KEJOHANAN MOTOCROSS TERBUKA KEDAH 2015 MERIAH

PENDANG 9 Jun - Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Pendang meminta Kementerian Belia dan Sukan membantu untuk mewartakan Litar Motocross Kampung Rasau sebagai salah satu sirkit sukan motosikal lasak di negara ini.
Pengerusinya, Mohd Fadzil Zolkipli berkata, sehingga kini di kawasan utara belum ada mana-mana litar motocross yang diwartakan menjadi sirkit sukan ekstrem tersebut. Sekiranya litar di Kampung Rasau berjaya diwartakan, setiap tahun pasti ada penganjuran kejohanan di situ.
“Kejohanan sukan sebegini dapat menggalakkan aktiviti sukan pemotoran yang sihat di kalangan anak muda serta memperkenalkan Daerah Pendang kepada peminat sukan motocross dan kami mohon bantuan Kementerian Belia dan Sukan untuk membantu melaksanakan perkara ini,” jelasnya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Motocross Terbuka Kedah 2015 di Litar Motocross Kampung Rasau yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB. Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, kejohanan yang pertama kali dianjurkan pihaknya itu berjaya menarik penyertaan seramai 100 pelumba termasuk dari Thailand dan Singapura.
Sementara itu, YB. Khairy Jamaluddin dalam ucapannya berkata, beliau akan berbincang dengan Persatuan Motocross Malaysia supaya mengiktiraf Litar Motocross Kampung Rasau itu sebagai salah satu sirkit kejohanan motocross di negara ini.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa sukan pemotoran tidak hanya boleh dianjurkan di kawasan bandar sahaja namun, di kawasan luar bandar juga ia mampu diadakan. Saya akan bantu dan bincang dengan Persatuan Motocross Malaysia supaya Litar Motocross Kampung Rasau ini dimasukkan di dalam senarai sirkit litar motocross di negara ini,” ujarnya.
Sumber : UMTK