TIDAK BENARKAN PROJEK ATAS TANAH RIZAB MELAYU



11jerlun
ALOR   SETAR 1 Jun -  Kedah tidak membenarkan projek perumahan dibangunkan di atas tanah rizab Melayu bagi memuihara kedudukan dan keluasan tanah itu selaras wasiat Raja-Raja Melayu 1957 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk membatalkan tanah rizab Melayu dengan gantian.
 
Menurutnya, ia bagi memberi laluan kepada pembangunan perhotelan dan pekilangan atau projek khas yang mematuhi undang-undang. Dasar itu dilaksanakan kira-kira dua tahun lalu yang bertujuan memelihara kepentingan orang Melayu berkaitan tanah rizab Melayu pada masa depan.
 
“Kita tetapkan untuk projek perumahan tidak boleh bangunkan di atas tanah rizab Melayu. Kalau pembangunan lain kita benarkan seperti hotel, kilang dan pembangunan projek khas yang mematuhi peraturan dan undang-undang,” jelasnya.
 
Dalam hal ini, katanya, Kerajaan Negeri sedar kepentingan untuk menjaga tanah rizab Melayu selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-Raja Melayu 1957.
 
“Kerajaan Negeri melaksanakan kaedah penggantian tanah rizab Melayu yang dibatalkan dengan penambahan sebanyak lima peratus sebagai satu lagi usaha untuk memelihara kedudukannya. Ini bermakna, jika 100 hektar tanah rizab Melayu dibatalkan, ia perlu digantikan dengan tanah lain berkeluasan 105 hektar dengan nilai yang setara,” ujarnya.

Tambahnya, ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memastikan perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terus terpelihara.
 
Sumber : UMTK