NAIK TARAF TERMINAL FERI KUAH DISEGERAKAN



5naik
ALOR SETAR 5 Mei - Kerajaan negeri mengarahkan kontraktor yang terbabit dengan kerja-kerja menaik taraf Terminal Feri Kuah di Langkawi mempercepatkan kerja-kerja tersebut bagi memastikannya siap mengikut jadual.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kerja-kerja menaik taraf terminal itu dijalankan bagi mengatasi masalah kesesakan pelancong terutama ketika musim cuti.
“Kontraktor agak lambat menjalankan tugas dan saya telah berjumpa mereka dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini untuk berbincang agar kerja naik taraf disiapkan segera," katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, selain kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan, keadaan air pasang surut turut menyebabkan banyak feri tidak dapat bergerak mengikut jadual.
"Saya akui keadaan di Terminal Feri Kuah sangat mendukacitakan.
"Saya mohon maaf kepada semua pelancong dan saya harap kerja-kerja naik taraf terminal feri yang sedang dijalankan dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada hujung tahun ini akan dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku," katanya.
Difahamkan berlaku kesesakan teruk di Terminal Feri Kuah semalam dan menyebabkan ramai penumpang terkandas sehingga lewat malam.
Kejadian itu juga menyebabkan beberapa pengunjung pengsan ekoran kesesakan dipercayai akibat kelewatan feri.
Dalam masa sama, Tajul Urus berharap Kementerian Pengangkutan dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan kemudahan di Terminal Feri Kuah dalam usaha menjadikan Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan popular negara.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan