KXP, Spike Bakal Jana Ekonomi Di Utara

8kulim
KULIM 6 Mac - Penduduk di negeri wilayah utara akan mendapat manfaat besar daripada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Lebuhraya Su­ngai Petani-Kedah (Spike) jika ia terlaksana kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, penduduk di kawasan sekitar akan turut merasai bahang pertumbuhan ekonomi dan pe­ningkatan peluang pekerjaan hasil daripada projek tersebut.
“Peluang orang luar untuk datang melabur di negeri Kedah, termasuk di daerah Kulim pasti jadi bertambah dan perancangan dibuat oleh kerajaan negeri dalam merangka pembangunan untuk memajukan rakyat adalah serius sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Program Latihan Tindakan Kesemasan Menyeluruh 2015 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, hari ini.
Seramai 20 anggota Bomba dan Penyelamat di KHTP yang diketuai oleh jurulatihnya, Mohd Azizi Abdullah membuat satu pertunjukan kerja-kerja menyelamat setelah sebuah trak membawa dua tong bahan kimia terlanggar tiang lampu dan pemandunya cedera dan tidak sedarkan diri.
Menurut Ku Abdul Rahman, cadangan pembinaan Lebuhraya Spike, sejauh 80 kilometer dari Plaza Tol Bagan Samak di Bandar Baharu melalui Pekan Serdang, ke KHTP hingga ke Lebuh Raya Plus di Sungai Petani kini dalam kajian terperinci kerajaan.
“Pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi kini sedang menjalankan kajian lebih mendalam kerana lebuh raya tersebut perlu dibina dahulu sebelum projek lapangan terbang dibina,” katanya.
Menyentuh tentang program kata beliau, langkah diambil oleh pihak pengurusan KHTP dengan mengadakan kemudahan penyelamat di kawasan perindustrian berkenaaan adalah baik sekali.
“Saya puas hati dengan latihan dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat di sini berjaya akhirnya mewujudkan Program Latihan Tindakan Kecemasan Menyeluruh di KHTP dan keadaan kawasan ini telah banyak alami perubahan berbanding 20 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu kata Presiden Kulim Teknologi Park Corporation (KTPC), Datuk Annuar Mohd Saffar, ketika ini terdapat lebih daripada 35 syarikat multinasional, 30 syarikat sokongan, penyelidikan dan pembangunan, institusi pengajian tinggi (IPT) beroperasi di kawasan itu dengan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kita akan terus berusaha bagi memastikan mereka yang berada dalam kawasan KHTP sentiasa dalam keadaan selamat dan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menjayakan program ini, amat dihargai sekali,” katanya.
Oleh : Razak Osman
Sumber : Utusan