25silat
LANGKAWI 25 Ogos - Silat mampu dijadikan antara produk pelancongan di Langkawi untuk menarik minat pengunjung terutama pelancong asing mengenali seni mempertahankan diri orang Melayu.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, sebagai permulaan, acara demonstrasi silat boleh diadakan secara mingguan di gelanggang yang bersesuaian bagi menggalakkan pelancong datang menyaksikannya
"Silat sebagai seni mempertahankan diri mempunyai nilai universal dan turut diminati di negara lain.
"Dengan mengaitkannya dengan pelancongan, ia dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada," katanya ketika ditemui di sini.
Pada masa sama, katanya, pembabitan lebih ramai remaja tempatan dalam penganjuran aktiviti ini mampu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.
"Silat juga menggambarkan budaya (hormat-menghormati) Melayu dan dapat menjadi mekanisme untuk mengisi kekosongan jiwa (remaja) dan (menyebabkan mereka) meninggalkan perkara yang tidak berfaedah," katanya.
Sumber : Bernama


18lesen
ALOR SETAR 20 Ogos - Kerajaan Kedah menimbang menggunakan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima cadangan daripada beberapa syarikat mengenai teknologi pemantauan terhadap aktiviti haram itu termasuk penggunaan imej satelit dan helikopter.

"Penggunaan UAV adalah lebih murah berbanding helikopter. Kerajaan negeri sedang menimbangkan cadangan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mahadzir Abdul Hamid (BN-Jeneri), beliau berkata, bagi tahun ini sehingga Julai kerajaan negeri telah mengutip RM21.8 juta hasil daripada aktiviti pembalakan.

Tahun lepas, kutipan hasil daripada aktiviti pembalakan adalah sebanyak RM35 juta dan RM15.4 juta pada 2013, kata Mukhriz.

Bagi tahun ini sehingga Julai, kerajaan negeri katanya, telah meluluskan 1,240 hektar hutan simpan kekal bagi tujuan pembalakan untuk kategori lesen, manakala bagi kategori Anugerah pula keluasan yang diluluskan ialah 1,790 hektar.
Sumber : Sinar


19hospital
ALOR SETAR 19 Ogos - Kerajaan negeri akan memohon untuk menaik taraf Hospital Langkawi menjadi hospital pakar utama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di pulau legenda tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, status Hospital Langkawi sebagai hospital pakar minor menyebabkan sering berlaku kesesakan di wad akibat kekurangan katil dan pesakit juga terpaksa di hantar ke hospital lain disebabkan ketiadaan pakar.
“Hospital Langkawi hanya mempunyai 150 katil untuk pelbagai jabatan dan hanya ada lapan pakar seperti pakar pembedahan am, pakar kanak-kanak, pakar rawatan kecemasan dan lain-lain lagi ditempatkan di situ.
“Jadi sebagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan di wad dan kekurangan pakar, kita mungkin akan pohon hospital berstatus pakar major untuk Hospital Langkawi,” katanya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-13 di sini hari ini.
Menurut Leong Kong, selain daripada cara itu, kerajaan negeri juga akan mempertimbang permohonan daripada pihak swasta untuk membuka hospital swasta di Pulau Langkawi.
“Walaupun cara ini tidak dapat menyelesaikan dengan segera masalah yang dihadapi di Hospital Langkawi, sedikit sebanyak ia dapat mengatasi kesulitan yang dihadapi penduduk pulau tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, status tanah Hospital Langkawi yang merupakan hak milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga tidak mendatangkan sebarang kontroversi memandangkan pihak LADA bersetuju membantu memberi sumbangan kepada negeri ini.
“Soal tanah ini tidak menjadi masalah kerana saya rasa LADA akan terus bantu kerajaan dengan me­nyumbangkan tanah untuk hospital,” jelasnya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bot ambulans yang didakwa sering rosak sehingga menyukarkan urusan penghantaran pesakit ke tanah besar, Leong Kong berkata, beliau akan meminta pihak yang mengendalikan bot ambulans tersebut agar segera mengatasi perkara itu.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


18bandar
ALOR SETAR 18 Ogos - Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap dijangka menerima peruntukan bagi memulakan projek tersebut daripada Kerajaan Pusat selewat-lewatnya awal Mac 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, projek tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Pusat dan peruntukan yang diterima dijangka merangkumi kos pengambilan tanah dan juga pembangunan infrastruktur.
“Kalau boleh kita nak memulakan proses pengambilan tanah pada awal tahun ini, namun pada awal Mac 2016 dijangka kita dapat peruntukan Kerajaan Pusat. Jadi kita kena tunggu tahun depan untuk memulakan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kama Noriah Ibrahim (BN-Pedu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-13 di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah sebenar peruntukan yang akan diterima itu akan ditentukan apabila Jabatan Penilaian menyelesaikan proses penilaian tanah di kawasan Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap yang akan dijadikan Bandaraya Getah itu.
Tambah Ku Abdul Rahman, sebelum ini kawasan yang dicadangkan untuk dijadikan lokasi projek itu ialah di Durian Burung.
“Namun kerana keadaan tanah yang berbukit-bukau sehingga menyukarkan proses pembangunan, kawasan projek tersebut ditukar di Ladang Bukit Ketapang,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) mengenai penyertaan syarikat swasta dalam projek itu, beliau memberitahu, terdapat beberapa syarikat yang menghasilkan barang­an berasaskan getah berminat untuk melabur di dalam projek tersebut.
“Walaupun keadaan ekonomi dunia dan negara mengalami sedikit kemerosotan minat untuk pelabur melabur di dalam projek ini amat tinggi.
“Sebagai contoh ada syarikat yang menghasilkan sarung tangan getah di Sepang amat berminat me­labur di sini dan hanya menunggu projek ini dijalankan,” ujarnya.
Sumber : Utusan


18lesen
ALOR SETAR 18 Ogos - Kerajaan negeri Kedah terpaksa meneruskan pengeluaran lesen penebangan balak kepada syarikat konsesi memandangkan kelulusannya sudah diperoleh sejak pentadbiran Pas, tiga tahun lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, seperti diketahui, proses mengeluarkan lesen tersebut memakan masa yang panjang bermula dari proses permohonan, kelulusan, dan penandaan.

"Ia makan masa, dalam kesemua projek atau konsesi ini, kelulusan telah dikeluarkan sebelum kerajaan ini lagi, kemudian lesen itu mesti dikeluarkan setelah kerja-kerja telah diselesaikan," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya tiada pilihan selain memberikan lesen terbabit bagi mengelakkan daripada disaman.

Mukhriz yang juga Adun BN Ayer Hitam berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada) yang ingin mengetahui kenapa BN masih mengeluarkan lesen balak kepada syarikat-syarikat, sedangkan BN menetapkan untuk tidak mengeluarkan lesen penebangan balak setelah mengambil alih pimpinan daripada Pas.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti enam lokasi melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar bagi menggantikan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Peranginan Wang Perah yang dicabut keluar statusnya bagi melaksanakan projek pembangunan pertanian.

Mukhriz berkata, enam kawasan itu membabitkan kawasan Bukit Saiyong, Genting Iboi, Ulu Muda Tambahan, Kemunting, Tiang Layar, dan kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat.

Katanya, Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin Wang Perah itu telah diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) untuk pembangunan kawasan pertanian getah berfasa, yang bukan sahaja mampu memberikan peluang kepada kerajaan, malah menyumbang kepada hasil pendapatan negeri.

Beliau berkata, surat hak milik juga sudah dikeluarkan kepada SSI dan pihaknya mendapati kawasan itu mengalami pencerobohan oleh peneroka haram.

Laporan polis sudah dibuat SSI katanya, ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Jaapar (BN-Bukit Kayu Hitam) yang ingin tahu lokasi kawasan ganti bagi Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin Wang Perah yang dicabut keluar statusnya daripada Hutan Simpan Kekal.
Sumber : Sinar


17ramly
ALOR SETAR 17 Ogos - Setiap kali menjelang ketibaan 31 Ogos, Ramli Mustafa akan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan itu dengan mengecat van miliknya dengan Jalur Gemilang.

Sejak lima tahun lepas, Ramli, 62, dari Kampung Borhan, Jalan Langgar, di sini akan mengambil inisiatif melukis sendiri Jalur Gemilang dengan menggunakan cat pada van Toyota Liteace yang dibelinya pada 2007.

Bapa lapan anak itu yang turut digelar 'Ramli Merdeka' oleh rakan-rakannya, berkata dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan lakaran Jalur Gemilang pada kenderaan tersebut yang turut digunakannya untuk aktiviti harian.

Usaha menyiapkan lakaran itu tidak memerlukan kos yang besar kerana dia menggunakan lebihan cat kenderaan sedia ada manakala peralatan mengecat pula miliknya sendiri.

"Tujuan saya untuk mengajak generasi muda bersama-sama tunjukkan semangat cinta pada negara dengan kibarkan Jalur Gemilang. Warga emas seperti saya boleh lakukan seperti ini kenapa tidak generasi muda yang serba moden," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain Jalur Gemilang, van itu turut dihiasi gambar kepimpinan negara dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza setiap tahun.

Ramli, yang bekerja sendiri, turut mempunyai sepasang baju Jalur Gemilang jahitan tangan yang dihasilkan sendiri dan hanya dipakai pada waktu tertentu sahaja seperti majlis kempen kibar Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kebangsaan.
Katanya usaha itu turut mendapat sokongan isterinya Siti Jamilah Ismail, 57, serta anak mereka iaitu lima lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 40 tahun.

Ramli berharap apa yang dilakukannya akan menjadi ikutan generasi muda agar sayangkan negara ini dan tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti demonstrasi haram yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

"Saya sayangkan negara tercinta ini kerana saya tahu betapa sukarnya pemimpin terdahulu berusaha untuk dapatkan kemerdekaan sehingga kita bebas untuk hidup dengan aman dan tenteram," katanya.
Sumber : Sinar


17kedah
Jerlun 15 Ogos - Kerajaan Kedah sedang meneliti cadangan pelabur yang berhasrat membangunkan industri minyak dan gas di kawasan Kerpan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri itu tidak mahu bertindak meluluskan cadangan itu secara melulu sebelum melihat impaknya dari pelbagai aspek.
"Kita sedang tengok (menelitinya) secara mendalam...boleh atau tidak, sesuai atau tidak di kawasan itu, kesannya kepada alam sekitar dan peluang pekerjaan yang tentu ada impaknya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun.
Mukhriz turut berharap agar cadangan itu menjadi kenyataan sekaligus dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sumber : Berita Rtm


13kdtc
ALOR SETAR 13 Ogos - Pusat Transformasi Digital Kedah (KDTC) mampu merangsang pembangunan industri teknologi maklumat dan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata objektif KDTC adalah untuk menyediakan fasiliti digital terkini dan bertaraf global.
"Ia bagi menggalakkan dan merangsang pembangunan teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta merapatkan jurang digital di Kedah," katanya pada majlis pelancaran KDTC dan Program Kembara Digital Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Norsabrina berkata pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan bertujuan memberi manfaat kepada rakyat Kedah seperti program e-rezeki untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan.
Selain itu, program Icon Junior yang diwujudkan juga mampu mencungkil bakat generasi muda yang kreatif dalam membangunkan aplikasi mudah alih.
Norsabrina berkata, KDTC telah berjaya melatih 2,105 orang melalui kursus dan latihan menerusi e-rezeki, Icon Junior dan Usahawan ICT Bumiputera yang kesemuanya disediakan secara percuma kepada rakyat Kedah.
KDTC dicetuskan semasa program Makmal Transformasi Negeri Kedah (MTK) pada 2013 dan mula beroperasi sejak Sept 2014.
Ia merupakan sebuah pusat kemahiran dan perkembangan ICT serta teknologi digital yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat Kedah.
Sumber : Sinar


9mukriz
ALOR SETAR 9 Ogos - Kerajaan negeri menjangkakan pembangunan projek mega Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah dimulakan pada Ogos tahun depan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemaju projek berkenaan kini giat melakukan kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan kerja penambakan di kawasan tersebut.
“Pemaju sedang giat melakukan kajian EIA secara terperinci kerana ia melibatkan persisir pantai dan laut. Kita nak pastikan tiada kesan yang akan memudaratkan alam sekitar dan apabila siap kelak mereka akan kemukakan kepada kerajaan negeri.
“Projek berkenaan merupakan satu projek mega dan kita nak segerakan kerana di peringkat kerajaan negeri tiada halangan dan berharap ia dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah dekat sini hari semalam.
Tambah beliau, hasil perbincangan dengan nelayan dan penduduk di kawasan berkenaan menerima maklum balas yang positif memandangkan KIFT dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan serta memberi nilai tambah kepada sektor perikanan di kawasan itu.
“Terlebih dahulu kita mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit sekiranya ada bantahan tetapi mereka mengalu-alukan projek seperti ini,” katanya.
Pada Mei lalu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memeterai perjanjian persefahaman dengan sebuah syarikat perikanan terkemuka dari China, Kumpulan Qingdao Lu Hai Feng (LHF) bagi membangunkan projek bernilai RM1 bilion berkenaan.
KIFT dirancang dibangunkan di Tebengau, Kuala Kedah dan bakal menjadi terminal perikanan terbesar di Asia Tenggara.
Sumber :  Utusan
Oleh : Jamliah Abdullah


3mukhriz
ALOR SETAR 6 Ogos - Kerajaan negeri hari ini bersetuju meminda Dasar Perumahan Negeri Kedah (DPrNK) melibatkan kuota pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah bagi status Tanah Simpanan Melayu dan Tanah Luar Simpanan Melayu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pindaan itu turut membabitkan pengurangan caj pembangunan daripada 20 peratus kepada 10 peratus kepada syarikat pemaju di negeri ini.
“Semua pindaan terhadap DPrNK itu berkuatkuasa serta-merta dan harus dipatuhi oleh semua syarikat pemaju di Kedah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Kedah di sini.
Mukhriz menjelaskan, pindaan dasar bagi status Tanah Simpanan Melayu itu menjadikan mana-mana projek perumahan di bawah 100 unit di Kedah, dikecualikan daripada pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah.
“Sebelum ini ia mewajibkan projek perumahan di bawah 100 unit untuk membina 40 peratus rumah mampu milik dan kos rendah, namun melalui pindaan ini, ia dikecualikan sama sekali.
“Bagi projek perumahan membabitkan 100 unit ke atas, dasar yang dikenakan adalah sama iaitu sebanyak 50 peratus daripada unit berkenaan harus diperuntukkan bagi rumah mampu milik dan kos rendah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi status Tanah Luar Simpanan Melayu pula, pindaan diperuntukkan bagi mana-mana projek perumahan membabitkan 50 unit ke bawah, turut dikecualikan daripada pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik, berbanding pelaksanaan sebelum ini yang mewajibkan pembiaan kediaman berkenaan sebanyak 40 peratus.
“Namun bagi projek perumahan membabitkan 50 unit ke atas untuk Tanah Luar Simpanan Melayu, dasar yang dikenakan tetap sama iaitu 50 peratus harus diperuntukkan bagi pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, DPrNK mula berkuatkuasa di Kedah pada 1 Januari lalu, manakala caj pembangunan sebanyak 20 peratus pula dilaksanakan kepada syarikat pemaju bermula 1 Julai lalu sebelum ia dipinda hari ini.
Sementara itu Penasihat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis, Datuk Ricque Liew Yon Chew, mengalu-alukan pindaan tersebut kerana dapat meringankan beban syarikat pemaju.
“Langkah ini dijangka dapat dimanfaatkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 200 pemaju di Kedah yang sebelum ini terpaksa menangguhkan projek pembinaan berikutan caj pembangunan yang tinggi, selain terikat dengan tuntutan membina rumah mampu milik dan kos rendah.
“Pindaan dasar ini tentunya membantu pemaju terutamanya mereka yang menjalankan projek pembinaan dalam skala kecil,” katanya.
Sumber : Utusan
Oleh : Nazmil Nasiruddin



    3mukhriz
    ALOR SETAR 3 Ogos - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri pertama mencapai status ‘sifar’ aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.
    Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dengan itu pihaknya berharap Environ ment Idaman Sdn. Bhd., (E-Idaman) bersama-sama dengan Solid Waste Corporation (SWCorp) akan terus berusaha meningkatkan prestasi ke arah mencapai tahap sifar aduan.
    “Saya dimaklumkan oleh SWCorp bahawa syarikat E-Idaman merupakan antara syarikat konsesi yang paling rendah menerima aduan berbanding dengan syarikat-syarikat konsesi yang lain pada 2014 sehingga ke hari ini. “E-Idaman juga merekodkan ‘sifar’ aduan sepanjang Hari Raya Aidilfitri sehinggalah ke hari ini. Saya berharap agar kejayaan itu akan dapat dipertahankan sampai bila-bila,” katanya semasa berucap dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri dan pelancaran Wisma Idaman di Bandar Stargate di sini hari ini.
    Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mhd. Saiful Anual Zainal.
    Menurut Mukhriz, Kedah yang pernah satu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Darul Sampah’ kini telah berubah wajah menjadi antara negeri yang terbersih di Malaysia.
    “Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh syarikat E-Idaman.
    “Bukan sahaja daripada aspek menjaga kebersihan malahan juga merangkumi kerja-kerja kebajikan masyarakat setempat seperti bantuan kepada mangsa bencana alam di negeri ini dan juga di negeri lain seperti Pahang dan Kelantan,” jelasnya.
    Dalam pada itu, Mhd. Saiful berkata, pihak E-Idaman sedang berusaha bersama-sama dengan SWCorp untuk ke arah sifar aduan pada 2016. “Pada 2010 pihak kami menerima 4,200 aduan dan jumlahnya menurun kepa da 750 pada 2014. Setakat Jun 2015, pihak kami menerima 200 aduan dan berjaya mengekalkan rekod sifar aduan sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi dan juga sambutan Aidilfitri 2014/2015,” jelasanya.
    Katanya, sepanjang enam tahun mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pengurusan awam di Kedah dan Perlis, pihak E-Idaman telah membelanjakan hampir RM200 juta untuk memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap yang terbaik.
    Sumber : Utusan
    Oleh : Safina Ramli


    2ambil
    ALOR SETAR 2 Ogos – Tindakan pemilik hotel bajet dan rumah tumpangan yang beroperasi secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi boleh mengancam keselamatan pelanggan sekiranya berlaku runtuhan atau kebakaran.
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melakukan pemeriksaan terhadap premis bangunan yang dijadikan sebagai hotel bajet atau rumah tumpangan supaya tidak beroperasi secara haram.
    Menurutnya, pemeriksaan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan bangunan berkenaan sebelum mengeluarkan lesen sekiranya premis terbabit diubahsuai dalam keadaan yang selamat untuk disewa orang ramai. Pihak PBT perlu menyenaraikan semua hotel bajet dan rumah tumpangan yang ada di setiap kawasan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang beroperasi secara haram.
    “Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah juga akan melakukan pemeriksaan pada bangunan terbabit untuk memastikan struktur bangunan itu selamat sebelum lesen dikeluarkan. Saya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan berharap tindakan sewajarnya diambil untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
    Sumber : UMTK


    28padi
    SUNGAI PETANI 28 Jul – Kedengaran pelik, namun dengan kecanggihan teknologi pertanian hari ini, tidak mustahil sekiranya ladang-ladang getah di seluruh negeri ini akan turut disertakan dengan tanaman padi dalam usaha menambah pendapatan golongan penoreh serta pemilik ladang getah.
    Menurut Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Abd Lateh Mohd Saman, langkah untuk memulakan projek itu kini di peringkat akhir setelah pihaknya mengadakan perbincangan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sejak beberapa bulan lalu.
    “Setakat ini segalanya berjalan lancar dengan RISDA sudah mengenal pasti lokasi sesuai bagi memulakan projek itu iaitu di Felcra Kubang Kenyir, Padang Terap sementara MARDI pula dalam proses untuk menyediakan benih padi bagi diedar kepada mereka yang terlibat,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan di Peladang Inn.
    Beliau memberitahu, padi yang digunakan adalah jenis aerob yang boleh ditanam di darat tanpa memerlukan banyak air. Jadi, tidak mustahil kita akan melihat pokok-pokok padi ditanam di celah-celah pokok getah pada masa akan datang.
    Tambahnya, selain penanaman padi berkenaan, pihaknya juga turut mengambil inisiatif lain seperti penanaman cendawan menggunakan tandan kelapa sawit serta penanaman ubi kemili di dalam guni baja. Penanaman cendawan yang dilakukan dalam kebun getah di Kampung Kubang Kenyeng, Padang Terap sudah pun di peringkat mengutip hasil sementara penanaman ubi kemili pula baru hendak dimulakan dengan pengagihan benih kepada peserta di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang.
    “Dianggarkan terdapat lebih 300 peserta untuk kesemua projek ini. Jika berjaya, tidak mustahil kesemua yang dilakukan ini akan disebar luas ke kawasan-kawasan lain di seluruh negeri ini bagi membantu menambah pendapatan masyarakat kampung,” jelasnya yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
    Sumber : UMTK


    28jangan
    JERLUN 28 Jul - Imam-iman di negeri ini disaran agar menggunakan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) agar ianya dapat mengelakkan daripada menjadikan masjid sebagai tempat politik.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, peranan dan tanggungjawab imam-imam di negeri ini amat diperlukan dalam usaha bersama-sama menjaga kesucian dan kemurnian masjid.
    “Kita tidak mahu masjid disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya dan kerjasama daripada semua imam di negeri ini amat diperlukan dalam memelihara kesejahteraan masjid dan tidak menjadikannya sebagai tempat politik yang boleh menggugat keharmonian umat Islam,” jelasnya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada 30 masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam sempena bulan Ramadan yang diadakan di Masjid Ayer Hitam.
    Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sebanyak RM1,000 kepada setiap masjid dalam DUN Ayer Hitam untuk menjalankan aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.
    Sumber : UMTK


    28sumbangkan
    ALOR SETAR 28 Jul – Kerajaan Negeri Kedah melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Kemanusiaan Rohingya bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami masyarakat minoriti itu.
    Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Jaya Budiman Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali berkata, orang ramai dialu-alukan memberikan sumbangan berupa pakaian baru atau terpakai untuk diagihkan kepada golongan itu.
    “Saya mohon ihsan pakaian untuk kita sedekahkan kepada pelarian ini yang ditempatkan di Kedah. Seeloknya, pakaian terpakai itu dibersihkan dahulu, diletakkan dalam plastik dan dilabel mengikut saiz. Sumbangan boleh diserahkan kepada pusat pengumpulan di perkarangan Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada waktu pejabat iaitu Ahad hingga Khamis, dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” ujarnya.
    Pengurus UTC Kedah, Zamzama Mohd berkata, atas dasar kemanusiaan dan simpati terhadap kesengsaraan pelarian Rohingya yang dikesan memasuki perairan negara baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan UTC Kedah memohon sumbangan daripada semua rakyat negeri ini.
    “Untuk memudahkan orang ramai, pusat penyerahan dibuka di hadapan UTC, di mana kesemua sumbangan akan dikumpulkan di tingkat lima untuk pembungkusan dan agihan. Buat masa ini, kita hanya terima sumbangan berupa pakaian,” jelasnya.
    Tambahnya, pusat itu dijangka beroperasi sehingga 10 Jun 2015 bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan. Walaupun baru sahaja dibuka, maklum balas sangat memberangsangkan. Pada hari pertama dibuka, pusat itu menerima sumbangan pakaian tiga muatan lori dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Tok Jalai, Kepala Batas. Sumbangan dari orang-perseorangan juga menggalakkan.
    Sumber : UMTK