Jangan Pertikai Pembayaran Ex Gratia



19sabrina
Bandar Baharu 17 Mac - Para penduduk yang tinggal di tanah kerajaan dan terlibat dengan projek pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa tiga di tebing Sungai Kerian, diminta agar tidak mempersoalkan bayaran ex gratia sebanyak RM42,000 yang bakal diterima mereka memandangkan jumlah itu sememangnya setara di seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor­sabrina Mohd. Noor berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu malah mereka juga seharusnya bersyukur kerana kerajaan tetap bersedia membayar ex gratia tersebut biarpun tanah yang diduduki sejak bertahun lamanya berstatus tanah kerajaan.
“Mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tidak akan membiarkan para penduduk itu begitu saja. Selain membayar ex gratia, beberapa usul akan dibawa ke me­syuarat exco kerajaan negeri akan datang bagi membela nasib mereka.
“Antara cadangan itu adalah memohon kerajaan negeri membeli tanah seluas 11.4 ekar di Teluk Geruguh, Mukim Bagan Samak yang terletak kira-kira hanya satu kilometer dari pekan Bandar Baharu untuk menempatkan kira-kira 202 keluarga yang dijangka terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 100 pelajar dalam daerah ini yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Pejabatnya, baru-baru ini.
Setelah siap dalam tempoh yang dijangkakan dua tahun, projek tersebut diyakini mampu menyelesaikan masalah banjir yang me­landa kawasan Bandar Baharu sejak sekian lama.
Bagaimanapun beberapa pihak terutamanya penduduk terlibat enggan membenarkan projek tersebut berjalan kerana tidak berpuas hati dengan tawaran diberi selain bimbang dengan nasib mereka yang akan kehilangan rumah masing-masing.
Mengulas lanjut, Sabrina berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sudah menjalankan perbincangan bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang setakat ini bersetuju untuk membina rumah teres bersubsidi untuk dimiliki penduduk terlibat.
“Jika semuanya berjalan lancar, penduduk terlibat boleh membeli rumah subsidi berkenaan dengan menggunakan wang ex gratia tersebut. Kerajaan negeri tidak boleh beri rumah secara percuma kerana tanah yang diduduki mereka selama ini sememangnya tanah milik kerajaan negeri.
“Kecuali jika tanah terlibat itu sememangnya milik persendirian. Maka kerajaan negeri akan memberi pampasan sewajarnya sesuai de­ngan nilai tanah terlibat kepada pemiliknya,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan di media-media sosial yang mengatakan projek tersebut hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan bagi sesetengah pihak semata-mata.
“Siapa mereka maksudkan, saya tak tahu. Projek ini mendapat per­untukan khas dari Kerajaan Pusat dan kontraktor terlibat dipilih sebelum saya menjadi wakil rakyat di sini lagi iaitu pada 2012.
“Ada juga cakap-cakap mengatakan saya takut bertemu penduduk. Insya-Allah, saya akan bertemu mereka selepas cadangan ini dikemukakan dalam mesyuarat Exco akan datang. Sebelum ini, saya tidak mahu berjumpa mereka tanpa ada berita untuk dikhabarkan,” katanya.

Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan