100 Keluarga Miskin Diberi Perhatian

IMG 7979copy

KULIM 22 Jul – Satu lagi projek Kerajaan, Rimbunan Kasih bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah sedang giat dijalankan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin  Abdullah berkata, projek itu akan memberikan kesan positif kerana pesertanya terdiri daripada penduduk miskin.

“Mereka akan dihimpunkan di penempatan baru dan di situ mereka akan bekerjasama memulakan hidup baru. Penempatan baru ini juga akan disediakan aktiviti ekonomi dan setiap pesertanya sendiri akan mengendalikannya bagi menjana pendapatan mereka,” ujarnya ketika meninjau Projek Rimbunan Kasih Bandar Baharu di Mukim Bagan Samak.

Menurutnya, seramai 100 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan yang dikategorikan sebagai miskin akan dipilih untuk menduduki penempatan baru itu. Terlebih dahulu, calon peserta akan dipanggil menghadiri temuduga dan penilaian akan dibuat secara teliti supaya sasaran menepati projek yang dirancangkan.

Beliau memberitahu, sebanyak 100 unit rumah akan dibina dan pelbagai prasarana seperti surau, dewan, tabika dan taman permainan kanak-kanak turut disediakan bagi kemudahan peserta. Aktiviti perladangan dan pertanian turut diadakan di persekitaran penempatan itu bagi memberikan pendapatan kepada peserta dalam menjana ekonomi rumah tangga mereka.

“Aktiviti perladangan seperti Rumah Hijau, penanaman buah-buahan, penternakan ikan dan sebagainya turut diadakan. Ini memberikan mereka peluang untuk bekerja bagi menjana pendapatan dan dapat meringankan sedikit bebanan yang terpaksa ditanggung selama ini,” jelasnya.

Sumber : UMTK