Petani Perlu Mulakan Penanaman Organik

gambar5copy

ALOR SETAR 23 Jul – Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 mampu menjadi platform kepada penggiat industri pertanian di negeri ini untuk memulakan inisiatif ke arah penanaman secara organik pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaakob berkata, ini berikutan perkongsian idea dan ilmu di dalam seminar berkenaan dapat dijadikan persediaan kepada penggiat industri pertanian untuk tujuan itu.

“Saya pasti ramai yang hadir di seminar ini merupakan penggiat pertanian sama ada di peringkat perancangan, pelaksanaan, mahupun pemasaran secara langsung atau tidak langsung akan memperoleh manfaat daripada pelbagai topik yang akan dibincangkan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 di Hotel Tabung Haji.

Beliau berharap pegawai Kerajaan Negeri dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang hadir supaya mengambil peluang untuk mempelajari serta berbincang penggiat tanaman secara Intensifikasi Sumber Lestari bagi memudahkan pelaksanaan ‘Kedah Organics’ kelak.

Tambahnya, seminar yang diadakan itu sangat bertepatan kerana selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam merangka dan menyediakan pelan tindakan ‘Kedah Organics’. ‘Kedah Organics’ merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penanaman makanan secara organik bagi mempertingkatkan kelestarian alam sekitar.

“Mengikut hala tuju Pembangunan Pertanian Organik 2015-2020, adalah disasarkan sebanyak dua peratus bersamaan 2,548 hektar kawasan penanaman makanan di negeri ini akan diperuntukkan bagi inisiatif ‘Kedah Organics’. Ini merupakan pada kadar 425 hektar setahun bagi enam tahun akan datang,” jelasnya.

Sumber : UMTK