TAMAN TEKNOLOGI MERANGSANG EKONOMI NEGERI



5taman
ALOR SETAR 5 Mei – Kerajaan Negeri Kedah merancang untuk membuka lebih banyak taman teknologi di negeri ini selepas Taman Teknologi Tinggi Kulim berjaya merangsang ekonomi negeri.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembukaan lebih banyak taman teknologi seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Apabila taman-taman teknologi itu berjaya, ia akan menyumbang semula kepada ekonomi negara dalam bentuk pertumbuhan ekonomi dan cukai yang dikutip,” jelasnya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.
Beliau memberitahu, diharap Kerajaan Pusat dapat membantu Kerajaan Negeri membuka Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam dan Taman Teknologi Sains Perubatan di Kulim.
“Pembukaan taman teknologi berkenaan akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu secara keseluruhan selain menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Negeri Kedah,” ujarnya.
Tambahnya, sejak dibuka pada 1996, Taman Teknologi Tinggi Kulim berjaya menarik RM36 bilion nilai pelaburan dari dalam dan luar negeri serta menyediakan kira-kira 20,000 pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
Katanya, mereka yang bekerja di Taman Teknologi Tinggi Kulim menerima purata gaji sebanyak RM6,400 sebulan, dengan 70 peratus daripadanya merupakan anak-anak tempatan. Walaupun Kerajaan Pusat membelanjakan RM600 juta untuk membuka Taman Teknologi Tinggi Kulim, jumlah pelaburan yang diterima memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Sumber : UMTK