kepada rakyat ke­seluruhannya.
“Selama ini apabila Barisan Nasional (BN) merampas negeri daripada pembangkang sekalipun, kita tiada masalah meneruskan agenda yang baik. Inikan pula sekadar bertukar Menteri Besar daripada parti yang sama. Tiada sebab untuk kita sekat,” katanya.
Mengulas mengenai serangan-serangan peribadi yang sudah pun bertebaran di laman sosial, Ahmad Bashah berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang asing bagi ahli politik sepertinya.
“Mainan politik seperti ini, di mana-mana pun ada. Saya tak kisah kerana apa yang lebih penting adalah perubahan politik di Kedah dengan sokongan pegawai kerajaan negeri serta Pusat.
“Pagi ini mereka ambil gambar ketika mata saya tertutup dalam istiadat mengangkat sumpah. Takkanlah kita semua tak berkedip mata? Bagi saya perbuatan itu se­ngaja dilakukan semata-mata untuk menghina orang dan ingatlah, suatu hari nanti kita akan menghadap Tuhan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menganggap tempoh kira-kira dua tahun yang masih ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung cukup untuk memperkukuhkan UMNO serta Barisan Nasional di negeri ini.
“Memang ada anggapan krisis yang berlaku ini sedikit-sebanyak mengikis kekuatan UMNO. Tetapi percayalah, dengan sokongan semua pihak, rak­yat akan diperjelaskan mengenai apa yang berlaku dalam tempoh dua ming­gu kebelakangan ini.
“Tunggulah, saya percaya pada penghujungnya rakyat akan dapat melihat hikmah di sebalik perubahan ini. Segalanya dilakukan kerana kami menyayangi negeri dan rakyat Kedah,” ujarnya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan