28jenama
SERDANG 28 September - Kerajaan sedang melaksanakan penjenamaan semula Kedah Wi-Fi secara berperingkat bagi memudahkan orang ramai mengakses kemudahan internet percuma itu.
Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Tinggi, Dato' Noorsabrina Mohd Nor berkata, setakat ini Kedah WiFi sudah dimulakan di pejabat kerajaan seperti Wisma Negeri untuk digunakan secara percuma.
"Penjenamaan semula pelbagai model WiFi seperti Telekom Malaysia (TM), Digi dan sebagainya akan dilakukan secara berperingkat termasuk di pusat pelancongan dan kedai makan terpilih.
“Memang sebelum ini kerajaan sudah melaksanakannya di hampir seluruh kawasan, namun dengan menggunakan pelbagai model, jadi kali ini kita mahu ia diselaraskan dengan nama Kedah WiFi," katanya pada majlis Aidiladha, semalam.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agensi yang dapat membantu menjayakan perkara ini untuk memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Kita juga menyasarkan 1,000 lokasi dilengkapi kemudahan WiFi selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang melaksanakan sistem e-masjid kepada 36 masjid terpilih yang dilengkapi dengan kemudahan WiFi.
“Sekarang kerajaan sedang memasang kemudahan akses internet di masjid di daerah terpilih bagi membolehkan orang ramai melayari portal masjid untuk sebarang aktiviti.
"Malah, kerajaan juga akan terus memperbanyakkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh kawasan kampung sekali gus kita harap PI1M ini dapat membantu masyarakat luar bandar merapatkan jurang digital dan tak ketinggalan jauh,” katanya.
Sumber : Sinar


22langkawi
LANGKAWI 22 September - Status Langkawi sebagai geopark global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) dilanjutkan selama empat tahun lagi apabila diberi penarafan kad hijau baru-baru ini.
Perkara ini diumumkan semasa Simposium Rangkaian Geopark Asia-Pasifik (APGN) keempat yang berlangsung di San'in Kaigan, Jepun, kata Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dalam e-mel hari ini.

Pulau itu diberi status geopark global pada 2007 untuk tempoh empat tahun sebelum penilaian dijalankan pada 2011 yang membolehkan Langkawi mengekalkan status itu sehingga tahun ini.

Status terbaru yang berkuatkuasa untuk tempoh 2016-2019 diberi selepas penilaian dijalankan oleh dua pakar geopark Unesco, Pablo Rivas Palomo dari Sepanyol dan Pasquale Li Puma dari Itali pada Ogos lepas.
Sumber : Sinar


22penghuni
JITRA 22 September - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah menyelamatkan 12 penghuni sebuah pusat jagaan haram di Kubang Pasu dalam satu operasi hari ini.

Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu, Mohd Fadhuli Wahab berkata, pusat jagaan itu didapati beroperasi tanpa permit daripada JKM sejak lapan bulan lepas.

Pusat jagaan itu menempatkan 15 penghuni lelaki terdiri daripada gelandangan dan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 35 hingga 75 tahun, tetapi ketika operasi hanya ada 12 penghuni dalam premis, katanya.

"Kita telah menyelamatkan mereka dan buat sementara, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Bedong, Sungai Petani sehingga tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas selesai operasi itu hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa penghuni pusat jagaan haram itu dipercayai dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang bertujuan mengaut keuntungan.
Berikutan itu, pihak JKM Kedah mengambil tindakan untuk menutup pusat jagaan haram itu, katanya.

Turut sama dalam operasi itu ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang JKM Kedah, Rahmat Sahat.

Operasi JKM Kedah itu dilakukan berikutan laporan media baru-baru ini, mengenai dakwaan sebuah pusat jagaan di Jitra mempergunakan penghuninya terdiri daripada warga emas dan pesakit mental untuk mengutip derma.
Sumber : Sinar


21baucer
PENDANG 21 September – Bank Islam Malaysia Berhad menjadi bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan kemudahan penunaian baucar bagi pembayaran runcit.
Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Dato’ Norasni Ayob berkata, perkhidmatan itu adalah satu bentuk transformasi kaedah pembayaran yang lebih cekap dan efisien yang ditawarkan Bank Islam kepada pelanggan korporatnya serta kemudahan alternatif kepada mereka bagi membuat pembayaran runcit.
Menurutnya, antara kebaikan sistem itu adalah dapat mengurangkan pengeluaran cek badan korporat yang membuat bayaran runcit kepada pelanggan mereka. Pelanggan runcit tidak perlu lagi membuka akaun bank kerana ia boleh ditunaikan di mana-mana kaunter cawangan Bank Islam dengan hanya menggunakan pengimbas biometrik atau cap jari pelanggan.
“Kaedah ini membolehkan pelanggan menebus wang mereka dengan serta merta tanpa perlu menunggu beberapa hari seperti proses penjelasan cek,” katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman antara Bank Islam dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang diadakan di Desa Lestari Asam Jawa.
Beliau memberitahu, perjanjian itu dibuat bagi memudah dan mempercepatkan urusan pembayaran elaun oleh pihak KEDA kepada Pengerusi serta Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.
Tambahnya, kemudahan penunaian baucar itu juga dibuat sejajar dengan usaha dan objektif Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan pengeluaran cek dan mempromosikan pembayaran tanpa tunai secara lebih efisien dengan kos minima.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
Sumber : UMTK


21petani
PENDANG 21 September – Lebih 1,000 petani pinggir kawasan perkhidmatan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di seluruh negeri ini akan diserap ke dalam daerah pentadbiran agensi itu.
Langkah itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MADA bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang antara lain mempunyai matlamat membantu proses penanaman padi di kawasan pinggir MADA seluruh Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Wanita, YB. Suraya Yaacob berkata, kerjasama MADA dan KEDA secara tidak langsung memberi kelegaan kepada 1,000 petani berikutan kawasan mereka akan dinaiktaraf dan diletakkan di bawah MADA, sekaligus menikmati kemudahan sistem penanaman padi.
Antara kemudahan berkenaan, katanya, termasuk kelebihan dalam aspek pengairan dan khidmat nasihat yang sama seperti petani MADA.
Sumber : UMTK


14pencapaian
SUNGAI PETANI 14 September – Pencapaian terbaik pelajar dalam akademik membuktikan bidang pendidikan di negeri ini semakin meningkat yang secara tidak langsung menjaminkan masa depan yang lebih cemerlang dalam pembangunan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pencapaian cemerlang bidang pendidikan itu juga membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri ini.
“Kita cukup berbangga dengan kejayaan pelajar-pelajar hari ini yang menunjukkan bahawa Negeri Kedah telah mencapai tahap pendidikan yang membanggakan,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Anugerah Cemerlang dan Gelanggang Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Merbok Pusat.
Menurutnya, kejayaan itu adalah berkat usaha gigih dan kesungguhan pelajar di samping dorongan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa serta guru. Tanpa bantuan dan sokongan guru-guru serta ibu bapa, pelajar tidak mungkin akan mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
“Saya berharap ibu bapa dan guru-guru akan terus bekerjasama dalam memastikan kejayaan cemerlang anak-anak berterusan demi masa depan mereka. Pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dalam akademik harus dimantapkan dengan sahsiah mulia serta jati diri yang cemerlang,” ujarnya.
Tambahnya, sesuatu kejayaan bukan datang bergolek, sebaliknya kejayaan itu memanifestasikan kemantapan perancangan dalam mengukuhkan kecemerlangan pendidikan. Anak-anak yang cemerlang akan terus memburu kecemerlangan bagi memastikan dunia pendidikan menjadi agenda utama dalam memajukan negeri ini.
Sumber : UMTK


14peningkatan
SIK 14 September – Penaiktarafan ekonomi luar bandar mampu memberi jaminan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan belia di kawasan sekitarnya di samping mengurangkan jurang pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB. Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang berusaha memberi kelengkapan dari segi prasarana serta meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar merupakan satu pendekatan yang boleh ditingkatkan dan berkesan untuk menaikkan pendapatan masyarakat luar bandar, sekali gus sedikit sebanyak dapat mengimbangi perbezaan antara bandar dan luar bandar.
"Di sini, kita dapat lihat apa yang dilaksanakan di Kampung Charok Tualang, Sik, yang mana masyarakat setempat bukan sahaja digalakkan menanam getah bahkan juga terlibat secara langsung dalam mengusahakan air mineral, di samping menyediakan chalet dan sewaan dewan untuk kursus dan latihan," ujarnya ketika berucap pada Majlis Pengagihan Keuntungan Dividen Tabung Miskin Tegar Agropolitan Sik (TMTAS) dan Penyerahan Elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Daerah Sik 2015 yang diadakan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Agrobiz Sdn Bhd, Kampung Charuk Tualang, Jalan Gurun-Sik.
Beliau berkata, meskipun bandar lebih jauh jaraknya, namun keupayaan masyarakat di luar bandar juga perlu ditingkatkan, khususnya belia-belia yang ada bagi mengelakkan mereka berhijrah ke bandar.
“Kepelbagaian sektor ekonomi di kawasan luar bandar bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dengan lebih banyak, malahan ia juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” tambahnya.
Sumber : UMTK


12dua
BANDAR BAHARU 12 September – Dua peniaga kuih secara kecil-kecilan di Kampung Permatang Telunjuk, terharu apabila menerima sumbangan sebuah ketuhar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB. Dato’ Norsabrina Mohd Nor pada Program Ziarah Kasih sempena bulan Ramadan.
Peniaga berkenaan, Halijah Ahmad, 30, berkata, sebelum ini dia hanya menggunakan ketuhar milik ibunya yang sudah uzur bagi membuat kuih muih. Dia berterima kasih kepada ADUN Bandar Baharu kerana sudi memberi bantuan itu yang dapat memudahkan kerjanya.
Sementara itu, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, Program Ziarah Kasih dilihat mempunyai kesan positif kepada orang ramai. Pada tahun ini, pihaknya mengunjungi kira-kira 20 buah rumah untuk menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian sempena Ramadan.
“Selain daripada bantuan keperluan harian, kami turut memberi barangan elektrik kepada mereka yang memerlukan terutama yang menjalankan perniagaan kuih muih,” ujarnya.
Sumber : UMTK


12projek
PENDANG 12 September – Seorang ibu tunggal tidak menyangka impiannya untuk memiliki rumah yang dilengkapi perabot baru akhir­nya tercapai, Rafishah Shafie, 54, yang menyara hidup dengan menoreh getah merupakan salah seorang daripada lapan penerima bantuan rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di negeri ini pada tahun ini.
Menurutnya, sebelum memiliki rumah baru yang dibina oleh TNB itu, dia terpaksa menumpang di rumah adiknya, Mohd. Romzi Shafie, 46, sejak berpisah dengan suami pada penghujung tahun lalu.
“Saya bersyukur dan gembira kerana akhirnya saya mempunyai sebuah rumah untuk didiami bersama dua anak, Ellani Othman, 25, dan Nurul Syafiqah, 16. Rumah ini juga akan menjadi tempat berkumpul keluarga anak sulung saya, Nurshuhada Othman, 28, menjelang bulan puasa dan hari raya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima rumah baru yang lengkap dengan perabot bernilai kira-kira RM50,000 menerusi Projek Baiti Jannati TNB di Kampung Lahar Batu.
Rafishah menerima replika kunci rumah tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
Dalam pada itu, Zubir berkata, sebanyak lapan penerima bantuan rumah dalam projek Baiti Jannati di negeri ini pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM400,000.
“Lapan penerima yang layak adalah seramai dua orang di Baling dan masing-masing seorang pe­nerima di Pendang, Yan,Jitra, Kuala Nerang, Sungai Petani dan Langkawi,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Negeri, Zubir Hashim.
Sumber : UMTK


12Belia
ALOR SETAR 12 September – Barisan kepimpinan belia di negeri ini bukan sahaja perlu cekap, berwawasan dan berkesan, malah mereka perlu sentiasa bekerjasama rapat untuk mencapai satu objektif yang disepakati bersama-sama.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, peranan pentadbiran pertubuhan belia perlu didefinasikan dengan jelas bagi memudahkan pelaksanaan dan melicinkan pentadbiran pertubuhan belia.
“Selain itu, untuk mencapai perubahan seperti yang diingini, pemimpin unggul hendaklah dizahirkan dan pemimpin-pemimpin pertubuhan belia perlu memainkan perana utama dalam mengerakkan perubahan ke arah transformasi pertubuhan belia,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Kedah, Sidang Pertama Tahun 2015 yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman.
Menurutnya, pemimpin pertubuhan belia mesti menerima perubahan yang dapat meningkatkan sumber kewangan, sistem tadbir urus dan sistem penyampaian terbaik. Pengumpulan dana harus diberi fokus baru kerana hal ini dapat membuka lebih banyak peluang mempelbagaikan aktiviti.
Beliau menjelaskan, mengurus pertubuhan belia memerlukan kesepaduan dalam kepimpinan belia. Dengan kata lain, walau apa pun jenisnya kepimpinan yang digunakan, hubungan dan jalinan kerjasama khususnya pertubuhan belia dan pihak Kerajaan yang ada perlu sentiasa erat dan tidak boleh berkurangan kerana kewujudan sebarang konflik akan menyebabkan keputusan yang dibuat tidak tepat dan kemungkinan memberi kesan negatif terutama dalam sistem penyampaian.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Haji Aziz Haji Hamid dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Kedah, Aizat Roslan.
Sumber : UMTK


12Dakyah
ALOR SETAR 12 September – Pelajar negeri ini yang berpeluang menyambung pengajian ke Mesir dan termasuk ke beberapa negara Asia Barat lain dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakyah ekstrem sehingga menjejaskan matlamat sebenar untuk berbakti kepada agama serta negara.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, setiap pelajar sepatutnya perlu memberi perhatian yang sepenuhnya kepada pengajian masing-masing dan tidak campur tangan dengan sebarang urusan di negara mereka belajar.
“Setiap pelajar juga perlu mempunyai jati diri yang kuat dengan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman songsang seperti militan Negara Islam (IS) yang melakukan keganasan atas nama Islam,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas majlis penghantaran 219 pelajar negeri ini ke Mesir yang kebanyakannya ke Universiti Al-Azhar, Mesir yang diadakan di Maktab Mahmud, Jalan Pegawai.
Menurutnya, setiap daripada pelajar perlu mempunyai anggapan bahawa menyambung pengajian itu merupakan salah satu jihad terpenting kerana dengan ilmu pengetahuan yang mereka peroleh nanti dapat disumbang kepada masyarakat melalui pelbagai cara.
“Mungkin pada masa hadapan, ada yang menjadi pendakwah dan guru yang akan mengajar bangsa kita untuk berjaya. Ini bukan sekecil-kecil pengorbanan, saya harap mereka faham jihad yang boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan jangan terpengaruh dengan mana-mana dakyah yang cuba disebarkan oleh pihak yang punyai agenda tertentu,” jelasnya.

Sumber : UMTK


12Kuota
ALOR SETAR 12 September – Kerajaan Kedah mengesahkan bahawa kuota perumahan bagi hartanah bukan rizab Melayu kekal 30:70. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya tidak bercadang untuk melakukan sebarang kenaikan atau penurunan terhadap kadar peratusan berkenaan dalam masa terdekat.
“Kita masih mengekalkan kuota perumahan sedia ada iaitu 30 peratus untuk Bumiputera dan 70 peratus untuk bukan Bumiputera bagi tanah rizab bukan Melayu. Bagaimanapun, pengecualian hanya diberikan di kawasan Langkawi bagi semua projek perumahan sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan Bumiputera,” ujarnya.
Menurutnya, kuota perumahan bagi tanah rizab Melayu pula adalah kekal sebanyak 100 peratus bagi pembeli Bumiputera sahaja. Kadar peratusan ini dilaksanakan sejak dahulu lagi dan pihak Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan.
“Kita menyedari kadang-kadang timbul rungutan rakyat terhadap harga rumah yang terlalu mahal, tetapi kita tidak dapat nafikan hak mereka yang berkemampuan. Rumah yang dijual pada harga mahal kebanyakannya adalah dibina oleh syarikat swasta berdasarkan syarat yang telah ditetapkan, bukan dibina Kerajaan. Kita akui bilangan yang mampu beli rumah mahal terlalu kecil, tetapi kita ada dasar kuota yang ditetapkan. Misalnya syarikat perumahan itu nak bina 1,000 rumah, hanya 20 peratus daripadanya adalah yang mahal,” jelasnya.
Tambahnya, tidak timbul isu menyingkirkan masyarakat Melayu di Kedah dalam soal pemilikan rumah dengan penjualan pada harga yang mencecah hampir RM1 juta. Kerajaan Negeri sedang berusaha melalui pelbagai agensi seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan dasar perumahan sendiri untuk tujuan penyediaan rumah mampu milik.
“Keutamaan kita adalah untuk membina rumah teres satu tingkat, dua tingkat dan sebagainya kepada yang berpendapatan rendah. Kerajaan Negeri Kedah juga dalam pertimbangan untuk membina rumah menerusi projek PR1MA berkonsepkan apartmen mampu milik. Projek ini masih dalam perancangan awal dan kajian untuk membina sejumlah unit rumah mampu milik di Kuala Kedah dan Langkawi,” katanya.
Sumber : UMTK


11RTB
KUBANG PASU 11 September - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Anak Bukit untuk mengelakkan berulangnya kembali kejadian banjir besar di negeri ini dijangka siap menjelang November tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrulhisham Hashim berkata, projek menelan kos hampir RM1 bilion itu akan dilaksanakan secara tiga fasa melibat kawasan seluas 30 kilometer (km).
Beliau berkata, projek berkenaan juga dijangka dapat mengatasi bencana banjir besar di beberapa kawasan berisiko terutamanya Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang.

“Lawatan bersama Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) ini untuk meninjau kemajuan projek RTB Sungai Kedah, Anak Bukit di dua fasa iaitu RTB Sungai Tanjung Pauh yang dibina hingga ke terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (fasa kedua) dan RTB Lencongan Sungai Baru (fasa ketiga). Saya lihat projek ini berjalan lancar.

“Kita mengambil kira apa yang berlaku di Kelantan serta sesete­ngah negeri lain yang berlaku banjir dan yakin apabila projek ini siap sepenuhnya menjelang November tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan RTB Sungai Tanjung Pauh dan RTB Lencongan Sungai Baru di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pe­ngarah JPS negeri, Ir. Baharuddin Abdullah.

Pada masa sama, Badrulhisham berkata, perbincangan berhubung pemberian pampasan sebanyak RM42,000 kepada setiap 450 lot rumah yang terlibat dengan pengambilan tanah rizab sungai untuk projek RTB telah dijalankan dengan pihak berkaitan.

Tambahnya, notis berhubung perkara tersebut telah diberikan dan diharap jumlah pampasan berkenaan dapat membantu penduduk yang terlibat.

“Projek RTB ini harus diteruskan demi kepentingan masyarakat keseluruhannya, oleh itu, penduduk yang terbabit perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPS dan kontraktor untuk menyiapkan projek ini mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Baharuddin berkata, fasa satu projek berkenaan yang membabitkan RTB Sungai Kubang Rotan telah siap tiga tahun lalu, manakala fasa dua di RTB Lencongan Sungai Baru dijangka siap pada Mei tahun hadapan dengan proses kemajuan terkini sudah 14 peratus.

“Fasa tiga RTB Sungai Tanjung Pauh pula, dijangka siap menjelang November tahun hadapan dengan kini mencapai tahap siap sebanyak 18 peratus.

“Bagi RTB Sungai Kerian kini masih dalam peringkat pembinaan membabitkan Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan projek ini siap mengikut jadual,” katanya.
Sumber : Utusan


8tuntung
ALOR SETAR 8 September - Sebanyak 60 ekor tuntung diraja dilepaskan ke habitat asal melalui Sungai Anak Bukit, di sini, hari ini disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Difahamkan, sejarah tuntung Batagur Baska bermula pada pertengahan kurun ke-17 apabila Sultan Kedah yang berangkat pulang dari lawatan ke Acheh dihadiahkan beberapa ekor tuntung.

Sejak itu, telur tuntung menjadi sebahagian dari sajian santapan diraja di istana.

Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, tuntung dilepaskan ke sungai agar dapat membiak di negeri ini.

“Kita bercadang melepaskan sekurang-kurangnya 150 ekor tuntung ke Sungai Anak Bukit. Tetapi disebabkan keadaan air sungai yang kelihatan laju, maka kita dinasihatkan supaya melepaskan 60 ekor tuntung dahulu.

“Selebihnya akan dilakukan dalam masa terdekat mengikut kesesuaian semasa,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelepasan tuntung ke habitat asal sungai di Istana Anak Bukit, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pegawai Eksekutif Pelancongan Kedah, Datuk Zulkifli Mohamed dan Pengarah Perhilitan Kedah, Mohamad Afid Rohani.

Mohd Rawi berkata, Kedah adalah satu-satunya negeri yang mempunyai pusat penetasan tuntung yang berjaya di Malaysia.

“Memang saban tahun kita melakukan aktiviti pelepasan tuntung ke seluruh sungai di Kedah tetapi kali ini mendapat sokongan Tunku Temenggong Kedah.

“Kebiasaannya aktiviti pelepasan tuntung dilakukan tiga kali setahun melibatkan 50 hingga 100 ekor dalam satu masa,” katanya.

Menurutnya, antara sungai yang terlibat ialah Sungai Kuala Muda, Sungai Kedah dan Sungai Sidam dengan pemantauan jabatan Pengairan dan Saliran dan agensi lain.
Sumber : Sinar


8kemudahan
KULIM 8 September - Penduduk di daerah Kulim boleh menikmati kemudahan sukan lebih moden dan selesa apabila sebuah kompleks sukan bernilai RM12.2 juta siap dibina di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Presiden Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn Bhd, Datuk Annuar Mohd Safar berkata, kompleks sukan itu turut merangkumi kafetaria, taman rekreasi, trek joging serta gelanggang futsal dan badminton.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan tanah seluas 4.5 hektar untuk tapak kompleks berkenaan, dan kos pembinaan disediakan oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
"Ini salah satu usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur yang bukan sahaja kepada pekerja kilang, tetapi juga terbuka kepada penduduk sekitar kawasan perusahaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kompleks itu daripada kontraktor kepada KTPC di sini, hari ini.
Kerja-kerja pembinaan kompleks berkenaan dijalankan oleh kontraktor daripada Melabuh Layar Sdn Bhd.
"Kita juga bercadang membina beberapa buah lagi gelanggang bola keranjang dan bola tampar di kawasan seluas 3.5 hektar bersebelahan dengan kompleks sukan yang sedia ada ini dalam tempoh terdekat", kata Annuar.
Sumber : Sinar


5masalah
YAN 5 September – Masalah kekerapan banjir kilat di Kampung Baru, Guar Chempedak yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat.
Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismaill berkata, beliau memandang serius masalah itu kerana kejadian banjir menyebabkan aktiviti harian ratusan penduduk terjejas.
“Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan dan kita sudah panjangkan aduan kepada kerajaan persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU).
“Setelah lama menanti akhirnya kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina semula sistem perparitan di kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya, projek pemasangan dan pembinaan semula sistem perparitan sepanjang 800 meter itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya prihatin kepada masalah penduduk berkenaan sebab setiap kali hujan pasti berlaku banjir. Tidak sampai sejam air sudah naik.
“Kejadian itu menyebabkan aktiviti harian terjejas selain terpaksa menanggung kerugian kerosakan perabot dan peralatan elektrik,” katanya.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi turut menyifatkan bahawa projek itu dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan tersebut yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
“Kita berbincang dengan semua penduduk yang terlibat dan masing-masing bersetuju untuk membenarkan kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan itu,” katanya.
Pada 4 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa penduduk di Kampung Baru, Guar Chempedak mendakwa sering mengalami banjir kilat.
Difahamkan, masalah itu berpunca daripada sistem perparitan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar


4discover
KUALA LUMPUR 4 September - Kerajaan Kedah menyasarkan kedatangan 5 juta pelancong berkunjung ke negeri itu menerusi pelbagai program pelancongan yang diatur mulai Mac tahun depan sempena kempen 'Discovery Kedah 2016'.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kempen pelancongan yang bertemakan 'Kedah: Malaysia: Where it All Began' yang julung kalinya diadakan itu menyasarkan pelancong dari negara Asean seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.
"Kempen ini dijangka akan mengangkat nama Kedah sebagai satu destinasi pelancongan selain menekankan kepelbagaian destinasi pelancongan di negeri itu selain Pulau Langkawi.
"Kedah mempunyai banyak produk pelancongan menarik dan mengagumkan khususnya warisan sejarah melalui tapak peradaban tertua di Asia Tenggara dan Kesultanan Kedah sebagai salah satu pemerintahan beraja yang berterusan tertua di dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen "Discover Kedah 2016" sempena pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, dengan pelbagai promosi pelancongan yang efektif, ia diharap dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negeri itu berbanding rekod 3.8 juta pelancong yang melawat negeri itu tahun lepas.
"Di Kedah terdapat kira-kira 500 buah hotel termasuk Pulau Langkawi dan kita harap dapat menjana pendapatan ekonomi negeri dengan sasaran jumlah pelancong yang duduk di Kedah ini lebih dari seminggu," katanya.
Kempen berkenaan merupakan satu daripada usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Kedah, bukan sahaja sebagai destinasi pelacongan tetapi juga destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.
Sumber : Sinar


4peladang
ALOR SETAR 3 September - Pertubuhan peladang nege­ri ini digesa melengkapkan diri dengan teknologi baharu terutama berasaskan inovasi dalam sistem tanaman dan jentera tanaman demi untuk meningkatkan produktiviti.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pertubuhan peladang khususnya tidak boleh leka kerana transformasi besar sebegini akan memberi kesan dari segi persaingan mendapatkan peluang-peluang perniagaan.
“Sekiranya pertubuhan peladang tidak mempersiapkan diri, mereka akan ketinggalan serta mungkin membataskan pengembangan aktiviti perniagaan yang sedang dilaksanakan.
“Ini kerana sesetengah negara mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang jauh lebih rendah dengan produktiviti yang dihasilkan oleh pekerja mereka lebih tinggi.
“Untuk memastikan pertubuhan peladang terus relevan dan mampu bersaing, mereka perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek yang menjadi alat persaingan masa kini,” katanya ketika berucap me­rasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di sini hari ini.
Tambah beliau, pertubuhan peladang mesti memastikan sesuatu pengeluaran, contohnya padi, meningkat dari purata 4.5 metrik tan kepada hasil yang jauh lebih tinggi.
“Untuk meningkatkan produktiviti, pertubuhan peladang tidak semestinya meningkatkan keluasan kawasan tanaman kerana kawasan yang tersedia semakin terhad disebabkan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, pembangunan bandar, perumahan dan lain-lain lagi.
“Sebaliknya pertubuhan peladang boleh melaksanakan aktiviti yang berasaskan inovasi. Saya difahamkan PPNK sendiri beberapa kali berjaya membuat inovasi dalam sistem tanaman, kejenteraan ladang. Begitu juga kajian keberkesanan penggunaan jentuai.
“Melalui penguasaan teknologi maklumat atau lain-lain teknologi yang berkaitan dengan bidang usa­ha di pertubuhan peladang, maka kerja-kerja dapat dihasilkan dengan cepat, pantas dan lebih cekap.” katanya.
Berucap lanjut kata Mukhriz, kerajaan negeri berharap agar pertubuhan peladang menjadi juara dalam memperjuangkan nasib peladang.
“Jadikanlah pertubuhan peladang sebagai sebuah pertubuhan yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahli di bawah naungannya.
“Perlulah diingat, bahawa untuk menjadikan sesuatu organisasi atau pertubuhan peladang itu cemerlang dan berdaya maju, para jemaah pengarah dan kakitangan pengurusannya mestilah mempunyai integriti yang tinggi," katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan


3bina
BANDAR BAHARU 2 September - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk meluluskan lebih banyak penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di negeri ini bagi membantu pelaksanaan Program Kedah e-Tutor yang dilancarkan Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir pada April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat serta Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Dato' Norsabrina Mohd. Noor berkata, sehingga kini masih banyak sekolah tidak mendapat capaian internet yang baik sehingga menyebabkan para pelajar tidak dapat memanfaatkan program tersebut sepenuhnya.
“Di kawasan saya sendiri (Bandar Baharu), hanya sekolah di Serdang saja yang mempunyai capaian internet memuaskan. Selebihnya memang bermasalah sehingga menyebabkan Program e-Tutor itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah.
“Justeru saya difahamkan ada dalam kalangan sekolah yang sangat bergantung kepada PI1M ini bagi mengakses portal berkenaan dengan membawa para pelajar ke situ. Jadi saya amat berharap agar lebih banyak PI1M diwujudkan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan PI1M Sungai Taka berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Sungai Batu di sini, semalam.
Hadir sama Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara, Norrazlina Nordin, Penolong Pengurus Khidmat Jaringan Khas TM, Nazaruddin Abu Bakar serta Penghulu mukim tersebut, Muhammad Fazil Ahmad.
Mengulas lanjut, Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu berkata, beliau akan membantu pihak sekolah yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut untuk mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu bagi menyusun ja­dual penggunaan komputer di PI1M di situ.
“Pihak sekolah dan pengurusan PI1M sendiri mungkin boleh membuat jadual berkala mengenai penggunaan komputer di sini. Saya fikir, itu jalan terbaik untuk memastikan para pelajar tidak tertinggal daripada mengikuti Program e-Tutor yang disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri,” katanya.
Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan


1kitar
ALOR SETAR 1 September - Sebanyak 14 daripada 700 tan sampah dijangka dapat dikurangkan setiap hari di Kedah selepas pelaksanaan program pengasingan sisa pepejal di punca atau daripada rumah.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Fadzilah Hasan berkata, ini kerana sampah seperti botol plastik dapat diasingkan dan dikitar semula.

Katanya, hasil pemantauan di 19 kawasan perumahan seperti di Taman Arowana di sini dan Taman Seri Merbok di Pendang yang menjadi projek perintis bermula pada Jun lepas menunjukkan pengurangan sampah berbeza seperti sebelum ini.

Katanya pemeriksaan oleh penguatkuasa SWCorp pada setiap tong sampah di kawasan perumahan tersebut mendapati setiap isi rumah mengikut arahan yang ditetapkan dengan mengasingkan sampah dengan barangan yang boleh dikitar semula dengan meletakkan di tepi tong sampah.

"Ini membuktikan kita berjaya mendidik isi rumah di 19 kawasan perumahan itu. Penguatkuasa kita menerusi program Ops Mata Hati akan terus melakukan pemantauan di setiap tong sampah bagi memastikan wujudnya kesedaran itu sebelum penguatkuasaan akta pengasingan sisa di sumber dilaksanaan," katanya pada Majlis Pelancaran Perlaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 di sini hari ini.

Fadzilah berkata dalam program bertemakan 'sejuta botol satu impian', pihaknya telah mengedarkan 275,414 risalah dan surat kepada premis di negeri ini bagi membolehkan setiap isi rumah bersedia dan lebih faham dengan matlamat program berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah menjalankan kerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di negeri ini dengan melantik mereka sebagai rakan SWCrop yang mana mereka akan membantu menyampaikan maklumat kepada komuniti mengenai program itu.

"Setiap barangan kitar semula yang dijual kepada mereka, hasil jualan barangan kitar semula itu juga akan diserahkan kembali kepada persatuan penduduk kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menumpukan program itu di kawasan perumahan terancang sahaja dan akan diteruskan secara berperingkat di kawasan kampung.

Menerusi program berkenaan isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal di punca hanya akan diberikan notis amaran sebelum penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kepada mereka yang ingkar dilaksanakan bermula 1 Jun tahun depan.

Berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap penduduk yang enggan mengasingkan sisa pepejal.
Sumber : Sinar


1lari
JITRA 1 September - Kira-kira 5,000 penduduk setempat memeriahkan program sambutan kemerdekaan Bina Darulaman Berhad’s Raise The Flag di Tasik Darulaman, Bandar Darul Aman, di sini, kelmarin.
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, program sedemikian dilihat mampu memupuk semangat kenegaraan tinggi dalam kalangan masyarakat.
“Insya-ALLAH, pihak BDB akan cuba menjadikan acara sambutan kemerdekaan negara sebegini sebagai aktiviti tahunan, lagipun ia dilihat mampu mendekatkan BDB dengan masyarakat sekeliling.
“Alhamdulillah, saya lihat acara sebegini mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat tempatan, malah gerai-gerai dipenuhi kehadiran orang ramai,” katanya.
Izham berkata, pihaknya menganjurkan aktiviti di kawasan berkenaan bagi menghidupkan Tasik Darulaman, sekali gus merancakkan lokasi itu dengan program berbentuk kemasyarakatan.
Dengan ini, katanya, pengunjung luar akan datang mengunjungi negeri ini, sekali gus meraikan detik-detik kemerdekaan negara di Tasik Darulaman ini.
Sementara itu, Pengurus Kanan Kumpulan Komunikasi Korporat, Sajahan Abdul Waheed berkata, beberapa aktiviti menarik diadakan bagi memeriahkan program kemerdekaan buat julung kalinya diadakan anjuran BDB itu.
Antaranya, zumba, buskers, pertunjukan paramotor, perjumpaan penunggang motosikal berkuasa tinggi, persembahan BDB Idol, persembahan budaya, brass band parade, countdown merdeka dan deklamasi sajak patriotik.
Malah, katanya, lebih 500 peserta termasuklah kakitangan anak-anak syarikat BDB, pelajar sekolah dan orang awam mengambil bahagian dalam acara Fun Run 2.5 Kilometer (km) serta Merdeka Run 5.0km.
Bertambah rancak, beberapa artis jemputan seperti Kumpulan Kopratasa dan Sharifah Shahira menghiburkan ribuan penonton yang mula berkumpul di sekitar tasik seawal jam 5 petang.
Sumber : Sinar