PROJEK PELANCONGAN DI PANTAI MURNI



16pelancongan
YAN 16 November - Kunjungan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) bersama Pegawai Daerah Yan, Encik Mohd Yusri Md Daud ke tapak projek pelancongan di Pantai Murni membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kedah mengambil berat terhadap projek-projek yang akan dilaksanakan di daerah ini.
Menteri Besar berkata, sebanyak RM3.56 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan Pantai Murni bagi menarik perhatian pelancong untuk berkunjung ke situ.
“Dengan peruntukan berkenaan, ia diharap mampu merancakkan lagi pembangunan di Pantai Murni yang secara tidak langsung berupaya memberi manfaat kepada ekonomi penduduk di sekitar Yan,” ujarnya.
Daripada jumlah itu, jelasnya, sebanyak RM1.2 juta untuk pembinaan jeti pelancongan dan selebihnya untuk mengubah landskap ‘Waterfront Pantai Murni’.
Rombongan Kerajaan Negeri Kedah juga sempat melawat bangunan rumah kedai baru di Simpang Tiga Sungai Limau dan sempat berkunjung ke Pekan Nat di hadapan lokasi rumah kedai berkenaan sempena Program Mesra Rakyat (PMR) Peringkat Daerah Yan.
PMR Peringkat Daerah Yan adalah siri keenam yang diadakan pada tahun ini. Sebelum ini, PMR turut diadakan di Daerah Kulim Bandar Baharu, Baling, Padang Terap, Sungai Petani dan Pendang.
Program yang diadakan ini adalah untuk mendekatkan rakyat dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.
Sumber : UMTK