Kedah Bangunkan Industri Tenusu



5kedah
PENDANG 5 April - Koperasi Penternak Tenusu Negeri Kedah dan ADMC Dairy Farm Sdn. Bhd., me­meterai memorandum persefahaman (MoU) bagi projek penternak­an lembu tenusu di bawah kluster tenusu, projek permulaan 13 (EPP 13) untuk memajukan pembangun­an industri tersebut di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama strategik tersebut memberi manfaat kepada 60 peserta projek sosial itu iaitu mereka akan memperoleh latihan daripada aspek ekonomi, teori dan praktikal berhubung penternakan lembu yang berdaya maju.
Selain itu, beliau berkata, projek penternakan tersebut turut memberi manfaat kepada pihak yang mempunyai kaitan dengan industri itu seperti penyediaan makanan lembu dan logistik serta pelbagai lagi.
“Antara perkara yang dapat dilaksanakan dalam kerjasama ini adalah mengurus Pusat Perkhid­matan Industri Tenusu (PPIT), Sungai Petani dengan restu pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan mengurus Heifers Park di Bedong.
“Selain itu, turut melibatkan mengurus Koloni Tenusu dan latih­an serta bimbingan perternakan tenusu berteknologi tinggi bagi ahli-ahli Koperasi Penternak Tenusu Negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Koperasi Penternak Tenusu Ne­geri Kedah dengan ADMC di Paya Mak Inson di sini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob dan Pengarah Urusan ADMC, Dominic Antoni.
Mukhriz berkeyakinan, melalui kerjasama projek tenusu tersebut, ADMC dapat membantu para penternak lembu tenusu untuk mening­katkan sumber pendapatan penternak kecil.
“Seterusnya, menjadi sebuah syarikat yang menjadi tonggak pembangunan negara dengan meningkatkan pendapatan negara kasar (GNI)/keluaran dalam negara kasar (GDP) melalui projek ini,” katanya.
Sementara itu, Suraya berkata, melalui projek tersebut, ADMC akan menambah 500 ekor lembu yang akan dapat menyumbangkan hasil tenusu kepada 1.3 juta liter setahun.
“Ini melibatkan penambahan 14 peratus kepada pengeluaran susu negeri. Dengan terlaksananya projek ini juga, dijangka negeri akan dapat menghasilkan 2.3 juta liter pada 2017, iaitu tiga tahun lebih awal dari jangkaan pada 2020.
“Pengeluaran susu negeri pada tahun lalu ialah sebanyak 934,441.4 liter dengan nilai industri RM 2.34 juta. Pengeluaran susu negeri menyumbang 3.76 peratus kepada pengeluaran susu negara,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan