KEHEBATAN KERAJAAN ISLAM KEDAH




    31kehebatan
    THAILAND 31 Januari - Siapa sangka peta negeri Kedah ketika era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (1710-1778) menjangkaui sehingga ke utara Thailand dan sempadan Myanmar. Kerajaan Kedah yang berperanan sebagai pusat penyebaran Islam terpenting di rantau ini ketika itu begitu dihormati dan digeruni oleh kuasa-kuasa lain.
    Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, di bawah pimpinan Tunku Anjang yang juga putera Sultan Muhammad Jiwa Adilin Mu’adzam Shah II, angkatan tentera Kedah berjaya meluaskan pengaruh bermula dari Pulau Sembilan yang terletak di lembah Kerian, Perak.
    Menurutnya, kuasa penaklukan Kedah turut meliputi negeri-negeri di utara tanah air iaitu Seberang Perai dan Pulau Pinang, Perlis termasuk Satun.
    “Kesemua kawasan ini pada asalnya adalah milik Kedah, malah pusat pemerintahan Kedah pernah terletak di Kota Sena kini dikenali sebagai bandar Kangar dan Kota Indera Kayangan yang terletak di utara negeri itu,” katanya.
    Tidak cukup dengan itu, wilayah Kedah terus diluaskan lagi bermula dengan Terang, Krabi, Phuket, Phanga dan Pulau Samilan di mana semua kawasan itu kini sudah menjadi milik Thailand.
    Menurutnya, semua kawasan tersebut juga mempunyai nama yang sebenar sebelum ia ditukar mengikut pertuturan masyarakat Thailand.
    “Sebagai contoh nama asal bagi Krabi adalah Kerambit dan ia membawa maksud sebilah pisau berbentuk sabit, Phuket pula asalnya dari perkataan Bukit dan Phanga pula berasal dari perkataan Bunga,” katanya.
    Wan Shamsudin berkata, dengan kekuatan ketenteraan ketika itu, Kedah terus menambah wilayah jajahannya sehingga ke Ranong dan terakhir di perairan Burma.
    Menurutnya, setiap kawasan jajahan takluk ini bukan semua kepunyaan Siam, namun sebahagiannya merupakan sebuah kerajaan yang tersendiri dan merdeka.
    “Perkataan Ranong juga berasal dari perkataan bahasa Melayu iaitu Rundung, tetapi ia juga ditukar ke dalam bentuk percakapan lain.
    “Malah hakikat kebenaran sejarah tersebut juga turut diakui pihak Siam sendiri di mana kerajaan Thailand sendiri turut membina mercu tanda di Segenting Kra (wilayah Ranong) dengan terukir perkataan “Di sinilah bermulanya bumi Melayu”,” katanya.
    Ada pangkalan kapal sendiri
    Beliau berkata, kejayaan meluaskan empayar Kedah tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya angkatan tentera Kedah turut bertempur dengan pihak-pihak tertentu sebelum berjaya menegakkan sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni.
    “Untuk menakluki kawasan tersebut, angkatan tentera Kedah terpaksa menghadapi tentangan sengit dari tempat-tempat yang ditaklukinya, namun pada zaman itu angkatan tentera Kedah sememangnya sukar untuk dikalahkan,” katanya.
    Wan Shamsudin berkata, kerajaan Islam Kedah turut mempunyai pangkalan kapal perang sendiri di pelabuhan Telibung, yang terletak dalam wilayah Terang.
    Menurutnya, bukti tersebut dapat dilihat dalam sebuah Syair Sultan Maulana, satu gelaran yang diberi kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II sewaktu Kedah diminta oleh kerajaan Siam untuk mengusir Burma di Phuket pada sekitar tahun 1808 hingga 1810.
    “Maka dalam syair itu, penyair menyindir angkatan perahu Siam jika dibandingkan dengan perahu perang Kedah yang dibina di Telibung.
    “Salah satu rangkap syair itu berbunyi “Perahu Melayu Telibung Kedah, Dua Puluh dibilang sudah, Lainnya Siam haram zadah, Perahu tiada memberi faedah”, maksud perahu dalam syair itu merujuk kepada kapal perang,” katanya.
    Cipta mata wang emas, perak
    Sementara itu, sebelum zaman perluasan kuasa berlaku, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II juga mencipta pelbagai jenis mata wang emas dan perak yang tertulis nama baginda.
    “Salah satu mata wang yang diterbitkan pada zamannya berbentuk ayam jantan dan ia disambung dengan mata wang berbentuk bulat seperti cincin,” katanya.
    Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, di sebalik banyak kejayaan di bawah zaman baginda, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II merupakan seorang pemimpin yang cukup dikenali sebagai seorang yang soleh dan sayangkan ulama.
    Menurutnya, pemimpin paling lama memerintah negeri Kedah itu juga turut mendalami ilmu agama di seberang laut dan berguru dengan seorang alim ulama dari Yaman iaitu Syeikh Abdul Jalil.
    “Baginda memerintah Kedah selama 68 tahun, namun sebelum menjadi sultan baginda meminta izin ayahandanya untuk menuntut ilmu agama terlebih dahulu.
    “Baginda kemudian menuntut di Palembang, apa yang menariknya, tuan gurunya iaitu Syeikh Abdul Jalil tidak pernah tahu anak muridnya itu adalah anak dari Sultan Kedah sehinggalah pihak istana mencari baginda untuk diminta pulang bagi menaiki tampuk pemerintahan,” katanya.
    Jelasnya Wan Shamsudin lagi, zaman keemasan Kedah bagaimanapun tidak mampu kekal beberapa lama kemudian akibat kekuatan tentera Kedah yang semakin lemah dan campur tangan kuasa tempatan seperti Acheh, Minangkabau, Bugis dan Siam.
    “Salah satu cara kuasa seperti Siam melemahkan pengaruh Kedah ialah dengan memaksa Kedah menentang kebangkitan Patani pada 1809 dan menyerang jirannya Perak pada 1818,” katanya.
    Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir Abd Hadi
    Sumber : Sinar