PADI DALAM LADANG GETAH DI KEDAH



28padi
SUNGAI PETANI 28 Jul – Kedengaran pelik, namun dengan kecanggihan teknologi pertanian hari ini, tidak mustahil sekiranya ladang-ladang getah di seluruh negeri ini akan turut disertakan dengan tanaman padi dalam usaha menambah pendapatan golongan penoreh serta pemilik ladang getah.
Menurut Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Abd Lateh Mohd Saman, langkah untuk memulakan projek itu kini di peringkat akhir setelah pihaknya mengadakan perbincangan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sejak beberapa bulan lalu.
“Setakat ini segalanya berjalan lancar dengan RISDA sudah mengenal pasti lokasi sesuai bagi memulakan projek itu iaitu di Felcra Kubang Kenyir, Padang Terap sementara MARDI pula dalam proses untuk menyediakan benih padi bagi diedar kepada mereka yang terlibat,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan di Peladang Inn.
Beliau memberitahu, padi yang digunakan adalah jenis aerob yang boleh ditanam di darat tanpa memerlukan banyak air. Jadi, tidak mustahil kita akan melihat pokok-pokok padi ditanam di celah-celah pokok getah pada masa akan datang.
Tambahnya, selain penanaman padi berkenaan, pihaknya juga turut mengambil inisiatif lain seperti penanaman cendawan menggunakan tandan kelapa sawit serta penanaman ubi kemili di dalam guni baja. Penanaman cendawan yang dilakukan dalam kebun getah di Kampung Kubang Kenyeng, Padang Terap sudah pun di peringkat mengutip hasil sementara penanaman ubi kemili pula baru hendak dimulakan dengan pengagihan benih kepada peserta di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang.
“Dianggarkan terdapat lebih 300 peserta untuk kesemua projek ini. Jika berjaya, tidak mustahil kesemua yang dilakukan ini akan disebar luas ke kawasan-kawasan lain di seluruh negeri ini bagi membantu menambah pendapatan masyarakat kampung,” jelasnya yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Sumber : UMTK