15padang
PADANG TERAP 15 April – Daerah Padang Terap dijangka bakal merupakan satu daerah di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong berikutan terdapat pelbagai lokasi menarik untuk dilawati.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, sebanyak 10,000 pelancong domestik dan luar negara dijangka melawat daerah ini sepanjang tahun ini. Daerah Padang Terap kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi yang masih terpelihara dan mampu menarik pelancong.
“Antara kawasan yang dijangka terus menarik tumpuan pelancong ialah Hutan Lipur Puncak Janing, Tasik Pedu, Dusun Resort dan juga pusat ternakan rusa Kampung Semeliang di Kuala Nerang. Selain kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi, daerah ini juga mempunyai produk-produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduknya,” ujarnya.
Menurutnya, produk-produk keluaran usahawan IKS ini juga bolegh dijual kepada para pelancong dan menjadi satu nilai tambah kepada industri pelancongan di Daerah Padang Terap. Produk seperti madu kelulut dan madu lebah tualang yang popular di Daerah Padang Terap juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke sini.
Sumber : UMTK


15enakmen
ALOR SETAR 15 April – Enakmen Jenayah Syariah Kedah bagi membanteras ajaran Syiah di negeri ini telah dikuatkuasakan pada 1 Mac 2015 dalam usaha menyekat penularan ajaran sesat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, bagaimanapun belum ada tangkapan dibuat di negeri ini buat masa ini di bawah enakmen yang diwartakan sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, enakmen berkenaan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati mengamalkan ajaran sesat bukan sahaja melibatkan fahaman Syiah semata-mata.
“Kita akan buat tangkapan berdasarkan aduan apabila diperoleh nanti daripada orang ramai. Sehingga kini, kita tidak boleh membuat sebarang tangkapan kerana tindakan akan hanya boleh dibuat berdasarkan aduan daripada orang ramai, belum ada aduan lagi dibuat. Ini kerana kebanyakan daripada mereka bergerak secara bersembunyi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambahnya, Enakmen Jenayah Syariah Kedah itu memperuntukkan Seksyen 9 dan 11 iaitu sekiranya ada orang berdakwah dan menyebarkan ajaran yang menyalahi fatwa bukan sahaja Syiah, malah yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka boleh dikenakan tindakan.
“Dengan penguatkuasaan enakmen berkenaan, pihak berkuasa di negeri ini boleh mengambil tindakan termasuk menahan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung menyebarkan ajaran sesat di Kedah,” jelasnya.
Sumber : UMTK
15perkenal
LANGKAWI 15 April – Pendekatan inovatif dan interaktif perlu diperkenalkan di semua Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dalam usaha memastikan masalah rakyat dapat diambil tindakan segera oleh Kerajaan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tiada wajar ada istilah rakyat berasa dipinggirkan di mana sahaja mereka berada dengan diberi ruang untuk menyuarakan masalah atau aduan kepada Kerajaan.
“Justeru, Pusat Khidmat ADUN di negeri ini perlu lebih inovatif dan interaktif bagi tujuan menyebaran maklumat dan penerimaan maklum balas daripada pengundi tempatan. Kita mesti elakkan pusat khidmat sunyi sepi, orang tidak datang dan wakil rakyat pun entah ke mana,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat ADUN Kuah.
Sambil memuji pusat khidmat yang baharu dirasmikan itu, Menteri Besar memberitahu, pusat itu bukan sahaja menyediakan ruang pejabat tetapi turut dilengkapi kemudahan teknologi maklumat serta ruang santai ‘YB Corner’ yang menyediakan ruang niaga makanan.
Pusat ini agak unik dan ia patut dicontohi dan konsep seperti itu dikembangkan ke tempat lain di negeri ini dengan matlamat utama ialah untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat.
“Tempat lain pun ada pusat khidmat serupa tetapi yang ada di sini lebih inovatif kerana saya sendiri lihat pusat ini hidup dan dikunjungi orang ramai hingga waktu malam,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, YB. Dato’ Ir Nawawi Ahmad; ADUN Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan dan Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Mohamad Fuzi Mohaiden.
Sumber : UMTK


15langkawi
ALOR SETAR 15 April – Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan Pulau Langkawi sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menerima lebih ramai pengunjung sempena sambutan Tahun Melawat Kedah 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, persediaan itu termasuk memastikan bilangan hotel dan resort yang ditawarkan kepada pelancong mencukupi.
“Sekarang ini memang terdapat banyak hotel dan resort di Langkawi, namun dengan pertambahan bilangan pelancong dari dalam dan luar negeri, mungkin jumlah yang ada sekarang tidak mencukupi. Kita akan berusaha untuk mempromosikan Langkawi dan cuba menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur dalam bidang perhotelan di pulau ini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat memberitahu, prospek pelancongan di Langkawi amat cerah memandangkan keindahan flora dan fauna pulau itu masih terpelihara dan perkara itu turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Baru-baru ini beliau ada datang ke Pulau Langkawi dan beliau sendiri menawarkan diri untuk sama-sama membantu mempromosikan pulau ini agar menjadi satu destinasi pelancongan terbaik di rantau ini. Kami warga Pulau Langkawi amat berbangga dengan kesudian beliau dan kami yakin pulau ini mampu menjadi destinasi pelancongan popular dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan lokasi pelancongan di sekitar Alor Setar dan daerah lain sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Lokasi tumpuan pelancong yang berada dalam keadaan bersih juga memerlukan kerjasama semua pihak sekiranya ingin menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Sumber : UMTK


15kecemerlangan
SIK 15 April - Daerah ini akan memberikan fokus utama kepada pembangunan pendidikan kepada pelajar-pelajar di semua peringkat sekolah agar selari dengan daerah-daerah lain yang lebih maju.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, fokus utama kepada setiap pelajar amat perlu supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
"Fokus utama kepada setiap pelajar amat diperlukan supaya mereka lebih diberi perhatian ketika sesi pembelajaran dan latihan di sekolah. Fokus ini penting demi pembangunan pelajaran terutamanya kepada penduduk luar bandar supaya ianya seiring kemajuan pelajar-pelajar di bandar yang mempunyai banyak kemudahan," jelasnya pada Majlis Penyerahan Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) sempena Program Membara Motivasi Hala Tuju Pelajar Bersama Waris di Dewan Sekolah Menengah Sik.
Menurutnya, pihak sekolah, Biro Pendidikan UMNO Bahagian, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing supaya setiap pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Tambahnya, fokus utama itu seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi dan fokuskan kepada setiap pelajarnya untuk peningkatan pelajaran mereka pada masa hadapan.
"Saya mahu melihat pendidikan di daerah ini selari dah setanding dengan daerah-daerah lain yang maju dan mengurangkan jurang perbezaannya. Daerah ini seharusnya dijadikan sebagai daerah cemerlang dalam pendidikan dan perlu berada di antara lima tangga teratas di negeri ini," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang SPM, Siti Maisarah Aziz, 18, yang memperolehi semua A berkata, kejayaannya itu amat mengejutkannya. Beliau hanya meletakkan harapan yang biasa sahaja tetapi tidak menyangka akan memperolehi keputusan sebaik itu.
"Selain daripada menghadiri kelas-kelas tambahan di sekolah, saya juga banyak menggunakan tips peta minda untuk mengingati semua pelajaran yang saya belajar," tambahnya.
Pelajar terbaik STPM, Murnihati Kamaruzaman, 20, yang memperolehi 4.0 CGPA berkata, dorongan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan amat bermakna baginya kerana ia pencetus semangat untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Sumber : UMTK


 11jerlun
ALOR SETAR 6 April - Kerajaan negeri merancang menjadikan pusat bandar Bukit Kayu Hitam sebagai Kompleks Transformasi Darul Qiyam (Darul Qiyam Transformation Complex) selaras dengan dasar Rancangan Struktur Negeri Kedah 2002-2020.
Pengerusi Jawatankuasa Ke­rajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, antara pem­ba­ngunan yang dicadangkan di bandar sempadan itu adalah stesen bas, teksi, bazar perniagaan dan pusat penjaja.
“Persidangan Majlis Daerah Kubang Pasu yang bersidang pada 25 Jun 2014 telah memperakukan pelan komprehensif pembangunan pusat ini dan ia telah diluluskan dalam mesyuarat perancang negeri.
“Kini Jabatan Pe­rancang Bandar dan Desa negeri akan membuat tindakan publisiti Rancangan Tempatan yang me­libatkan pelan tersebut dan status kemajuan di tapak pada masa ini ialah masih dalam tindakan kerja-kerja tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) ketika sesi soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini.
Oleh : Laporan Safina Ramli
Sumber : Utusan
6pelaburan
ALOR SETAR 6 April - Kerajaan negeri akan terus menumpukan perhatian kepada pelaburan yang berintensifkan modal dan mampu menjana pendapatan yang tinggi kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, memang menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengamalkan pelaburan yang selektif dan lebih menjurus kepada teknologi tinggi.
“Kita sebenarnya sangat tidak minat pada pelaburan yang berintensifkan buruh atau pekerja, kita tidak mahu ada kilang datang sini sebagai contohnya untuk buka peluang kerja kepada 10,000 orang tetapi gajinya RM400 hingga RM500.
“Jika ada cadangan seperti ini kita minta mereka lihat negara lain, mungkin Indonesia atau Vietnam lebih sesuai dengan tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) pada sesi soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini.
Menurut Mukhriz, gaji purata bulanan pekerja di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) adalah RM6,400 dan dijangka terus meningkat.
“Jenis pelaburan yang mampu memberikan pendapatan tinggi kepada pekerja yang kita mahu, bukan tidak ada kerja yang melibatkan tenaga buruh di KHTP tetapi jumlahnya adalah kecil,” jelasnya.
Sementara itu, Mukhriz memberitahu, walaupun ekonomi ne-geri ini disebut-sebut antara yang ketinggalan berbanding negeri lain, itu tidak bermakna kerajaan ne-geri hanya ‘goyang kaki’ dan tidak melakukan apa-apa untuk menarik pelabur ke negeri ini.
“Sepanjang 2010 hingga 2014, jumlah pelaburan tempatan dan pelaburan asing yang dicatatkan di Kedah adalah sebanyak RM16.5 bilion.
“Bidang yang menjadi keutamaan pelabur bagi tahun tersebut adalah elektronik dan produk elektrikal yang berjumlah RM11.4 bilion melalui 41 projek yang menyediakan 12,732 peluang kerja kepada rakyat,” jelasnya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


5kedah
PENDANG 5 April - Koperasi Penternak Tenusu Negeri Kedah dan ADMC Dairy Farm Sdn. Bhd., me­meterai memorandum persefahaman (MoU) bagi projek penternak­an lembu tenusu di bawah kluster tenusu, projek permulaan 13 (EPP 13) untuk memajukan pembangun­an industri tersebut di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama strategik tersebut memberi manfaat kepada 60 peserta projek sosial itu iaitu mereka akan memperoleh latihan daripada aspek ekonomi, teori dan praktikal berhubung penternakan lembu yang berdaya maju.
Selain itu, beliau berkata, projek penternakan tersebut turut memberi manfaat kepada pihak yang mempunyai kaitan dengan industri itu seperti penyediaan makanan lembu dan logistik serta pelbagai lagi.
“Antara perkara yang dapat dilaksanakan dalam kerjasama ini adalah mengurus Pusat Perkhid­matan Industri Tenusu (PPIT), Sungai Petani dengan restu pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan mengurus Heifers Park di Bedong.
“Selain itu, turut melibatkan mengurus Koloni Tenusu dan latih­an serta bimbingan perternakan tenusu berteknologi tinggi bagi ahli-ahli Koperasi Penternak Tenusu Negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Koperasi Penternak Tenusu Ne­geri Kedah dengan ADMC di Paya Mak Inson di sini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob dan Pengarah Urusan ADMC, Dominic Antoni.
Mukhriz berkeyakinan, melalui kerjasama projek tenusu tersebut, ADMC dapat membantu para penternak lembu tenusu untuk mening­katkan sumber pendapatan penternak kecil.
“Seterusnya, menjadi sebuah syarikat yang menjadi tonggak pembangunan negara dengan meningkatkan pendapatan negara kasar (GNI)/keluaran dalam negara kasar (GDP) melalui projek ini,” katanya.
Sementara itu, Suraya berkata, melalui projek tersebut, ADMC akan menambah 500 ekor lembu yang akan dapat menyumbangkan hasil tenusu kepada 1.3 juta liter setahun.
“Ini melibatkan penambahan 14 peratus kepada pengeluaran susu negeri. Dengan terlaksananya projek ini juga, dijangka negeri akan dapat menghasilkan 2.3 juta liter pada 2017, iaitu tiga tahun lebih awal dari jangkaan pada 2020.
“Pengeluaran susu negeri pada tahun lalu ialah sebanyak 934,441.4 liter dengan nilai industri RM 2.34 juta. Pengeluaran susu negeri menyumbang 3.76 peratus kepada pengeluaran susu negara,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan


3bantu
KUBANG PASU 2 April - Sebanyak 45 peserta program latihan kemahiran dan kerjaya yang dijalankan oleh Felcra Trading & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC) berpeluang meningkatkan pendapatan dan menjadi usahawan jika mereka rajin berusaha.
Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad berkata, 32 peserta dari Kedah dan 13 pula dari Perlis itu mengikuti kursus jahitan selama enam bulan secara percuma oleh FTC dan dibekalkan mesin jahit di bawah pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Peserta kursus jahitan ini dibahagikan dalam dua kelompok iaitu 20 orang akan beroperasi di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang yang dijadikan pusat komuniti manakala yang selebihnya akan bekerja di rumah.
"Kita akan bantu para peserta ini mendapatkan tempahan pakaian korporat dan melalui cara ini ada jaminan pendapatan untuk para peserta yang mengikuti latihan kemahiran dan kerjaya ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan jahitan PPP dan penyampaian sijil program latihan kemahiran dan kerjaya di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang di sini hari ini.
Yang hadir merasmikan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.
Menurut Rohaizat, FTC dengan bantuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memperuntuk sebanyak RM100,000 setahun untuk melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya tersebut yang merupakan program pertama di Kedah.
"Peserta dipilih melalui sistem e-Kasih iaitu mereka yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan berpendapatan rendah.
"Program ini diharapkan dapat mengubah pemikiran mereka untuk terus maju dan menjana pendapatan tambahan serta melahirkan usahawan khususnya usahawan luar bandar," jelasnya.
Dalam pada itu, Tajudin berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak KKLW serta FTC untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri itu.
"Sekarang kadar kemiskinan di Kedah ialah 1.86 peratus dan kita mahu tingkatkan kemahiran serta latihan kepada golongan ini agar mereka boleh menjana pendapatan sendiri.
"Saya juga ingin menyeru kepada golongan miskin di negeri ini agar segera berdaftar dengan sistem e-Kasih supaya penyaluran bantuan dan juga kemahiran kepada mereka dapat dilakukan," katanya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


2tuisyen
SUNGAI PETANI 1 April - Kerajaan negeri hari ini melancarkan aplikasi Kedah e-Tutor (KeT) yang menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada lebih 280,000 pelajar di negeri ini.
Dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, aplikasi tersebut membolehkan para pelajar yang berusia antara 10 hingga 17 tahun mengulangkaji pelajaran dan menjalani latihan dengan dipantau oleh guru serta ibu bapa masing-masing.
Katanya, inisiatif diambil kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memastikan Kedah tersenarai sebagai lima negeri teratas dalam bidang akademik di negara ini.
“Sudah lama saya katakan bahawa segala perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan Kedah akan sia-sia jika kita tidak memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan.
“Justeru, kerajaan negeri tidak lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan besar sehingga RM18 juta bagi memperkenalkan aplikasi ini. Bagi kami, ini bukan perbelanjaan kosong sebaliknya pelaburan yang perlu dibuat bagi membantu anak Kedah untuk le­bih terkehadapan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran itu di Bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali serta Pengarah Pelajaran negeri, Datin Azu­yah Hassan.
Antara kelebihan KeT ialah para pelajar boleh mengikuti video pembelajaran mengenai kesemua topik dalam setiap subjek yang diselia oleh guru-guru cemerlang dan berpengalaman luas menerusi pelbagai gajet termasuk telefon bimbit pintar.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pe­rak turut memperkenalkan aplikasi sama, namun jumlah subjeknya tidak sebanyak seperti disediakan oleh kerajaan negeri Kedah, iaitu mencecah sehingga 80 subjek.
Mukhriz menambah, bagi membolehkan aplikasi itu dapat digunakan pelajar luar bandar, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan sekolah-sekolah luar bandar mempunyai capaian internet memuaskan.
“Setakat ini, terdapat kira-kira 25 peratus lagi sekolah di seluruh negeri ini yang belum mempunyai capaian internet atau capaian sedia ada tidak berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Oleh : Rafie Azimi
Sumber : Utusan