AMBIL TINDAKAN TERHADAP HOTEL BAJET HARAM



2ambil
ALOR SETAR 2 Ogos – Tindakan pemilik hotel bajet dan rumah tumpangan yang beroperasi secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi boleh mengancam keselamatan pelanggan sekiranya berlaku runtuhan atau kebakaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melakukan pemeriksaan terhadap premis bangunan yang dijadikan sebagai hotel bajet atau rumah tumpangan supaya tidak beroperasi secara haram.
Menurutnya, pemeriksaan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan bangunan berkenaan sebelum mengeluarkan lesen sekiranya premis terbabit diubahsuai dalam keadaan yang selamat untuk disewa orang ramai. Pihak PBT perlu menyenaraikan semua hotel bajet dan rumah tumpangan yang ada di setiap kawasan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang beroperasi secara haram.
“Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah juga akan melakukan pemeriksaan pada bangunan terbabit untuk memastikan struktur bangunan itu selamat sebelum lesen dikeluarkan. Saya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan berharap tindakan sewajarnya diambil untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sumber : UMTK