PM, MUKHRIZ BERTEMU



24pm
LANGKAWI 24 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir bersama di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini hari ini bagi me­nyambut ketibaan penerbangan sulung pertama AirAsia bagi laluan Langkawi-Guangzhou, China.
Kehadiran kedua-dua pemim­pin itu menutup segala spekulasi dan jangkaan bahawa senario politik Kedah bakal meletus selepas barisan kepemimpinan UMNO Kedah sebelum ini menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz dan meminta Perdana Menteri menukar pucuk pimpinan kerajaan negeri.
Najib dan Mukhriz yang tiba di kompleks tersebut selang lima minit turut menunjukkan kemesraan antara mereka, berbual mesra dan menghulur salam seolah-olah tiada isu dalaman yang membe­lenggu politik Kedah.
Mereka turut dilihat beramah mesra dengan para tetamu yang hadir, antaranya Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Kamarudin Meranun.
Najib yang berucap dalam maj­lis itu tidak sedikit pun menyentuh soal politik, sebaliknya sempat mengusik Mukhriz dengan menya­takan rasa senang hati melihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu tersenyum.
“Saya tengok wakil rakyat ada di sini sedang tersenyum, saya tengok Mukhriz pun tersenyum jadi saya jangka semua orang gembira hari ini,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh setiap yang hadir.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan Pusat akan terus membangunkan Langkawi sebagai produk pelancongan nombor satu negara agar sentiasa mendapat tumpuan pelancong terutama dari luar negara.
Katanya, pembukaan laluan Langkawi-Guangzhou itu adalah contoh hasil kerja keras antara Kementerian Pengangkutan dan AirAsia untuk memastikan pelancong dari China dapat datang ke pulau itu dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
“Saya dimaklumkan ada 400 juta rakyat China yang melancong keluar negara setiap tahun, justeru jika kita mampu menarik kehadiran 10 peratus daripadanya untuk datang ke Malaysia, pasti hasilnya sangat memberangsangkan.
“Kira-kira 2.3 juta penumpang melalui LTAL tahun lalu, hanya 176,000 yang terbang terus dari China dan Singapura, justeru ini menunjukkan perlu ada lebih ba­nyak penerbangan terus dibuka selepas ini,” katanya.
Najib dan Mukhriz kemudiannya meninggalkan majlis itu dengan menaiki satu kenderaan.
Oleh : Rodelio Junjun Taucan
Sumber : Utusan