BERI TEMPOH LANJUTAN ENAM BULAN



5BERI
SUNGAI PETANI 5 November – Hanya tinggal kurang dari enam bulan tempoh lanjutan diberikan kepada kontraktor bagi menyiapkan pembinaan 300 unit rumah projek perumahan nelayan moden Tanjung Dawai.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui di mana perbincangan dengan kontraktor juga dilakukan untuk menyiapkannya dalam tempoh lanjutan berkenaan.
Menurutnya, pemantauan dilakukan terhadap projek itu setelah berlaku kelewatan dari tarikh sebenar selain pemantauan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sendiri serta laporan kepada Kerajaan Persekutuan juga dihantar mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa.
“Kita ambil perhatian tentang janji Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kerana kita nak menepati janji yang dibuat kepada masyarakat nelayan di kawasan ini berhubung pembinaan rumah nelayan,” ujarnya ketika melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan.
Beliau memberitahu, walaupun berlaku sedikit kelewatan namun, beliau berharap kesemua 300 unit rumah nelayan moden itu dapat disiapkan dalam tempoh lanjutan diberikan iaitu sehingga Mac 2016.
Tambahnya, antara punca kelewatan yang dikenal pasti ialah berhubung kerja tanah selain rawatan dan kajian tanah yang diperlukan memandangkan tapak asal projek merupakan paya bakau yang tanahnya sering mendap.
Sebelum ini, projek berkenaan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diumumkan merupakan hadiah kepada golongan nelayan sepertimana yang dijanjikan semasa kunjungan Perdana Menteri ke Tanjung Dawai dua tahun lalu.
Difahamkan, projek berkeluasan 25 ekar bagi 300 unit rumah berkembar satu tingkat (semi D) di kawasan paya bakau itu melibatkan kos RM48 juta. Selain rumah, beberapa kemudahan lain turut dibina termasuk surau, dewan, gelanggang futsal dan taman permainan yang bakal dijadikan projek perumahan nelayan moden terbaik di Malaysia.
Sumber : UMTK