Talian Khas Puting Beliung Bakal Diwujud



25talian
KUBANG PASU 23 Mac - Kerajaan negeri akan mewujudkan talian khas untuk membolehkan orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian puting beliung yang melanda negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berbanding banjir yang kerap berlaku serta boleh dijangka, puting beliung merupakan satu fenomena baharu yang sukar untuk diramalkan bila dan dimana bencana itu akan berlaku.
“Kita mungkin boleh sediakan di peringkat daerah nombor telefon di mana orang awam boleh hubungi sekiranya nampak puting beliung untuk mudahkan laporan dibuat dan tindakan bantu mangsa boleh diambil segera.
“Kita mesti berjaga-jaga diperingkat negeri sebagai persediaan untuk menghadapi puting beliung ini kerana kejadian ini sukar diramal,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pakar Geografi dan Kajian Iklim Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Shaharuddin Ahmad mengenai Kedah dan Perlis yang berpotensi mengalami bencana alam puting beliung berikutan negeri itu berada hampir di kawasan iklim tropika selatan Thailand.

Shaharuddin berkata, dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan banyak haba akan dihasilkan dan mengikut proses edaran umum atmosfera haba akan bergerak ke utara atau selatan Khatulistiwa dan melihat pada kedudukan geografi kawasan yang kemungkinan besar dilanda puting beliung ialah Kedah dan Perlis.
Pada tahun lalu, sebanyak empat kejadian puting beliung dilaporkan melanda Kedah iaitu di Kampung Alor Besar, Pendang, Kampung Sungai Baharu, Taman Wira Mergong dan Kampung Sungai Nonang di sini.
Menurut Mukhriz, sekiranya laporan mengenai kejadian puting beliung di sesuatu kawasan di negeri ini dibuat segera ia boleh membantu penduduk di kawasan tersebut berpindah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan dan kemalangan jiwa.
“Selalunya selepas puting beliung ini berlaku baru bantuan kepada mangsa dan tahap kemusnahan boleh dinilai.
“Lebih bagus sekiranya kita tahu kejadian tersebut dengan lebih awal jadi kita ada persediaan untuk lindungi kawasan yang terlibat,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, Kedah e-Tutor (KET) yang menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan dilancarkan pada bulan depan.
“Sistem ini diharapkan dapat menyumbang sedikit sebanyak kefahaman kepada pelajar terhadap apa yg diajar di sekolah cuma kita kena pastikan perkhidmatan jalur lebar yang laju di beberapa sekolah yang ada di Sik, Pendang dan Baling,” katanya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan