PETANI PERLU GUNA BENIH PADI YANG SAH



25pesawah
JITRA 25 Mei - Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dinasihatkan agar menggunakan benih padi yang sah untuk menjamin hasil tuaian yang lebih berkualiti dan bebas daripada serangan penyakit.
Pengerusi MADA, YB. Dato’ Othman Aziz berkata, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan hasil tuaian untuk musim 2/2014 mengalami penurunan hampir 20 peratus berbanding hasil pada musim 2/2013 dipercayai kerana menggunakan benih padi yang tidak sah.
“Musim 2/2013 purata kita dapat hasilkan 6.5 tan satu hektar, musim 2/2014 hanya mendapat 5.1 tan sahaja satu hektar kerana diserang pelbagai penyakit seperti karah tangkai, hawar daun dan lain-lain. Hasil siasatan mendapati antara puncanya ialah benih padi yang digunakan pesawah tidak ada daya tahan penyakit, mungkin benih padi yang digunakan tidak sah,” jelasnya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pengembangan Penggunaan Benih Padi Sah yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar MADA, Md. Zuki Ismail di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E-II Kubang Sepat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, pihaknya tidak dapat mengenalpasti berapa ramai pesawah telah menggunakan benih tidak sah pada musim yang lalu namun beliau berharap pada musim ini pesawah akan menggunakan benih padi yang sah.
“Pihak MADA telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen pengembangan penggunaan benih padi sah dan kita berharap pesawah akan mengambil berat mengenai hal ini. Benih yang sah ialah benih yang dikeluarkan dari ladang benih, dipilih, kemudiannya diproses lalu disahkan serta diberi nombor sijil oleh Jabatan Pertanian. Hanya benih ini disaran untuk digunakan pada musim ini,” ujarnya.
Sumber : UMTK