14pekerja
ALOR SETAR 14 Disember - Tenaga modal insan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang perlu disediakan terlebih dahulu sebagai syarat untuk menarik perhatian pihak industri memulakan operasi dan membuka kilang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, ini kerana aspek modal insan berkemahiran terutamanya dalam bidang teknologi tinggi antara kriteria dilihat pihak industri sebelum membuat keputusan memulakan pelaburan.
“Apabila pihak industri hendak masuk, mereka akan bertanya dahulu mengenai pekerja berkemahiran bagi bagi memenuhi keperluan.
“Jadi, kalau kita tidak bersiap sedia, maka tiada gunanya sekiranya ada taman industri di negeri ini jika akhirnya tenaga kerja diimport dari Selangor, Johor dan juga dari luar negara bukan di kalangan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan Bizchannel@Mara Karnival Permotoran Kedah 2015 di Stadium Darul Aman di sini semalam.
Program selama tiga hari anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu diadakan untuk memberi ruang dan pendedahan kepada belia me­ngenai pembudayaan minda keusahawanan dalam bidang automotif dalam usaha melahirkanusahawan berskala besar dalam bidang tersebut di negeri ini.
Suraya memberi contoh mengenai, senario yang berlaku di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di mana pihak industri memilih untuk berada di situ disebabkan adanya pekerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan mereka.
“Hebatnya di KHTP ini, terda­pat­ 20,000 pekerja mahir yang mana 85 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat negeri ini dengan gaji permulaan mereka peroleh sekitar RM6,900. Itu baru pada peringkat bawah belum yang tinggi lagi.
“Ini membawa maksud kehebatan sesuatu taman perindustrian itu hanya akan dinikmati kalau dapat disediakan dengan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman mengenai sesebuah industri amat diperlukan terlebih dahulu sebelum boleh membangunkan sebuah kumpulan tenaga kerja mahir untuk tujuan tersebut.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan


12buang
ALOR SETAR 12 Disember - Faktor usia didakwa menjadi halangan bagi masyarakat terutamanya golongan warga emas untuk mengakui tidak pandai membaca al-Quran.
Guru agama, Muhammad Shukri Mat Desa berkata, faktor usia emas sebenarnya tidak perlu dijadikan sekatan untuk menambah ilmu.
“Untuk itu, walaupun usia sudah lanjut orang dewasa tidak perlulah malu untuk mengakui dirinya tidak pandai membaca al-Quran, asalkan ada niat di dalam diri untuk berubah.
“Bagaimanapun, saya bersyukur memandangkan kini makin ramai sudah sedar, sekali gus tidak keberatan memasuki kelas mengaji meskipun sudah lewat usia,” katanya.
Malah, Pengurus Pusat Pengajian Al-Quran Titian Ilmu, Mohd Saidi Amin Shah berkata, masyarakat kini dilihat kian celik mengenai kepentingan ilmu, terutamanya al-Quran.
Disebabkan itu, menurutnya, pusat pengajian berkenaan dibuka demi memberi tunjuk ajar dalam al-Quran, hafazan, asas fardu ain dan Bahasa Arab.
"Untuk itu, penubuhan kelas bagi dewasa dan kanak-kanak di pusat pengajian berkenaan dilakukan demi membolehkan masyarakat mahir membaca al-Quran," katanya.
Saidi berkata, pusat pengajian yang dibuka pada awal Januari lalu itu dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat, termasuklah pelajar dewasa.
Malah, katanya, mereka kini memiliki pelajar berusia semuda enam tahun sehinggalah berusia 64 tahun di pusat pengajian beroperasi di Jalan Kuala Kedah.
Sumber : Sinar



    7penstrukturan
    ALOR SETAR 7 Disember – Kerajaan Negeri menganggarkan kuitpan hasil sebanyak RM721,624,745 bagi tahun 2016 dan daripada jumlah itu, hasil cukai merupakan penyumbang terbesar dengan anggaran kutipan sebanyak RM441,571,545 atau 61.9 peratus.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, terimaan bukan hasil dijangka menyumbang sebanyak RM203,852,150 atau 28.25 peratus. Manakala kutipan sebanyak RM76,201,050 atau 10.56 peratus adalah dianggarkan daripada hasil bukan cukai.
    “Semakan kadar cukai sewa tanah yang terakhir telah dibuat pada tahun 2005 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2006. Namun, pelaksanaan kadar semakan berkenaan telah terhenti pada tahun 2008 apabila Kerajaan pada masa itu telah melaksanakan rebat sebanyak 20 peratus iaitu pengurangan hasil sebanyak RM50 juta daripada kadar cukai sewa tanah semasa yang perlu dibayar,” katanya kepada pemberita selepas Pembentangan Bajet 2016 Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 yang diadakan di Wisma Darul Aman.
    Menurutnya, jumlah hak milik tanah di Negeri Kedah adalah sebanyak 751,352 bagi tahun 2015 dengan jumlah cukai berhak dikutip sebanyak RM130,742,659 setahun. Daripada jumlah itu, 328,232 hak milik adalah bagi kategori pertanian, 409,308 hak milik bagi kategori bangunan (perniagaan, kediaman dan lain-lain), 11,361 hak milik kategori industri manakala sebanyak 2,451 tanpa kategori seperti hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
    Beliau memberitahu, semakan kadar sewa tanah ini akan member pertambahan hasil kerajaan sebanyak RM94 juta setahun. Hasil cukai sewa tanah berulang patut dikutip akan meningkat kepada RM225 juta setahun berbanding kutipan mengikut kadar sedia ada berjumlah RM131 juta.
    Sumber : UMTK



      7kempen
      ALOR SETAR 7 Disember - AVON Cosmetics Malaysia Sdn Bhd meneruskan kempen memerangi kanser payudara sepanjang bulan Oktober di seluruh negara bermula 3 hingga 31 Oktober 2015.
      Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, AVON merupakan sebuah syarikat yang begitu prihatin dalam usaha membantu memberikan peningkatan hidup wanita menjadi lebih baik dalam segala aspek termasuklah mengenai penjagaan kesihatan payudara.
      “AVON Malaysia melalui kempen memerangi kanser payudara ingin meningkatkan kesedaran dengan menyampaikan mesej bahawa perkara seperti kesihatan payudara bukan menjadi topik yang privasi bagi wanita tetapi sebaliknya perlu diperkatakan secara terbuka oleh semua wanita dengan cara menggalakkan rakan-rakan, saudara mara atau ahli keluarga mengetahui risiko kanser payudara dan kesan dengan lebih awal,” ujarnya pada Kempen Memerangi Kanser Payudara di AVON Kosmetics Cawangan Alor Setar.
      Menurutnya, inisiatif tanggungjawab sosial ini merupakan satu kempen yang bertujuan memberikan pendedahan pendidikan dan kesedaran kepada semua wanita mengenai kepentingan mendapatkan pemeriksaan dengan cara mengesan lebih awal.
      “AVON melalui inisiatif peringkat global juga telajh melancarkan kempen kesedaran mengenai kanser payudara ini di 31 buah negara di samping menggalakkan wanita memberikan sokongan kepada satu sama lain untuk mendapatkan pemeriksaan dan berjumpa doktor,” jelasnya.
      Beliau memberitahu, seperti tahun-tahun sebelumnya, AVON dan rakan strategik iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebuah agensi di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat telah turun padang memberikan pengetahuan dan kesedaran mengenai kanser payudara serta menggalakkan mereka melakukan sendiri pemeriksaan payudara.
      Melalui siri jelajah ini, katanya, perkhidmatan utama yang disediakan adalah mengenai cara-cara pemeriksaan sendiri payudara di dalam Klinik Bergerak LPPKN serta perkhidmatan percuma yang lain termasuklah pemeriksaan kesihatan.
      Sumber : UMTK


      6program
      ALOR SETAR 6 Disember – Kerajaan Negeri menyokong penuh pelaksanaan program pengasingan sisa di punca bagi mengurangkan sisa pepejal yang di bawa ke tapak pelupusan.
      Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, dengan perlaksanaan itu, ianya diharap dapat mengurangkan peruntukan wang negara bagi proses pelupusan sisa pepejal.
      Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap agar semua rakyat di negeri ini dapat mempraktikkan pengasingan sisa di punca bagi menjaga dan mengekalkan kesejahteraan alam sekitar.
      “Saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Syarikat E-Idaman, bukan sahaja dari aspek menjaga kebersihan malahan juga ianya merangkumi kerja-kerja kebajikan masyarakat setempat,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Kembara SAS (Pengasingan Sisa Di Punca) yang diadakan di Aman Central.
      Beliau menjelaskan, pihaknya berharap agar E-Idaman bersama-sama SWCorp akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi ke arah mencapai sifar aduan dan menjadikan Negeri Kedah sebagai negeri pertama mencapai status ‘sifar’ aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.
      “Dalam hal ini, bukan syarikat kumpulan E-Idaman sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan menjaga kebersihan, malah setiap individu perlu bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan hasrat murni ini,” katanya.
      Kepada warga kerja syarikat E-Idaman Sdn Bhd, pihaknya berharap agar usaha murni itu akan diteruskan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.
      Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah SWCorp Kedah, Puan Fadzilah Haji Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Encik Mohd Saiful Anuar Zainal.
      Sumber : UMTK


      6sektor
      GURUN 6 Disember – Sektor ekonomi di negeri ini terus berkembang maju seiring dengan kepesatan pembangunan dalam usaha menjadikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang berdaya maju.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian yang menyumbang kepada pertumbuhan yang berdaya maju.
      “Kita ingin memastikan bekalan iaitu beras mencukupi untuk keperluan rakyat kerana Kedah merupakan negeri Jelapang Padi yang membekalkan beras kepada negara,” ujarnya ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke kilang NPK Fertilizer Sdn Bhd.
      Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menambahbaik sektor pertanian terutama penanaman padi dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan petani di negeri ini.
      “Kita ingin menjadikan sektor pertanian terus berkembang maju seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian,” jelasnya.
      Beliau memberitahu, kerjasama daripada petani-petani juga amat diperlukan dalam usaha bersama-sama memajukan sektor pertanian agar pendapatan golongan petani dapat ditingkatkan.
      “Selain penanaman padi, sektor pertanian lain juga turut diberikan perhatian ke arah merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan dilihat berupaya menyumbang kepada pembangunan Negeri Kedah,” katanya.
      Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dato’ Seri Haji Saipolbahari Haji Suib.
      Sumber : UMTK