RANCANG JANA TENAGA SOLAR DI UTARA



12g
ALOR SETAR 11 November - Gading Kencana Sdn. Bhd. (GKSB), merancang untuk melaksanakan projek penjanaan tenaga solar di premis rumah ibadat dan pusat komuniti di kawasan utara tanah air.
Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, kini pihaknya sedang menjalankan sesi penerangan, perbincangan tentang prospek projek serta kaedah perlaksanaan de­ngan jabatan berkaitan dan pemilik premis.
“Menerusi projek berkenaan rumah ibadat dan pusat komuniti berkenaan akan memperoleh pendapatan tetap sekitar RM1,500 setiap bulan menerusi penjanaan tenaga solar selama 21 tahun dan ini merupakan satu faedah yang sangat besar kepada komuniti setempat," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan pada tahun depan dengan sasaran seba­nyak 100 buah rumah ibadat dan pusat komuniti.
Guntor Tobeng memberitahu, projek tersebut telah berjaya dilaksanakan syarikat GKSB di kawasan Parlimen Johor Bahru yang dibayai oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
“Di kawasan Parlimen Johor Bahru, Gading Kencana melaksanakan projek ini bagi dua masjid dan enam surau pada fasa pertama yang telah beroperasi sejak awal tahun ini.
“Masjid berke­naan adalah Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kampung Datuk Sulaiman Menteri sementara surau ialah Taman Sri Tebrau, Bulatan Kampung Melayu, Al-Jauhar Taman Sentosa, Haji Umar Ahmad, An-Nur Larkin Perdana dan Padi Malinja Bandar Baru Uda,” jelasnya.
Tambah beliau, pada fasa kedua yang ditandatangani semalam antara GKSB dan Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ia melibatkan dua masjid dan lapan surau dengan kos pemasangan peralatan penjanaan tenaga solar itu ditanggung Sharir.
“Dua masjid ber­kenaan ialah Ar-Raudah Kampung Datuk Onn dan Masjid Jamek Kampung Kurnia sementara surau ialah Al-Falah Bandar Baru Uda, An-Nur Taman Stulang Laut, Haji Darussalam Stulang Baru, Taman Suria, Kampung Setanggi, Pangsapuri Ledang Bandar Baru Uda, Skudai Kanan dan Nurul Falah Sri Stulang,” katanya.
Guntor Tobeng berkata, pemasangan sistem berkenaan hanya mengambil masa antara satu hingga dua hari bagi setiap premis yang kemudian akan akan dilakukan pengujian dan pentauliahan serta pemasangan meter tenaga boleh diperbahurui oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Pemasangan sistem itu juga dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang pengunaan tenaga boleh diperbaharu dalam menampung pengunaan te­na­ga elektrik," jelasnya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan