Peruntukan RM137.7 Juta Pembangunan Luar Bandar


16peruntukan

PANTAI MERDEKA 16 Jul - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM137.7 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar di negeri ini pada tahun ini berbanding RM123.3 juta pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, melalui peruntukan itu banyak kemudahan asas seperti bekalan elektrik serta pembinaan jalan kampung dapat disalurkan ke kampung-kampung di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tetap memberikan penumpuan terhadap pembangunan di kawasan luar bandar dalam usaha memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat. Banyak permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan luar bandar yang perlu diselesaikan dan kita akan menanganinya secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah (KPPSMCK) di Bilik Mesyuarat Pantai Merdeka Resort.

Beliau turut meminta Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berganding bahu dalam mencari jalan terbaik untuk bersama-sama memajukan kampung-kampung di negeri ini agar ia mampu membangun dengan sendiri.

Tambahnya, pelbagai usaha perlu dilakukan dalam menaikkan imej penghulu di negeri ini kerana mereka juga berupaya membawa perubahan yang besar kepada penduduk di kawasan masing-masing. Apa yang penting, setiap penghulu perlulah melaksanakan tugas yang diamanahkan itu dengan penuh tanggungjawab serta berdedikasi agar kemajuan kampung berada dalam keadaan baik serta sempurna.

Seramai 70 penghulu dari 126 mukim di negeri ini menghadiri program itu. Turut hadir ialah Pengerusi KPPSMCK, Encik Ahmad Fuad Zainal Abidin.

Sumber : UMTK