RMK 11 Fokus Golongan Luar Bandar

DSC 0074copy
KUALA  LUMPUR 23 Jul -  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memberi tumpuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam perancangannya bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menterinya, YB. Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, golongan terbabit mewakili 62 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah luar bandar yang memerlukan aktiviti pembangunan bagi memberi kesan secara langsung dalam meningkatkan taraf hidup.

“Program atau projek pembangunan luar bandar akan memberi tumpuan kepada negeri yang mempunyai jumlah golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tinggi seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalannya, YB. Dato; Alexander Nanta Linggi pada majlis perasmian Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah 2015.
 
Menurutnya, berpaksikan strategi yang digariskan, pihaknya mengemukakan permohonan berjumlah RM49.5 bilion kepada Unit Perancang Ekonomi bagi pelaksanaan projek dalam RMK-11. Ia membabitkan 816 projek, iaitu 716 projek baru dan 55 projek sambungan bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2016.

“Peruntukan berkenaan dijangka dapat mempercepatkan pencapaian matlamat Program Transformasi Luar Bandar dan bakal mengubah landskap sosioekonomi hingga mampu menarik pelabur swasta. Ia juga mampu menyediakan peluang pekerjaan, kegiatan ekonomi dan menggalakkan generasi muda berkhidmat di desa,” jelasnya.

Bagi menyokong pertumbuhan industri negara, katanya, modal insan luar bandar terus diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan pasaran.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Sumber : UMTK