PERUNTUKAN RM 320 JUTA



3peruntukan
ALOR SETAR 3 November – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik peruntukan sebanyak RM320 juta yang disalurkan kepada projek Bandaraya Getah pada Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek Bandaraya Getah di Padang Terap dijangka menerima pelaburan antara RM5 bilion dan RM10 bilion pada peringkat awal pelaksanaan.
“Projek Bandaraya Getah akan dilaksanakan secara berfasa dan jika kita memperoleh antara RM5 bilion dan RM10 bilion nilai pelaburan pada peringkat awal, ia adalah satu pencapaian baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, peringkat permulaan projek berkenaan akan melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air akan bermula awal tahun depan.
Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumunkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi memulakan projek berkenaan seperti pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas.
Selain itu, seluruh rakyat kedah turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Sik dan sebuah hospital baru di daerah Pendang, di negeri ini
Nurul Shazeera Md Desa, 34, seorang peniaga kecil ketika ditemui di premis perniagaannya berkata, beliau amat bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai buah tangan berupa sebuah hospital tersebut.
“Selama ini kami terpaksa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk melahirkan anak, namun selepas siap Hospital Pendang nanti, kami berharap tidak perlu lagi ke Alor Setar untuk bersalin.
Pada saat Perdana Menteri membentangkan bajet berkenaan , saya hampir menitiskan air mata tanda bersyukur yang tidak terhingga kerana suara dan rintihan kami didengari oleh kerajaan. Kalau tidak pada kerajaan, pada siapa lagi tempat kami hendak mengadu,” katanya sebak ketika ditemui.
Selain itu, dia yang mempunyai tiga orang anak yang bersekolah turut menyambut baik pengumuman kerajaan yang meneruskan pemberian RM100 kepada setiap orang murid pada sesi persekolahan tahun depan.
“Sebagai peniaga kecil yang berpendapatan tidak menentu, saya akui kadangkala terpaksa berhutang untuk membeli beberapa keperluan asas untuk anak-anak sebelum bermulanya sesi persekolahan setiap tahun.
Namun sejak diperkenalkan bantuan tersebut, saya boleh menarik nafas lega kerana segala keperluan dan kemahuan anak-anak dapat dipenuhi dan sekaligus memberi motivasi dan semangat untuk mereka lebih gigih dalam pembelajaran di sekolah,” tambahnya.
Md Kassim Ibrahim, 64, seorang pesara sektor awam pula berkata. dia amat menghargai hasrat kerajaan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara di daerah ini pada tahun hadapan.

Dengan wujudnya pusat-pusat pengajian di Sik, saya berharap ianya akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi di daerah ini dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk di daerah ini untuk keluar dari kepompong kemiskinan melalui pelbagai rangsangan ekonomi yang diusahakan oleh kerajaan.
Sumber : UMTK