18lesen
YAN 31 Oktober - Kerajaan Kedah tetap mahu membangunkan Pulau Bunting di sini sebagai sebuah pelabuhan walaupun ada cadangan pihak swasta untuk membina sebuah loji jana kuasa elektrik menggunakan arang batu di pulau itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pelabuhan di pulau itu adalah untuk dimanfaatkan oleh industri di Gurun, terutama syarikat automotif.

"Ini (pelabuhan di Pulau Bunting) adalah salah satu rancangan jangka panjang, jadi saya lihat Yan mempunyai banyak potensi bukan sahaja pelancongan tetapi juga industri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke daerah itu hari ini.

Bagaimanapun katanya cadangan membangunkan Pulau Bunting sebagai sebuah pelabuhan masih pada peringkat awal.

Menurut Mukhriz kerajaan negeri merancang memanfaatkan pembinaan jalan raya antara Pulau Bunting dan Gurun oleh kerajaan pusat itu dengan terus membangunkan daerah tersebut.

Kerja pembinaan jalan raya sepanjang 18 kilometer itu kini mencecah 18 peratus.
Sumber : Sinar

25projek
ALOR SETAR 25 Oktober - Kerajaan berharap projek mega Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai lebih daripada RM3 bilion di Kuala Tebengau, Kuala Kedah dekat sini dapat disenaraikan di dalam rangka inisiatif Laluan Sutera Maritim yang diperkenalkan China.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisia­tif yang menjadi tumpuan kerajaan China dalam tempoh setahun dua itu adalah untuk merapatkan hubungan dengan negara-negara jiran itu terutamanya dalam bidang pelaburan.
“Kita berharap KIFT dapat dimasukkan ke dalam konteks kerjasama antara Malaysia dengan China. Projek Laluan Sutera Maritim ini telah mendapat sambutan daripada kita, beberapa seminar mengenainya sudah diadakan. Sekarang ini, hendak melihat kepada kepada kandungannya kerana konsepnya sudah difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mesyuarat kali kedua yang diadakan selepas 2013 itu dipengerusikan bersama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Sebanyak empat kertas perbincangan dan sembilan kertas makluman daripada kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensinya telah dibentangkan pada mesyuarakat kali ini.
Antaranya, cadangan Pembangunan Zon Industri Fasa Kelima Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP); Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP); Bandar Raya Getah dan KIFT.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, dalam konteks kerjasama sedia ada di antara kedua-dua belah pihak, Kuantan sudah mempunyai hubungan dengan Qinzhou melibatkan kerjasama dengan syarikat dari negara itu dalam membangunkan sebuah taman perindustrian dan di Melaka pula, kerajaan negeri telah menjalinkan kerjasama dengan wilayah Guangdong.
“Kalau di Tebengau, Kedah pula, kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan Qingdao. Ia akan menjadi suatu projek yang dipantau kerajaan di peringkat secara rasmi, sudah pasti akan diberi keutamaan lebih tinggi.
“Oleh itu, kita harus beri tum­puan lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menggalakkan pelaburan. Kalau tidak, hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi akan terjejas, semua agensi pusat dan negeri perlu tumpu perhatian untuk galakkan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, nilai pelaburan untuk pembinaan terminal Tebengau itu sahaja dianggarkan RM1 sehingga RM2 bilion, ini tidak termasuk dengan pembinaan sebanyak 20 kapal bernilai RM2 bi­lion yang turut memerlukan permit dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau berkata, perjalanan projek berimpak tinggi tersebut masih di peringkat awal memandangkan kajian Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) perlu dijalankan kerana kawasan itu berada pesisir pantai.
“Projek ini dijangkakan akan siap tidak lama lagi, kerana di peringkat kerajaan negeri secara dasarnya sudah diluluskan tetapi sekarang ini hendak memasukkan lebih maklumat pembangunan terperinci.
“Kita harap akan dapat pendaratan pertama ikan tuna pada pertengahan 2017, sama-sama kita nantikan dalam masa dua tahun lagi,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan


18lesen
SUNGAI PETANI 22 Oktober - Kedah bercadang mewartakan Hutan Paya Bakau Sungai Merbok berkeluasan 3,000 hektar sebagai Rizab Biosfera Unesco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan itu kepada Unesco pada Januari 2016 apabila penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menyelesaikan kajian itu.

"Kita buat keputusan untuk mengawal pembangunan yang berlaku di kawasan ini kerana kita nak mencari satu titik keseimbangan antara pembangunan dengan kerja melestarikan alam semula jadi kita.

"Ini tidak bertujuan mengacau periuk nasi masyarakat di sini, sebaliknya kami sedang mencari cara yang menggunakan alam semula jadi, tetapi pada masa yang sama menjana pendapatan lebih lumayan masyarakat di sini melalui aktiviti perikanan seperti sangkar ikan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hutan paya bakau tersebut, kata Mukhriz, unik dengan 42 spesies paya bakau daripada 60 spesies di dunia terdapat di situ, satu daripadanya ialah Pokok Mata Buaya yang hanya terdapat di empat kawasan paya bakau di seluruh dunia.

Dalam lawatan hari ini, Mukhriz berkesempatan menyusuri Sungai Merbok dari Jeti Semeling ke Tanjung Dawai, dan singgah di Teluk Kedangsar, yang turut disertai Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Unesco Biosfera di pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani bersama penyelidik USM dan Jabatan Perhutanan.

Menurutnya, bagi memelihara khazanah negara di kawasan tersebut juga, kerajaan negeri akan mengehadkan aktiviti penebangan bakau, selain meminta pihak tertentu mengurangkan kelajuan bot di sekitar paya bakau bagi mengelak hakisan paya bakau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, satu dosir mengandungi data-data kajian lengkap perlu dihantar kepada Unesco untuk dinilai sebelum mendapat status rizab biosfera itu.

Katanya USM membuat kajian 40 tahun untuk mewartakan kawasan tersebut.
Mokhtar berkata, sekiranya Unesco mengisytiharkannya sebagai rizab Biosfera, Kedah akan mendapat dua faedah utama iaitu kedatangan pelancong Biosfera dari seluruh dunia dan memperbetulkan pembangunan dengan cara lebih lestari.

"Apabila ia mendapat status biosfera, maka ia akan dikenali sebagai satu tapak global dan dapat menarik lebih ramai penyelidik dan kita juga berkongsi pengetahuan daripada penyelidik Biosfera yang lain. Kita optimis akan mendapat status tersebut," katanya.

Ketika ini, dua tempat di negara ini telah disytiharkan sebagai rizab biosfera iaitu Tasik Chini di Pahang pada 2009, dan Banjaran Crocker di Sabah pada tahun lepas.
Sumber : Sinar


20perpaduan
SUNGAI PETANI 20 Oktober - Aktiviti kesenian dan kebudayaan daripada pelbagai kaum serta agama yang wujud di negara ini adalah satu keunikan yang mampu memupuk semangat perpaduan dan keharmonian yang perlu dipertahankan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, biar pun terdapat pelbagai kaum dan agama, hubungan antara masyarakat terus terjalin dengan baik tanpa mengambil kira perbezaan warna kulit mahu pun agama dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Inilah keistimewaan yang ada di negara ini kerana melalui kepelbagaian aktiviti dan program kesenian serta kebudayaan mampu menyatukan hubungan mereka yang diamalkan Kerajaan sejak sekian lama,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah di Jalan Pengkalan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan hubungan baik antara kaum terus terjalin dan antaranya melalui aktiviti atau program kesenian serta kebudayaan yang membabitkan masyarakat daripada semua kaum.
“Sebagai contoh pesta tanglung yang disambut setiap tahun oleh kaum Cina, kita mahu sambutan sebegini bukan saja membabitkan satu kaum, tetapi semua. Begitu juga perayaan lain yang dapat mengekalkan keharmonian kaum,” katanya.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut meluangkan masa meninjau pelbagai lukisan mural yang dilukis pada dinding dan beramah mesra dengan masyarakat yang turut memeriahkan sambutan pesta tanglung berkenaan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan serta Perpaduan, YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain.
Sumber : UMTK



    20masalah
    YAN 20 Oktober – Masalah kekerapan banjir kilat di Kampung Baru, Guar Chempedak yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat.
    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, YB. Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, beliau memandang serius masalah itu kerana kejadian banjir menyebabkan aktiviti harian ratusan penduduk terjejas.
    “Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan dan kita sudah panjangkan aduan itu kepada Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU). Setelah lama menanti, akhirnya Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina semula sistem perparitan di kawasan berkenaan,” ujarnya.
    Menurutnya, projek pemasangan dan pembinaan semula sistem perparitan sepanjang 800 meter itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
    “Saya prihatin kepada masalah penduduk berkenaan sebab setiap kali hujan pasti berlaku banjir. Tidak sampai sejam air sudah naik. Kejadian itu menyebabkan aktiviti harian terjejas selain terpaksa menanggung kerugian kerosakan perabot dan peralatan elektrik,” tambahnya.
    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi turut menyifatkan bahawa projek itu dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
    “Kita berbincang dengan semua penduduk yang terlibat dan masing-masing bersetuju untuk membenarkan kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan itu,” katanya.
    Sumber : UMTK


    19peladang
    ALOR SETAR 19 Oktober - Pertubuhan Peladang di nege­ri ini digesa melengkapkan diri dengan teknologi baru terutama berasaskan inovasi dalam sistem tanaman dan jentera tanaman demi untuk meningkatkan produktiviti.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Pertubuhan Peladang khususnya tidak boleh leka kerana transformasi besar sebegini akan memberi kesan dari segi persaingan mendapatkan peluang-peluang perniagaan.
    “Sekiranya pertubuhan peladang tidak mempersiapkan diri, mereka akan ketinggalan serta mungkin membataskan pengembangan aktiviti perniagaan yang sedang dilaksanakan. Ini kerana sesetengah negara mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang jauh lebih rendah dengan produktiviti yang dihasilkan oleh pekerja mereka lebih tinggi,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK).
    Beliau memberitahu, untuk memastikan pertubuhan peladang terus relevan dan mampu bersaing, mereka perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek yang menjadi alat persaingan masa kini. Pertubuhan Peladang mesti memastikan sesuatu pengeluaran, contohnya padi, meningkat dari purata 4.5 metrik tan kepada hasil yang jauh lebih tinggi.
    “Untuk meningkatkan produktiviti, pertubuhan peladang tidak semestinya meningkatkan keluasan kawasan tanaman kerana kawasan yang tersedia semakin terhad disebabkan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, pembangunan bandar, perumahan dan lain-lain lagi,” jelasnya.
    Sebaliknya, katanya, Pertubuhan Peladang boleh melaksanakan aktiviti yang berasaskan inovasi. Beliau difahamkan PPNK sendiri beberapa kali berjaya membuat inovasi dalam sistem tanaman, kejenteraan ladang. Begitu juga kajian keberkesanan penggunaan jentuai.
    “Melalui penguasaan teknologi maklumat atau lain-lain teknologi yang berkaitan dengan bidang usa­ha di pertubuhan peladang, maka kerja-kerja dapat dihasilkan dengan cepat, pantas dan lebih cekap.” tambahnya.
    Menteri Besar menegaskan, Kerajaan Negeri berharap agar pertubuhan peladang menjadi juara dalam memperjuangkan nasib peladang. Jadikanlah pertubuhan peladang sebagai sebuah pertubuhan yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahli di bawah naungannya.
    Sumber : UMTK


    2ambil
    ALOR SETAR 19 Oktober– Masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan Pokok Sena dan Padang Terap dijangka dapat diselesaikan dengan pembinaan loji rawatan air baru Pokok Sena yang terletak di Sungai Santap, Jabi.
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, loji berkenaan yang bernilai RM50 juta itu dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.
    “Proses pengambilan tanah telah dijalankan, kita juga sudah melantik kontraktor dan kerja-kerja pembinaan loji ini akan bermula pada tahun ini juga. Kita cuba selesaikan projek ini dengan segera bagi memastikan masalah bekalan air tidak lagi mengganggu kehidupan seharian penduduk,” jelasnya.
    Menurutnya, apabila projek berkenaan siap sepenuhnya masalah gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kawasan Kampung Bukit, Kampung Panchor, Felda Bukit Tembaga, Naka serta lain-lain lagi akan selesai.
    Tambahnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga telah mengambil langkah segera bagi membantu penduduk di kawasan yang sering mengalami masalah gangguan air di Pokok Sena dan Padang Terap dengan menghantar bekalan air kepada mereka yang terlibat menggunakan lori tangki.
    Sumber : UMTK


    18selamat
    SUNGAI PETANI 18 Oktober – Kewujudan pelindung bayi atau baby hatch bukan bertujuan menggalakkan pembuangan anak luar nikah sebaliknya menyelamatkan nyawa bayi tidak berdosa.
    Pengerusi Yayasan Orphancare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, pada peringkat mula ditubuhkan pada 2010, masyarakat memandang negatif apabila beranggapan penubuhannya menggalakkan seks luar nikah atau kelahiran anak luar nikah.
    Menurutnya, matlamat Yayasan Orphancare amat jelas iaitu mahu menyelamatkan bayi daripada dibuang atau berdepan situasi malang akibat tindakan ibu yang berdepan kesukaran. Jelas sekali matlamat pihaknya bukan mahu menggalakkan lebih ramai buang anak sebaliknya mahu menyelamatkan nyawa bayi dan memberikan kasih sayang secukupnya apabila diserahkan kepada ibu bapa angkat.
    “Sebelum bayi itu dilahirkan ia bukan tanggungjawab kita tetapi ibu bapa dan pihak lain supaya mendidik anak gadis supaya tidak terjebak melahirkan anak luar nikah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Baby Hatch yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
    Beliau memberitahu, ibu yang tidak ingin memelihara anak yang dilahirkan boleh menghantar kepada petugas Orphancare Cawangan Utara di No.4400, Jalan Serampang 2/1, Taman Ria Jaya, Sungai Petani pada bila-bila masa.
    “Namun, bagi yang tidak mahu identiti mereka didedahkan, boleh meletakkan bayi dalam kotak baby hatch di mana secara automatik lampu dan penyaman udara akan terbuka sebaik sahaja bayi dimasukkan. Dengan tertubuhnya pusat ini di Sungai Petani, menjadikan ia yang ketiga selepas Petaling Jaya dan Johor Baharu,” jelasnya.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Encik Mohd Noor Chik.
    Sumber : UMTK


    12kedah
    ALOR SETAR 11 Oktober - Kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melaksanakan audit bahasa Melayu dalam usaha menyerlah penggunaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan di negeri ini.
    Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, komitmen padu kerajaan negeri itu antaranya termasuk dari aspek penggunaan bahasa pada papan tanda, nama jalan dan nama taman perumahan.
    Katanya, kerajaan negeri juga terbuka kepada sebarang teguran DBP termasuk dalam usaha membabitkan kesusasteraan dan penerbitan dalam bahasa berkenaan.
    “Ia membabitkan satu pengau­ditan kegunaan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan kerajaan ne­geri tidak terhad kepada penamaan jalan, taman perumahan dan lain-lain lagi tetapi juga persuratan kita dan sebagainya.
    “Begitu juga dari segi penerbitan buku dan dokumen oleh kerajaan negeri seperti setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri ada sahaja enakmen baharu yang digubal dan diluluskan, ini pun sebaiknya kita guna bahasa yang cantik kerana itu akan termaktub dalam undang-undang negeri. Jika prihatin, ini juga untuk anak cucu kita,” katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2015 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
    Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan sebagai mewakili menterinya dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan.
    Dalam majlis sama, kerajaan ne­geri dan DBP turut menandatangani memorandum persefahaman bagi membolehkan lebih banyak kerjasama dijalankan membabitkan perkara berkaitan bahasa Me­layu.
    Tambah Mukhriz, kerajaan ne­geri berhasrat untuk menerbitkan lebih banyak karya sejarah dalam bahasa Melayu terutama berkaitan sejarah negeri.
    “Penting bagi kerajaan negeri adalah bagaimana kita rakam sejarah kita melalui penerbitan karyanya. Kita tahu Persatuan Sejarah Kedah tidak henti buat kajian di seluruh rantau Asia untuk kutip pelbagai maklumat dalam pelbagai media mengenai sejarah Kedah. Bila jumpa dan bukukan dalam bahasa Melayu dapat tunjukkan betapa indahnya bahasa kita,” katanya.
    Tambah beliau, kerajaan negeri juga mengalu-alukan kerjasama DBP dalam usaha menjayakan apa-apa juga hasrat kerajaan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.
    Berucap dalam majlis tersebut, Mukhriz menyeru agar semua rakyat negeri ini sentiasa menyokong usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
    “Kita seharusnya peka dan prihatin bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan bukanlah hanya tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap entiti dalam masyarakat di negara ini seharusnya memainkan peranan,” katanya.
    Oleh : Jamiliah Abdullah
    Sumber : Utusan


    11maslah
    ALOR SETAR 11 Oktober - Masalah kekerapan banjir kilat di Jalan Telok Wanjah, di sini, sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
    Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
    “Saya menerima banyak aduan tentang masalah banjir kilat di kawasan ini. Kita dapati memang betul sebahagian parit yang sepatutnya boleh menampung aliran air terutama ketika banjir sudah terputus.
    “Mungkin ia disebabkan oleh pam air yang tidak beroperasi dengan betul ataupun pam itu sudah berusia lebih 20 tahun,” katanya.
    Menurutnya, walaupun isu tebatan banjir adalah bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar namun, beliau sedia membantu mengikut kapasiti yang dibenarkan.
    “Saya beri komitmen kepada pemimpin tempatan bahawa kita boleh bantu misalnya membaiki pam atau membeli pam yang baru,"katanya.
    Sumber : Sinar


    11permaisuri
    LANGKAWI 11 Oktober - Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menutup Sayembara Srikandi Pandu Puteri (SSPP) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.
    Ketibaan Baginda pada jam 8.45 malam disambut oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Normala Baharudin dan Pengerusi Pengelola SSPP, Chempaka Emalin Pahamin.
    Selain itu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang juga Penaung DiRaja PPPM turut berkenan menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang sayembara.
    Seramai 480 ahli PPPM dari seluruh negara dan antarabangsa termasuk dari Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, Brunei dan Thailand menyertai sayembara yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi.
    Berucap pada majlis itu, Chempaka Emalin berkata, penganjuran acara itu memberi peluang kepada ahli pandu puteri remaja mengasah bakat dalam bidang seni, selain mengeratkan hubungan silaturahim.
    “Sayembara ini bercorak pertandingan membabitkan acara silat, kompang, tarian dan dikir barat yang dijayakan oleh ahli-ahli Pandu Puteri selepas mendapat bimbingan jurulatih. Mereka tiba di Langkawi dari pelbagai latar belakang, kemudian mereka diagihkan dalam beberapa kelompok sebelum menjalani latihan dengan bimbingan guru dalam acara seni berkenaan. Persembahan setiap kumpulan termasuk peserta antarabangsa dinilai juri bagi penentuan pemenang,” jelasnya.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, YB. Dato’ Nawawi Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan.
    Sumber : UMTK


    11freemarket
    ALOR SETAR 11 Oktober– Barangan percuma yang diletakkan pada Program Freemarket @ zakatkedah di Perkarangan Menara Zakat, Jalan Telok Wanjah habis lebih awal dari masa yang ditetapkan.
    Ketua Bahagian Korporat Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Mohd Sani Harun berkata, pemberian barangan percuma sedemikian dilakukan mereka buat pertama kalinya.
    “Bagaimanapun, sungguh mengejutkan apabila kami mendapati program yang diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan apabila barangan didapati habis lebih awal dari masa yang ditetapkan. Dianggarkan, lebih 500 golongan asnaf tidak melepaskan peluang memilih barangan yang diperlukan mereka terutamanya pakaian dalam acara berkenaan,” ujarnya.
    Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi meringankan beban golongan asnaf, sekaligus membantu mereka mendapatkan barangan yang diperlukan. Ada di antara golongan asnaf berkenaan memakai baju yang sama sekian lama tanpa ditukar disebabkan tidak mampu membeli pakaian baru.
    Beliau menjelaskan, pihaknya gembira melihat reaksi asnaf berkenaan terutamanya golongan kanak-kanak yang teruja memilih barangan diperlukan mereka. Sumbangan barangan seperti pakaian, alat permainan, peralatan elektrik dan buku berkenaan diberikan pihak tertentu seperti orang-perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan Kindness Malaysia.
    Untuk itu, katanya, pihak JZNK merancang untuk meneruskan aktiviti Freemarket @ zakatkedah secara bulanan di setiap daerah selepas ini. Pihaknya turut berharap orang awam menyokong usaha melaksanakan program secara berterusan melalui sumbangan barangan keperluan.
    Bagi mereka yang berhasrat untuk memberi sumbangan boleh ke Pejabat JZNK atau pun melayari laman web: www.facebook.com/zakatkedah untuk maklumat lanjut.
    Sumber : UMTK


    18lesen
    SINTOK 10 Oktober - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, keputusan untuk memansuhkan Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing di negeri ini hanya akan dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
    Keputusan itu adalah penting katanya, justeru apa jua tindakan pembatalan perlu mendapat nasihat daripada JPV dan tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak berkaitan.
    Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang memansuhkan Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang berkuatkuasa 15 September, selepas tiada kes gigitan anjing gila atau 'rabies' sejak bulan lepas.

    Mukhriz berkata, setakat ini, pewartaan wabak anjing gila di Kedah masih berkuatkuasa.
    Semalam, Jabatan Kesihatan Kedah mencatat 70 kejadian gigitan anjing sehingga 7 Oktober lepas dengan dua daripadanya melibatkan anjing gila, tetapi tiada kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan setakat ini.
    Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kejadian itu membabitkan 70 anjing dengan tujuh kes berlaku di Kota Setar, Kuala Muda (21), Kulim (18), Kubang Pasu (10), Bandar Baharu (empat), Langkawi (empat), Baling (tiga), Yan (satu), Pendang (satu) dan Padang Terap (satu)
    Sumber : Sinar


    3gotong
    LANGKAWI 3 Oktober - Taman Geologi Kilim Karst yang menjadi satu tarikan utama tapak geologi di sini telah menjadi lebih bersih berikutan program Pembersihan Bakau yang dijalankan Kelab Rotary Langkawi.

    Disokong Lambaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa agensi kerajaan serta swasta, program kebersihan itu berjaya menarik kira-kira 1,000 peserta yang berjaya mengumpul 20 meter padu bahan buangan di dalam dan sekitar taman.

    Program yang dilancarkan oleh Komander Wilayah Tiga TLDM Laksamana Pertama Rosli Yoob merupakan acara tahunan kelab sejak tahun lepas sebagai inisiatif memelihara alam sekitar di taman geologi itu.

    Presiden kelab Dr Gerard Lawrence berkata program tahun ini adalah sebagai penanda kepada kejayaan yang dicapai Langkawi mengekalkan status Taman Geologi Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNESCO) dengan penarafan kad hijau baru-baru ini.

    Selain kerja-kerja pembersihan aktiviti lain yang dijalankan termasuk pertandingan fotografi dan esei serta kempen kesedaran awam mengenai kaedah kitar semula dan pelupusan buangan yang betul.
    Sumber : Sinar


    2usaha
    ALOR SETAR 2 Oktober - Kerajaan negeri akan meneruskan usaha menuntut semula bunga emas dan bunga perak yang pernah diberikan kepada kerajaan Bangkok oleh Kerajaan Kedah suatu ketika dahulu.
    Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada Seminar Antarabangsa Kedah-Siam, yang akan diadakan di Hatyai, Thailand, 7 Oktober ini.
    “Memang ada usaha bawa balik sekurang-kurangnya sepasang, iaitu satu bunga emas dan satu bunga perak. Namun ketika perkara itu disuarakan, kita tidak mendapat maklum balas sama ada permohonan itu ditolak atau sebaliknya,” katanya pada sidang media sempena Seminar Antarabangsa Kedah-Siam; Hubungan Kedah-Siam dalam warna-warna sejarah, di Muzium Negeri Kedah, kelmarin.
    Hadir sama, Pengarah Muzium Kedah, Suhaidi Shukri.
    Menurutnya, pihaknya akan membangkitkan semula hasrat Kedah itu supaya dapat direalisasikan berikutan bunga emas dan perak adalah lambang hubungan rapat antara Kedah-Siam.
    “Saya cuba berbincang dengan pihak Thailand, atas hubungan kekeluargaan, kejiranan dan sejarah supaya bunga emas dan perak berketinggian dua meter, mempunyai empat cabang dengan kuntum bunga berbentuk bunga cengkih dan daun tiruan flora itu, dapat dibawa kembali ke Kedah sebagai kenangan sejarah,” katanya.
    Menurutnya, replika bunga emas dan perak yang dipamerkan di Muzium Kedah dibina mengikut saiz sebenar untuk tatapan generasi kini.
    Pada 2010, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib membuat permohonan supaya sepasang bunga emas dan perak diserahkan semula kepada negeri-negeri yang pernah menghantar ufti tersebut ke Bangkok dan sepasang lagi daripada Great Britain.
    Beliau turut mencadangkan, sekiranya usaha itu gagal, Unesco disaran memberi pengiktirafan bunga emas dan perak itu sebagai warisan bersama kepada kedua-dua negara, khususnya Kedah dan Bangkok.
    Sebanyak 28 pokok bunga emas dihantar kepada pemerintah Thailand di Bangkok sebagai tanda persahabatan dua negara.
    Menurut Altarikh Salasilah Negeri Kedah penghantaran bunga emas dan perak bermula pada era pra-Islam, di mana kerajaan Thai di Ligor iaitu Nakhonsithamarat membantu Kedah apabila diserang oleh Burma.
    Bunga emas dan perak dihantar sebagai tanda terima kasih selain pampasan kerugian kerana membantu Kedah dalam peperangan itu. Pemberian lain termasuk dua kayu kain khasa berkepala benang emas, 12 perisai, 12 tombak, 12 lembing dan 12 kayu kain putih.
    Sumber : Sinar