Kedah Peruntuk RM347.3 Juta




1kedah
PENDANG 1 Mac - Kerajaan negeri akan me­laksanakan empat projek bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM347.3 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan loji air di Pokok Sena bernilai RM60 juta, loji rawatan air di Kulim dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bernilai RM61.7 juta.
Beliau menambah, dua lagi projek adalah pembinaan loji Pelubang bernilai RM200 juta dan projek bekalan air Padang Terap bernilai RM26.5 juta di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Projek berkenaan boleh dilihat sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk mengatasi masalah ini sebab kita tahu Kedah merupakan sebuah negeri yang mempunyai kadar turun hujan yang agak tinggi.
“Tetapi ada beberapa bulan tertentu kita menghadapi kemarau, sepatutnya masalah bekalan air tidak perlu timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pembangunan sempena program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Pendang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pihaknya akan terus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.
Beliau berkata, perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan juga akan diadakan sebagai salah satu inisiatif menyelesaikan masalah tersebut.
Ketika ditanya mengenai paras air empangan di negeri ini, beliau berkata, sehingga kini paras air masih terkawal dan belum lagi sampai ke tahap kritikal.
“Walaupun begitu, pengguna perlu berjimat cermat, jangan kita tidak berhemat dalam penggunaan air walaupun masih banyak.
“Waktu banyak inilah kita kena berjaga-jaga supaya jangan nanti sudah kurang baru kita simpan air,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan