Perkenal Pendekatan Inovatif Dan Interaktif

15perkenal
LANGKAWI 15 April – Pendekatan inovatif dan interaktif perlu diperkenalkan di semua Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dalam usaha memastikan masalah rakyat dapat diambil tindakan segera oleh Kerajaan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tiada wajar ada istilah rakyat berasa dipinggirkan di mana sahaja mereka berada dengan diberi ruang untuk menyuarakan masalah atau aduan kepada Kerajaan.
“Justeru, Pusat Khidmat ADUN di negeri ini perlu lebih inovatif dan interaktif bagi tujuan menyebaran maklumat dan penerimaan maklum balas daripada pengundi tempatan. Kita mesti elakkan pusat khidmat sunyi sepi, orang tidak datang dan wakil rakyat pun entah ke mana,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat ADUN Kuah.
Sambil memuji pusat khidmat yang baharu dirasmikan itu, Menteri Besar memberitahu, pusat itu bukan sahaja menyediakan ruang pejabat tetapi turut dilengkapi kemudahan teknologi maklumat serta ruang santai ‘YB Corner’ yang menyediakan ruang niaga makanan.
Pusat ini agak unik dan ia patut dicontohi dan konsep seperti itu dikembangkan ke tempat lain di negeri ini dengan matlamat utama ialah untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat.
“Tempat lain pun ada pusat khidmat serupa tetapi yang ada di sini lebih inovatif kerana saya sendiri lihat pusat ini hidup dan dikunjungi orang ramai hingga waktu malam,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, YB. Dato’ Ir Nawawi Ahmad; ADUN Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan dan Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Mohamad Fuzi Mohaiden.
Sumber : UMTK