KEDAH PANTAU INSTITUSI PONDOK, MASJID


19kedah
KUBANG PASU 19 Januari - Kerajaan negeri akan sentiasa berhubung dengan institusi pondok dan masjid untuk memantau penularan fahaman militan Islamic State (IS) yang semakin membimbangkan pada masa kini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah pengawasan seumpama itu perlu diambil memandangkan fahaman ekstrem itu menyasarkan institusi agama untuk menyebarkan ajaran sonsang tersebut.
“Kita boleh atasinya melalui pe-ningkatan pengajaran Islam sebab itu saya selalu berhubung dengan pusat tahfiz, pondok agama dan masjid, namun ia bukan masalah di peringkat pengajian agama saja tapi di semua peringkat. “Sehubungan itu, kita kena peka dengan keadaan sekeliling, jangan buat-buat tidak nampak kalau ada unsur seperti itu disebarkan di kampung kita, semua kena main peranan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai serangan pengganas membabitkan letupan bom di Gedung Sarinah, Jakarta pada Khamis lalu selepas merasmikan Dewan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Wang Tepus di sini hari ini. Mukhriz berharap, serangan puak ekstremis yang mengejutkan Indonesia dan dunia itu tidak menular sehingga ke negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Ketua Polis negeri, Datuk Zamri Yahya bagi membincangkan ancaman tersebut terhadap keselamatan di negeri ini.
Beliau menambah, semua pihak perlu memainkan peranan untuk berhadapan dengan isu penularan fahaman ekstremis tersebut kerana membawa ancaman besar kepada negara memainkan peranan mengatasinya.
“Sebelum ini saya membaca terdapat seorang anak Kedah dikaitkan dengan IS, kemudian pula melihat video serangan di Indonesia dengan menggunakan agama sebagai keganasan.
“Kita anggap ini sangat serius dan tidak mahu perkara sama berlaku. Kita bimbang mungkin ada lagi orang Islam yang agamanya setebal kulit bawang akan terpengaruh dengan unsur IS.
“Jadi saya memohon bantuan daripada pejabat Ketua Polis Kedah untuk memberi maklum balas mengenai ancaman terbabit kerana mengikut video yang ditonton mereka menggunakan ayat al-Quran dan Hadith yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan