JITRA 22 Jul – Sebanyak 28,081 unit
kediaman termasuk rumah kos rendah dan mampu milik dibina Kerajaan
Negeri sejak dua tahun mentadbir negeri ini dan pencapaian yang
memberangsangkan itu diyakini mampu melepasi sasaran 40,000 unit
kediaman yang dijanjikan Kerajaan Negeri sehingga tahun 2018.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji
Mukhriz Tun Mahathir berkata, permintaan terhadap rumah adalah tinggi
terutama rumah kos rendah dan mampu milik kerana kebanyakan penduduk
Kedah berpendapatan rendah.
“Jadi, kita meletakkan sasaran 40,000
rumah pelbagai peringkat sepanjang lima tahun sejak tahun 2013 dan kini
sudah mencapai sasaran tahunan dengan lebih 20,000 unit berjaya diduduki
dan dalam proses pembinaan,” jelasnya kepada pemberita selepas
melancarkan Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) iaitu projek milik Kumpulan
Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat, BDB Land Sdn Bhd.
Menurutnya, melalui TTIS, BDB akan
mengetengahkan konsep pembangunan perbandaran hijau yang mempunyai nilai
pembangunan kasar sebanyak RM532 juta. TTIS menawarkan sebanyak 1,615
unit kediaman pelbagai peringkat membabitkan rumah kos rendah, mampu
milik dan mewah yang akan dibangunkan di kawasan seluas 80 hektar dan
dijangka siap menjelang tahun 2018.
Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata,
daripada jumlah 28,081 unit kediaman itu, sebanyak 10,634 unit
diluluskan tahun ini untuk dilaksanakan. Sepanjang tahun 2014, sebanyak
2,322 unit siap dibina dan 10,324 masih dalam pembinaan, manakala pada
tahun 2013 sebanyak 4,801 unit kediaman dibina selepas Kerajaan Negeri
yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Negeri Kedah Darul Aman.
Turut hadir dalam majlis itu ialah
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’
Tajul Urus Mat Zain; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan
Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’
Badrol Hisham Hashim dan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato’ Izham
Yusoff.
Sumber : UMTK