Kecemerlangan Pendidikan Elak Ketinggalan



15kecemerlangan
SIK 15 April - Daerah ini akan memberikan fokus utama kepada pembangunan pendidikan kepada pelajar-pelajar di semua peringkat sekolah agar selari dengan daerah-daerah lain yang lebih maju.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, fokus utama kepada setiap pelajar amat perlu supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
"Fokus utama kepada setiap pelajar amat diperlukan supaya mereka lebih diberi perhatian ketika sesi pembelajaran dan latihan di sekolah. Fokus ini penting demi pembangunan pelajaran terutamanya kepada penduduk luar bandar supaya ianya seiring kemajuan pelajar-pelajar di bandar yang mempunyai banyak kemudahan," jelasnya pada Majlis Penyerahan Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) sempena Program Membara Motivasi Hala Tuju Pelajar Bersama Waris di Dewan Sekolah Menengah Sik.
Menurutnya, pihak sekolah, Biro Pendidikan UMNO Bahagian, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing supaya setiap pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Tambahnya, fokus utama itu seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi dan fokuskan kepada setiap pelajarnya untuk peningkatan pelajaran mereka pada masa hadapan.
"Saya mahu melihat pendidikan di daerah ini selari dah setanding dengan daerah-daerah lain yang maju dan mengurangkan jurang perbezaannya. Daerah ini seharusnya dijadikan sebagai daerah cemerlang dalam pendidikan dan perlu berada di antara lima tangga teratas di negeri ini," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang SPM, Siti Maisarah Aziz, 18, yang memperolehi semua A berkata, kejayaannya itu amat mengejutkannya. Beliau hanya meletakkan harapan yang biasa sahaja tetapi tidak menyangka akan memperolehi keputusan sebaik itu.
"Selain daripada menghadiri kelas-kelas tambahan di sekolah, saya juga banyak menggunakan tips peta minda untuk mengingati semua pelajaran yang saya belajar," tambahnya.
Pelajar terbaik STPM, Murnihati Kamaruzaman, 20, yang memperolehi 4.0 CGPA berkata, dorongan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan amat bermakna baginya kerana ia pencetus semangat untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Sumber : UMTK