KERAJAAN MEMANDANG SERIUS PENYAKIT KENCING TIKUS



7kerajaan
ALOR SETAR 7 Mei - Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca penyebaran penyakit kencing tikus atau leptospirosis di negeri ini terutama yang banyak dilaporkan berlaku di kawasan rekreasi.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, pihaknya sudah menghantar kertas kerja mengenai kajian berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tindakan susulan termasuk dalam mencari penyelesaian terhadap penyebaran penyakit itu.
Beliau memberitahu, kajian secara menyeluruh itu dijalankan dalam usaha membendung penyakit kencing tikus daripada terus merebak di kalangan rakyat di negeri ini berikutan terdapatnya peningkatan kes ini di Kedah.
“Justeru, saya dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Norhizan Ismail, mengusulkan cadangan ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan mereka memberi maklum balas positif terhadap cadangan dan kajian kita,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, YB. Dr. R Krishnamoorty pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman.
Menurutnya, kajian terperinci itu nanti bukan sahaja akan menjurus kepada kawasan yang telah dilaporkan penularan virus kencing tikus, malah kawasan rekreasi yang turut dikaitkan dengan penyebaran wabak berkenaan kerana lokasinya yang mempunyai air bertakung serta bertanah lembap
Bertepatan dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk melihat kawasan rekreasi di negeri ini berada dalam keadaan bersih, Majlis Daerah Yan turut mengambil pendekatan terbaik dengan mengadakan Kempen Gotong-Royong dan Kempen Kawalan Tikus di Pusat Rekreasi Batu Hampar.
Yang Dipertuanya, Abd Rashid Othman berkata, pusat rekreasi itu dibersihkan secara berperingkat di Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi, Sungai Teroi, Titi Hayun, Kaki Gunung Jerai dan Pulau Song Song.
“Sebagai permulaan, kami membersihkan kawasan peranginan Batu Hampar selain turut memasang perangkap tikus di sekitar kawasan berkenaan sebagai langkah menangkap haiwan itu. Kebiasaannya penyakit kencing tikus bukan sahaja disebabkan oleh tikus, tetapi kencing binatang lain yang berada dalam hutan ini yang membawa kuman dan mudah dijangkiti kepada manusia.
Menurutnya, tujuan gotong-royong diadakan adalah untuk menarik semula pengunjung datang ke beberapa pusat peranginan di Daerah Yan yang kurang dikunjungi orang ramai disebabkan bimbangkan keselamatan mereka.
Seramai 300 orang termasuk kakitangan Majlis Daerah Yan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Hutan, Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Polis DiRaja Malaysia dan Kolej Komuniti turut serta.
Sumber : UMTK