BANTU MASYARAKAT LONJAK PENDAPATAN



6bantu
KODIANG 6 Mei - Sebanyak 45 peserta program latihan kemahiran dan kerjaya yang dijalankan oleh Felcra Trading dan Consultancy Sdn Bhd (FTC) berpeluang meningkatkan pendapatan dan menjadi usahawan jika mereka rajin berusaha.
Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad berkata, 32 peserta dari Kedah dan 13 pula dari Perlis itu mengikuti kursus jahitan selama enam bulan secara percuma oleh FTC dan dibekalkan mesin jahit di bawah pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Peserta kursus jahitan ini dibahagikan kepada dua kelompok seramai 20 orang yang akan beroperasi di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang manakala yang selebihnya akan bekerja di rumah,” ujarnya selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan jahitan PPP dan penyampaian sijil program latihan kemahiran dan kerjaya di Pusat Kecemerlangan Setempat.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
Menurutnya, FTC dengan bantuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 setahun untuk melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya berkenaan yang merupakan program pertama di Kedah.
“Peserta dipilih melalui sistem e-Kasih iaitu mereka yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan berpendapatan rendah. Program ini diharapkan dapat mengubah pemikiran mereka untuk terus maju dan menjana pendapatan tambahan serta melahirkan usahawan khususnya usahawan luar bandar,” jelasnya.
Sumber : UMTK