Umat Islam Perlu Jayakan Agenda Perpaduan



4umat
ALOR SETAR 3 Mac - Umat Islam perlu bersama dengan kerajaan bagi menjayakan agenda perpaduan agar selari dengan garis panduan kehidupan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, untuk itu, rakyat perlu memainkan peranan dengan menunjukkan sikap hormat-meng­hormati walau­pun usaha ter­sebut mengambil masa agak lama.
“Jika ini kita boleh amalkan, maka saya percaya banyak perkara yang tidak diingini dapat kita elakkan.
“Seterusnya, saya ingin mengajak segenap lapisan rakyat untuk sama-sama memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan dalam menghadapi apa cabaran yang mendatang,” katanya ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-36 di sini semalam.
Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Sebanyak 73 peserta menyertai majlis bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara” itu.
Pada masa sama, Mukhriz berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan tegas dalam memelihara kesucian agama Islam di negara ini.
“Ini dilakukan menerusi pemantauan dan tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu kesucian agama Islam meman­dangkan kemasukan ajaran yang menyeleweng bukan sahaja memudaratkan akidah ummah tetapi menyebabkan berlakunya perpecahan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dilaksanakan melalui pembinaan banyak sekolah agama antaranya maahad tahfiz.
“Pembinaan maahad tahfiz al-Quran di negara ini yang meng­gabungkan akademik, baha­sa­ Arab dan hafazan al-Quran me­ru­pakan salah satu langkah mengetengahkan usaha menghafaz al-Quran,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan