SUMBANGKAN PAKAIAN, BANTU PELARIAN



28sumbangkan
ALOR SETAR 28 Jul – Kerajaan Negeri Kedah melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Kemanusiaan Rohingya bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami masyarakat minoriti itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Jaya Budiman Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali berkata, orang ramai dialu-alukan memberikan sumbangan berupa pakaian baru atau terpakai untuk diagihkan kepada golongan itu.
“Saya mohon ihsan pakaian untuk kita sedekahkan kepada pelarian ini yang ditempatkan di Kedah. Seeloknya, pakaian terpakai itu dibersihkan dahulu, diletakkan dalam plastik dan dilabel mengikut saiz. Sumbangan boleh diserahkan kepada pusat pengumpulan di perkarangan Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada waktu pejabat iaitu Ahad hingga Khamis, dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” ujarnya.
Pengurus UTC Kedah, Zamzama Mohd berkata, atas dasar kemanusiaan dan simpati terhadap kesengsaraan pelarian Rohingya yang dikesan memasuki perairan negara baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan UTC Kedah memohon sumbangan daripada semua rakyat negeri ini.
“Untuk memudahkan orang ramai, pusat penyerahan dibuka di hadapan UTC, di mana kesemua sumbangan akan dikumpulkan di tingkat lima untuk pembungkusan dan agihan. Buat masa ini, kita hanya terima sumbangan berupa pakaian,” jelasnya.
Tambahnya, pusat itu dijangka beroperasi sehingga 10 Jun 2015 bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan. Walaupun baru sahaja dibuka, maklum balas sangat memberangsangkan. Pada hari pertama dibuka, pusat itu menerima sumbangan pakaian tiga muatan lori dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Tok Jalai, Kepala Batas. Sumbangan dari orang-perseorangan juga menggalakkan.
Sumber : UMTK