12 PENGHUNI PUSAT JAGAAN HARAM DISELAMAT



22penghuni
JITRA 22 September - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah menyelamatkan 12 penghuni sebuah pusat jagaan haram di Kubang Pasu dalam satu operasi hari ini.

Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu, Mohd Fadhuli Wahab berkata, pusat jagaan itu didapati beroperasi tanpa permit daripada JKM sejak lapan bulan lepas.

Pusat jagaan itu menempatkan 15 penghuni lelaki terdiri daripada gelandangan dan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 35 hingga 75 tahun, tetapi ketika operasi hanya ada 12 penghuni dalam premis, katanya.

"Kita telah menyelamatkan mereka dan buat sementara, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Bedong, Sungai Petani sehingga tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas selesai operasi itu hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa penghuni pusat jagaan haram itu dipercayai dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang bertujuan mengaut keuntungan.
Berikutan itu, pihak JKM Kedah mengambil tindakan untuk menutup pusat jagaan haram itu, katanya.

Turut sama dalam operasi itu ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang JKM Kedah, Rahmat Sahat.

Operasi JKM Kedah itu dilakukan berikutan laporan media baru-baru ini, mengenai dakwaan sebuah pusat jagaan di Jitra mempergunakan penghuninya terdiri daripada warga emas dan pesakit mental untuk mengutip derma.
Sumber : Sinar