8nelayan
SUNGAI PETANI 8 Januari – Nelayan darat yang aktif menjalankan kegiatan perikanan serta memiliki sampan disaran membuat pendaftaran lesen nelayan bagi membolehkan golongan itu turut menerima insentif Kerajaan.
Pegawai Perikanan Negeri Kedah, Mohd Rodhi Rejab berkata, pendedahan itu dibuat berikutan ramai nelayan darat masih tidak mengetahui manfaat yang boleh diperoleh sekiranya mereka berdaftar.
“Pendaftaran bertujuan menyelaraskan bantuan kepada golongan yang berhak menerima kemudahan seperti nelayan lain,” jelasnya ketika melakukan pelepasan benih udang galah oleh Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sungai Petani di Kampung Transit Jambatan Merdeka.
Menurutnya, pendaftaran lesen nelayan oleh nelayan darat membolehkan golongan itu mendapat faedah seperti bantuan minyak, sampan, membaiki rumah nelayan dan elaun bulanan sebanyak RM200.
Dalam pada itu, sebanyak 50,000 benih udang galah berusia kira-kira tiga minggu dilepaskan ke perairan umum Sungai Muda dekat Jambatan Merdeka bagi menambah bekalan selain meningkatkan pendapatan golongan nelayan darat.
Difahamkan, udang galah ini berpotensi membesar sehingga anggaran 400 gram seekor dalam tempoh enam hingga lapan bulan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Perikanan Daerah Kuala Muda, Mohamad Md Yusoff.
Sumber : UMTK
8kaji
ALOR SETAR 8 Januari – Proses menaiktaraf projek perumahan terbengkalai di Taman Sri Ampang dikaji semula selepas rungutan 30 pembeli asal tentang kenaikan harga tiga kali ganda dari tawaran asal setelah diambil alih pemaju lain.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, projek itu diserahkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melantik pemaju baharu bagi menyelaras kerja terbengkalai selepas kegagalan pemaju asal.
“Peningkatan harga rumah asal RM59,000 kepada RM140,000 dibuat berdasarkan situasi pasaran semasa. Kita akan lihat semula isu dibangkitkan pembeli. Buat masa ini, projek itu masih diperingkat rundingan oleh kementerian. Penyelesaian boleh dibuat dengan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Menurutnya, sejak tahun 2013, dua projek perumahan terbengkalai di Kedah diambil alih KPKT iaitu masing-masing di Taman Sri Ampang dan Langkawi.
Sumber : UMTK
8kedah laksana
ALOR SETAR 8 Januari – Golongan penjawat awam di Negeri Kedah berpeluang memiliki rumah dengan harga mampu milik melalui projek perumahan penjawat awam yang bakal dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, projek berkenaan dijangka akan dimulakan pada awal tahun 2015 di Bukit Pinang.
Menurutnya, konsep perumahan itu adalah antara terawal dilaksanakan di Negeri Kedah selepas pelaksanaannya di Putrajaya. Kerajaan melalui Bajet 2015 meluluskan peruntukan membina perumahan penjawat awam.
“Ini juga satu penghormatan kepada penjawat awam di Kedah dan mereka yang berkelayakan boleh memohon melalui Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya, Kerajaan Negeri akan lebih fokus dalam usaha membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini untuk keperluan golongan berpendapatan rendah.
“Baru-baru ini kita memutuskan satu dasar perumahan yang lebih komprehensif selepas kita kaji data pendapatan penduduk Kedah. Jadi kita akan beri tumpuan kepada rumah mampu milik dan ini satu pendekatan yang Kerajaan perlu ambil bersesuaian dengan peratusan pendapatan penduduk sebanyak 50 peratus bagi mereka yang berpendapatan RM1,000 hingga RM3,000,” katanya.
Tambahnya, sasaran pembinaan rumah pelbagai jenis di negeri ini telah mencapai sasaran bagi tahun 2014 iaitu sebanyak hampir 12,000 unit berjaya dibina.
Sumber : UMTK
8kedah
ALOR SETAR 8 Januari -  Kerajaan Negeri akan mengkaji semula Akta Hiburan di Kedah bagi membolehkan penambahbaikan dibuat pada penguatkuasaan tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya membekukan pengeluaran lesen baharu pusat hiburan buat sementara.
“Selepas kita mengambil alih pentadbiran di Kedah, saya mendapati terlalu banyak pusat hiburan di negeri ini. Keputusan membekukan pengeluaran lesen baharu hanya untuk sementara sehingga suatu tempoh diberitahu kelak,” jelasnya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya merangka dan mengkaji semula akta sedia ada untuk diteliti secara terperinci. Kerajaan Negeri hanya membenarkan pembaharuan lesen pusat hiburan dibuat selepas mendapat sokongan daripada jabatan teknikal.
“Kita akan buat penguatkuasaan secara berterusan dalam memastikan keseimbangan berlaku antara tuntutan orang bukan Islam dan Islam terhadap isu hiburan di negeri ini,” ujarnya.
Difahamkan, kajian Akta Hiburan itu mungkin akan mengenakan syarat tambahan kepada larangan orang Islam untuk memasuki pusat karaoke, disko dan pub.
Sehingga kini, sebanyak 957 lesen hiburan dikeluarkan sejak pentadbiran Kerajaan terdahulu dan pimpinan sebelumnya dan jumlah keseluruhan cukai dikutip Kerajaan Negeri daripada hasil pusat hiburan itu adalah RM7,686,555.76.
Sumber : UMTK
7felcra
ALOR SETAR 7 Januari – Prihatin dengan  nasib mangsa banjir di Pantai Timur, kakitangan serta peserta Felcra Berhad (Felcra) Wilayah Utara mengambil inisiatif berkonvoi ke Kelantan bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk di sana.
Diketuai Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara, Wan Mokhtar Wan Muda, konvoi itu melibatkan 57 kakitangan serta peserta Felcra yang membawa bantuan bernilai RM20,000 menggunakan lebih 30 pacuan empat roda.
Katanya, sumbangan itu adalah hasil kutipan yang dilakukan melibatkan kakitangan dan peserta Felcra di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Ini adalah kali kedua pihaknya melakukan kutipan derma seperti ini selepas tabung untuk Gaza pada tahun 2014.
“Kami akan menuju ke Tanah Merah, Kelantan dan melawat keadaan kakitangan serta peserta Felcra di sana dahulu sebelum ke tempat lain. Selain menghulurkan sumbangan, kami turut membawa peralatan membersih bagi membantu mereka mencuci kediaman serta tempat-tempat ibadat,” ujarnya.
Konvoi itu dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah di Perkarangan Hotel Seri Malaysia.
Sementara itu, YB. Datuk Mohd Tajudin dalam ucapannya memuji usaha yang diambil kakitangan dan peserta Felcra itu yang dianggap peka dengan keperluan semasa golongan yang memerlukan.
“Diharapkan perkara sebegini menjadi contoh buat seluruh rakyat Malaysia. Bagi rakyat Negeri Kedah, mereka juga boleh menyampaikan sumbangan dengan menghantar barangan keperluan ke kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon yang menjadi pusat menyelaras bantuan di negeri ini,” jelasnya.
Pada majlis itu, YB. Datuk Mohd Tajudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2014.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Permodalan Felcra Sdn Bhd, Mohamed Ismi Abdul Majid serta Ketua Bahagian Pengurusan Felcra Wilayah Utara, Zulkifli Mamat.
Sumber : UMTK
6tarik
ALOR SETAR 6 Januari -  Kerajaan Negeri akan menarik lebih ramai pelabur dari China, Eropah dan Amerika Syarikat  dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, usaha untuk menarik pelabur asing ke negeri ini turut mendapat saingan daripada negeri-negeri lain.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke negeri ini. Apa yang penting, kita ingin membangunkan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan di Perkarangan Wisma Darul Aman.
Menurutnya, dengan kemasukan pelabur asing ke Negeri Kedah, ia secara tidak langsung mewujudkan kawasan industri yang baru di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.
Mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang tahun 2014 seperti berlakunya tragedi kehilangan MH370, pesawat MH17 yang ditembak dan tragedi QZ8501, beliau berharap ianya dapat direnungi bersama.
“Di samping itu, negara juga turut dikejutkan dengan musibah banjir yang melanda Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang termasuk Johor dan Perak. Banjir juga turut melanda Negeri Sabah,” ujarnya.
Tambahnya, musibah banjir yang melanda negeri-negeri berkenaan menuntut semua pihak untuk bersama-sama membantu mangsa-mangsa banjir dalam usaha meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka.
“Semua yang berlaku ini mempunyai hikmahnya. Hikmah ini adalah perpaduan yang begitu terserlah dalam usaha kita hidup bersatu padu kerana perpaduan perlu dipupuk dan disemai di kalangan rakyat di negara ini,” jelasnya.
Pada majlis itu, Menteri Besar Kedah turut menyampaikan wang tunai dan sijil penghargaan kepada 14 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), lapan pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sumber : UMTK