Peluang Bayar Deposit SADA Hingga Mei



26peluang
POKOK SENA 25 Febuari - Sebanyak 9,000 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) yang terlibat dengan caj pelarasan deposit diberi peluang sehingga Mei ini untuk membuat pembayaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, mereka boleh membayar caj pelarasan deposit yang dikenakan itu secara ansuran.
Katanya, kelonggaran yang diberikan kepada semua pemilik akaun berkenaan menunjukkan komitmen SADA dalam membantu rakyat negeri ini.
Advertisement
“Penyelarasan ini dilakukan kerana ada akaun pengguna yang depositnya kosong sebelum Jabatan Bekalan Air dikorporatkan menjadi SADA.
“Jadi, ini bukan untuk membebankan rakyat, sebelum kerajaan hendak buat, kita sudah mengadakan perbincangan dan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Advertisement
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina di Penjara Pokok Sena di sini hari ini.
Sebanyak 18 keluarga terlibat dalam majlis perjumpaan dengan banduan di penjara tersebut.
Yang turut hadir, Pengarah Penjara Pokok Sena, Kushairi Manap dan timbalannya, Faridon Md. Saad.
Pada masa sama, Badrul Hisham menjelaskan, jumlah pemilik akaun yang terlibat dengan pelarasan deposit tersebut adalah sebanyak 1.73 peratus daripada 540,000 akaun SADA keseluruhannya.
“Kadar caj deposit yang dikenakan juga berbeza bergantung kepada kategori premis, deposit untuk rumah kos rendah dan flat tidak melebihi RM100.
“Deposit bagi akaun bekalan air bagi rumah tempat ibadah dan dewan komuniti, institusi kerajaan serta organisasi tanpa untung dikecualikan daripada apa-apa kajian semula pelarasan,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai menggunakan air secara berhemat dan tidak melakukan pembaziran ketika cuaca panas melanda negara.
“Ini kerana kita tidak tahu sampai bila keadaan cuaca panas ini akan berterusan.
“Buat masa ini, paras air di Empangan Ahning, Pedu, Muda dan Beris berada dalam keadaan yang selesa,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan