SEDIA 10,000 PEKERJAAN



5kerajaan
ALOR SETAR 17 November - Kerajaan negeri yakin projek Bandar Raya Getah yang akan dibangunkan di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada 5,000 hingga 10,000 orang penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kerajaan percaya lebih 90 peratus anak tempatan dari daerah Padang Terap akan menjadi tenaga kerja selepas projek itu berjalan sepenuhnya.
Katanya, banyak kilang di Kedah yang tenaga kerjanya diisi oleh orang tempatan dan sebagai contoh sebuah kilang di Merbok hampir 95 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada warga tempatan dan hanya lima peratus diisi warga asing.
“Kalau kita tanya mereka ini sama ada berminat untuk bekerja kilang di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur ramai yang tidak berminat.
“Banyak faktor yang menyebabkan orang tempatan tertarik untuk bekerja di negeri ini, antaranya faktor gaji yang menarik serta keselesaan dan kita yakin anak tempatan juga akan mengisi kekosongan jawatan di Bandar Raya Getah ini,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ir. Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) mengenai sama ada tenaga kerja di Bandar Raya Getah itu akan diisi oleh warga tempatan atau warga asing.
Menurut Ku Abdul Rahman, antara jenis pekerjaan yang bakal ditawarkan di Bandar Raya Getah itu ialah jawatan di peringkat profesional seperti dalam bidang kejuruteraan, bidang mekanikal serta bidang Sains Material.
Selain itu katanya, jawatan- jawatan bagi peringkat diploma dan sijil seperti juruteknik serta operator juga turut ditawarkan.
Tambahnya, projek Bandar Raya Getah itu dijangka bersedia untuk menarik pelabur selepas fasa pertama pembangunan infrastruktur di situ siap dijalankan pada 2017.
“Pada bulan Disember tahun ini kita akan memulakan kerja-kerja melantik konsultan untuk menjalankan kerja-kerja ukur tanah di kawasan projek berkenaan.
“Komponen projek tersebut seluas 600 hektar dan tanah seluas 380 hektar akan dibangunkan sebagai zon industri, 12 hektar sebagai zon komersial manakala lapan hektar lagi akan dibangunkan untuk kemudahan awam,” jelasnya.
Sumber : Utusan