Jerlun Bakal Jadi Daerah Baharu Di Kedah



11jerlun
ALOR SETAR 11 Mac - Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Jerlun sebagai sebuah daerah baharu di Kedah bagi merancakkan pembangunan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, sudah sampai masanya Jerlun yang kini berada di dalam daerah Kubang Pasu, dijadikan satu daerah baharu.
“Kubang Pasu adalah sebuah daerah yang besar, jadi untuk memberi fokus kepada pembangunan Jerlun kerajaan negeri bersetuju untuk menjadikan Jerlun sebagai sebuah daerah baharu.
“Proses dan prosedur yang diperlukan untuk menjadikan Jerlun sebagai daerah baharu telah dijalankan dan kini kita sedang menunggu maklum balas daripada kabinet dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Integriti Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini semalam.
Pada masa ini, Kedah mempunyai 12 daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Langkawi, Pokok Sena, Pendang, Bandar Baharu, Yan, Padang Terap, Baling dan Sik.
Menurut Badrul Hisham, perkara itu dijangka mengambil sedikit masa memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan sebelum Jerlun boleh diumumkan sebagai daerah baharu di Kedah.
Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar ahli-ahli majlis PBT Kedah yang dilantik bagi penggal 2015-2016 menjadi barisan kepemimpinan yang disegani dalam pelbagai segi.
“Mereka perlu melengkapkan diri dari segi ilmu pengetahuan, pengalaman, kematangan berfikir, bertanggungjawab terhadap tugas, serta keluhuran peribadi dan akhlak.
“Sungguhpun gelanggang ahli majlis terhad dalam sempadan perkhidmatan PBT masing-masing, namun biarlah sejarah membuktikan, bahawa jasa dan bakti yang dicurahkan, bukanlah suatu yang sia-sia.
“Sebaliknya, khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi, akan terpahat sebagai lambang perjuangan yang abadi,” jelasnya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan