Pelaburan Jana Pendapatan Rakyat

6pelaburan
ALOR SETAR 6 April - Kerajaan negeri akan terus menumpukan perhatian kepada pelaburan yang berintensifkan modal dan mampu menjana pendapatan yang tinggi kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, memang menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengamalkan pelaburan yang selektif dan lebih menjurus kepada teknologi tinggi.
“Kita sebenarnya sangat tidak minat pada pelaburan yang berintensifkan buruh atau pekerja, kita tidak mahu ada kilang datang sini sebagai contohnya untuk buka peluang kerja kepada 10,000 orang tetapi gajinya RM400 hingga RM500.
“Jika ada cadangan seperti ini kita minta mereka lihat negara lain, mungkin Indonesia atau Vietnam lebih sesuai dengan tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) pada sesi soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini.
Menurut Mukhriz, gaji purata bulanan pekerja di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) adalah RM6,400 dan dijangka terus meningkat.
“Jenis pelaburan yang mampu memberikan pendapatan tinggi kepada pekerja yang kita mahu, bukan tidak ada kerja yang melibatkan tenaga buruh di KHTP tetapi jumlahnya adalah kecil,” jelasnya.
Sementara itu, Mukhriz memberitahu, walaupun ekonomi ne-geri ini disebut-sebut antara yang ketinggalan berbanding negeri lain, itu tidak bermakna kerajaan ne-geri hanya ‘goyang kaki’ dan tidak melakukan apa-apa untuk menarik pelabur ke negeri ini.
“Sepanjang 2010 hingga 2014, jumlah pelaburan tempatan dan pelaburan asing yang dicatatkan di Kedah adalah sebanyak RM16.5 bilion.
“Bidang yang menjadi keutamaan pelabur bagi tahun tersebut adalah elektronik dan produk elektrikal yang berjumlah RM11.4 bilion melalui 41 projek yang menyediakan 12,732 peluang kerja kepada rakyat,” jelasnya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan