KEDAH PINDA DASAR PERUMAHAN NEGERI



3mukhriz
ALOR SETAR 6 Ogos - Kerajaan negeri hari ini bersetuju meminda Dasar Perumahan Negeri Kedah (DPrNK) melibatkan kuota pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah bagi status Tanah Simpanan Melayu dan Tanah Luar Simpanan Melayu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pindaan itu turut membabitkan pengurangan caj pembangunan daripada 20 peratus kepada 10 peratus kepada syarikat pemaju di negeri ini.
“Semua pindaan terhadap DPrNK itu berkuatkuasa serta-merta dan harus dipatuhi oleh semua syarikat pemaju di Kedah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Kedah di sini.
Mukhriz menjelaskan, pindaan dasar bagi status Tanah Simpanan Melayu itu menjadikan mana-mana projek perumahan di bawah 100 unit di Kedah, dikecualikan daripada pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah.
“Sebelum ini ia mewajibkan projek perumahan di bawah 100 unit untuk membina 40 peratus rumah mampu milik dan kos rendah, namun melalui pindaan ini, ia dikecualikan sama sekali.
“Bagi projek perumahan membabitkan 100 unit ke atas, dasar yang dikenakan adalah sama iaitu sebanyak 50 peratus daripada unit berkenaan harus diperuntukkan bagi rumah mampu milik dan kos rendah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi status Tanah Luar Simpanan Melayu pula, pindaan diperuntukkan bagi mana-mana projek perumahan membabitkan 50 unit ke bawah, turut dikecualikan daripada pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik, berbanding pelaksanaan sebelum ini yang mewajibkan pembiaan kediaman berkenaan sebanyak 40 peratus.
“Namun bagi projek perumahan membabitkan 50 unit ke atas untuk Tanah Luar Simpanan Melayu, dasar yang dikenakan tetap sama iaitu 50 peratus harus diperuntukkan bagi pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, DPrNK mula berkuatkuasa di Kedah pada 1 Januari lalu, manakala caj pembangunan sebanyak 20 peratus pula dilaksanakan kepada syarikat pemaju bermula 1 Julai lalu sebelum ia dipinda hari ini.
Sementara itu Penasihat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis, Datuk Ricque Liew Yon Chew, mengalu-alukan pindaan tersebut kerana dapat meringankan beban syarikat pemaju.
“Langkah ini dijangka dapat dimanfaatkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 200 pemaju di Kedah yang sebelum ini terpaksa menangguhkan projek pembinaan berikutan caj pembangunan yang tinggi, selain terikat dengan tuntutan membina rumah mampu milik dan kos rendah.
“Pindaan dasar ini tentunya membantu pemaju terutamanya mereka yang menjalankan projek pembinaan dalam skala kecil,” katanya.
Sumber : Utusan
Oleh : Nazmil Nasiruddin