20jalur

Oleh Jamliah Abdullah

JERLUN 20 Disember - Kerajaan negeri akan memastikan semua sekolah mempunyai kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi secepat mungkin bagi membolehkan program tuisyen dalam talian percuma, ezLearn2u dilaksanakan secara menyeluruh tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menaik taraf prasarana tersebut.

Katanya, daripada 729 sekolah di seluruh Kedah, sebanyak 519 sekolah mempunyai kemudahan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan empat megabit.

“Pelajar dari tahun empat sehingga tingkatan lima di semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan akan mendapat manfaat daripada program ini. Namun masih ada sekolah yang tidak ada jalur lebar berkelajuan empat megabit.

“Saya sudah berhubung dengan SKMM yang berjanji akan beri tumpuan untuk menyelesaikan perkara ini. Kita tidak mahu ada jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Mulai tahun depan apabila sesi persekolahan baharu bermula, perkhidmatan tuisyen percuma ini akan disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Wisma Jerlun di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi menjayakan program tersebut guru-guru sekolah akan menjalani kursus berkaitan sistem berkenaan tidak lama lagi.

“Kita perkenalkan sistem ini bukan untuk membebankan guru tetapi meringankan beban mereka. Selain itu kita juga akan libatkan ibu bapa dalam program ini,” katanya.

Sumber : Utusan

19program

Oleh Jamliah Abdullah

KUBANG PASU 19 Disember - Program motivasi seperti kem bina semangat amat re­levan dengan situasi pelajar pada hari ini yang terdedah dengan pelbagai anasir negatif terutama aktiviti militan di Syria.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengukuhan jatidiri, iman dan akhlak yang menjadi benteng terbaik bagi golongan tersebut boleh diterapkan dalam setiap program kem bina semangat.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui pembentangan Bajet Kedah 2015 juga memperuntukkan seba­nyak RM2 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan terma­suk kem bina semangat bagi golongan muda negeri ini.

“Kita ada undang-undang kalau seorang itu mempunyai hasrat sampai mengatur supaya boleh ke Syria, ada dalam kalangan mereka ditahan oleh polis seperti berlaku pada masa kini.

“Itu (penguatkuasaan) tidak mencukupi. Apa yang kita cuba lakukan adalah mengenai jati diri, iman dan akhlak kepada seseorang insan itu agar ia jadi bentang mengelak mereka daripada diperkotak-katikkan atau dipesong oleh anasir jahat.

“Benteng atau pertahanan terbaik adalah dari dalaman diri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedah Summer Camp 2014 anjuran kerajaan negeri di Kem Paya Pahlawan, Jitra dekat sini hari ini.

Beliau yang turut melahirkan rasa bimbang dengan penglibatan anak muda dalam aktiviti militan itu berkata, golongan yang terjebak dengan anasir tersebut sebenarnya jauh menyimpang daripada pega­ngan Islam dan diperalatkan oleh golongan ter­tentu.
“Saya dapati mereka yang terjebak dipengaruhi anasir luar kononnya untuk berjihad tetapi sebenar­nya jauh menyimpang dan diperalatkan sampaikan ke peringkat geopolitik antarabangsa dan cemar nama baik Islam.

“Saya harap tidak ada lagi orang Malaysia khususnya di Kedah dipe­ngaruhi oleh anasir itu,” katanya.

Sumber : Utusan

18bantuan

SIK 18 Disember - Seramai 544 pelajar sekolah rendah yang tidak bernasib baik mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri apabila mereka menerima set lengkap pakaian sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, mereka amat perihatin dengan pencapaian pembelajaran pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar luar bandar.

"Untuk mencapai kecemerlangan, pelajar-pelajar perlu diberi perhatian dan galakan supaya mereka lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk menempuh persekolahan pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan UMNO Bahagian Sik.

Menurutnya, bantuan diberikan kepada pelajar-pelajar miskin untuk membantu ibu bapa mereka bagi meringankan bebanan yang ditanggung terutamanya pada musim sesi persekolahan 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan berkata, bantuan yang disampaikan itu merupakan amalan tahunan yang diberikan untuk pelajar-pelajar sekolah dan jumlah peruntukan yang diberikan semakin bertambah.

"Dengan kerjasama daripada wakil-wakil rakyat yang ada, untuk tahun 2014 sebanyak RM50,000 diperuntukan kepada mereka dan ia melebihi daripada tahun-tahun yang lalu,”  jelasnya.

Tambahnya, jika sekiranya ada pelajar-pelajar yang tercicir dan mereka juga memerlukan bantuan pakaian sekolah, harap ibu bapa ataupun wakil-wakil di cawangan tampil ke hadapan memaklumkan kepada pihaknya supaya pelajar berkenaan juga mendapat bantuan.

Sumber : UMTK

17tuisyen

Oleh Jamliah Abdullah

ALOR SETAR 17 Disember - Kerajaan negeri akan memperkenalkan tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, sebanyak RM18 juta akan diperuntukkan bagi program tersebut yang kelak memanfaatkan kira-kira 340,000 pelajar dari 729 sekolah seluruh negeri ini.

Katanya, tuisyen percuma yang merangkumi sebanyak 80 mata pelajaran itu akan membabitkan semua pelajar sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan dan Maktab Mahmud.

‘’Pembentangan bajet negeri baru-baru ini telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi membantu pelajar sekolah khususnya dari tahun empat hingga tingkatan lima dalam mencapai prestasi pendidikan lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada usaha kita untuk menjadi lima terbaik dalam pendidikan.

“Jadi, kita ambil tindakan melalui persiapan perkhidmatan tuisyen kepada pelajar terbabit sebagai inisiatif,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Tambah Mukhriz, sebagai persediaan, kerajaan negeri akan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar di sekolah-sekolah terbabit terutama di kawasan luar bandar.

‘’Saya terima laporan sebanyak 519 sekolah telah mempunyai perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan empat mega bit tetapi selebihnya tidak lagi,” kata beliau.

Sumber : Utusan

17program

LANGKAWI 17 Disember -  Peralihan memasuki alam remaja menjadi pengalaman yang mengembirakan bagi 60 kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah.

Program julung-julung kali diadakan itu membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun yang dianjurkan bersama Klinik Kesihatan Kuah (KKK).  Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor  Saidi Nanyan.

Majlis menjadi lebih meriah apabila semua kanak-kanak terbabit dimandikan dengan semburan air yang disediakan pasukan bomba dan penyelamat sambil disaksikan lebih 100 tetamu.

YB. Nor Saidi berkata, sesi berkhatan percuma itu dianjurkan bagi membantu kanak-kanak dan waris yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama. Pemilihan kanak-kanak masing-masing dibuat oleh tujuh sekolah rendah dan lebih 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) dalam DUN Kuah.

"Bagi menampung penyertaan yang ramai ini, pihak KKK menugaskan lebih 10 petugas perubatan di samping dibantu jururawat bagi melancarkan program itu,” ujarnya.

Ashadam Isaac Rizal, 9 tahun berkata, dia tidak pernah takut untuk menjalani proses berkhatan, sebaliknya dia menganggap dirinya sudah dewasa selepas selesai menempuh pengalaman istimewa itu.

Mohd Haidal Ismail, 8 tahun dari Kampung Bohor Merah berkata, dia juga tidak takut untuk berkhatan bagi memastikan anggota badannya sentiasa bersih.

"Program ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang hilang apabila melihat ramai rakan sebaya turut berkhatan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi ahli bomba.

Sumber : UMTK

17motivasi

SIK 17 Disember - Sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jeneri (SMKJ) turut mengadakan persediaan sebagai pecutan akhir mereka.

Seramai 300 calon SPM termasuk 60 orang waris mengikuti program Motivasi Perdana Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah 2014 Peringkat Daerah Baling/Sik di Dewan SMKJ, semalam.

Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Rani berkata, program ini diadakan khusus untuk pelajar-pelajar yang akan menghadapi SPM pada tahun 2014. GPMS mengambil inisiatif bagi membantu pelajar SPM untuk menambahkan keyakinan mereka ketika menghadapi SPM.

Menurutnya, GPMS mahukan pelajar-pelajar berkenaan dapat menguasai teknik-teknik menjawab soalan dengan lebih berkesan dan mahir. Dengan sebab itu, mereka turut diajar teknik-teknik menjawab soalan dengan betul di samping motivasi dan ceramah berkenaan bahayanya pengambilan daun ketum," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bina Darulaman Berhad, Datuk Izham Yusoff ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka.

Calon SPM, Muhammad Rashid Zainol berkata, SPM adalah penentu untuknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau telah bersedia untuk menghadapi SPM dan harapan saya agar Allah memberikan kekuatan kepada saya dan memudahkan usaha saya ketika menjawab soalan-soalan SPM.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sumber : UMTK

17rilex

BALING 17 Disember - Masyarakat disarankan untuk sama-sama membantu menangani 'penyakit' penagihan dadah di kalangan mereka yang ingin berubah.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, 'penyakit' penagihan dadah ini amat membimbangkan kerana ia boleh membawa padah kepada mereka yang mengamalkannya.

"Penyakit ini amat merbahaya kepada diri mereka, termasuk juga kepada keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Ia perlu ditangani dengan kerjasama kita semua dan bukan hanya pihak polis ataupun Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sahaja yang menanganinya," katanya ketika berucap pada Majlis Rileks Santai Bersama Orang Kena Pengawasan (OKP) "Jaga Dia Untukku" di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Baling.

Beliau juga tidak mahu mereka ini dianggap sebagai sampah masyarakat dan mahukan semua pihak turut sama berjuang dan berusaha untuk memulihkan mereka daripada penagihan dadah.

"Walaupun pemulihan ini adalah daripada usaha dan kehendak mereka sendiri, tetapi kita perlu memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral kepada mereka supaya mereka tidak terjebak lagi dengan kancah dadah," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah AADK Negeri Kedah, Mohammad Nazer Mustafa; Ketua Polis IPD Baling, Superitendan Mat Daud Mat Hassan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Sumber : UMTK

15sumbanganlagi

CHANGLOON 15 Disember –  Golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan warga emas menerima sumbangan bersempena bulan Ramadan di Perkarangan Pasaraya C’Mart, di sini.

Program anjuran RTM Kedah bersama Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB. Dato’ Wira Mohd Johari Baharom.

YB. Dato’ Wira Mohd Johari Baharom dalam ucapannya berkata, program yang diadakan itu adalah Program Mai Singgah RTM bersama Parlimen Kubang Pasu.

“Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat mendekatkan pihak RTM dengan pemimpin masyarakat serta rakyat,” katanya.

Sumber : UMTK

15sumbangan

SUNGAI PETANI 15 Disember -  Seramai 60 waris dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka menerima sumbangan Skim Khairat Kematian di Pusat Khidmat DUN Pantai Merdeka.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya.

Sumbangan yang disampaikan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga waris berkenaan.

Sumber : UMTK

15kedah

ALOR SETAR 15 Disember -  Kedah berjaya mengatasi Pulau Pinang dari segi kemasukan pelaburan sehingga Mei 2014 apabila merekodkan RM4 bilion iaitu melebihi RM 900 juta berbanding jirannya itu yang hanya menerima RM3.1 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kebanyakannya membabitkan kemasukan baru dan pelaburan semula di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan kawasan perindustrian di Sungai Petani.

Beliau berkata, kebanyakannya berminat melabur kali pertama atau membina kilang di KHTP kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang bersesuaian dengan persekitaran dan suasana semasa. KHTP mampu memberi ‘value for money’ untuk setiap pelaburan yang dilakukan berikutan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“KHTP mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri. Semua proses permohonan dan kelulusan hanya perlu melalui pusat sehentinya yang mengambil masa begitu singkat berbanding prosedur di jabatan kerajaan yang lain. Ia juga mempunyai tanah yang luas dan mampu memenuhi permintaan dari syarikat atau pelabur yang berminat, terutama untuk tujuan pelaburan semula atau membesarkan operasi kilang,” katanya.

Tambahnya, harga tanah yang kompetitif di kawasan itu berbanding Pulau Pinang turut menjadi tarikan utama pelabur luar dan tempatan membuat pertimbangan melabur di KHTP. Ramai pelabur memaklumkan harga tanah yang ditawarkan lebih murah berbanding di negeri jiran itu menyebabkan Kulim dan beberapa kawasan lain di Kedah menjadi pilihan utama untuk pelaburan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, pelbagai pihak membuat banyak pertanyaan mengenai peluang pelaburan yang ada di negeri ini sekarang. Memang Kerajaan Negeri akui sejak pertengahan tahun 2013, banyak syarikat dan individu menyatakan minat untuk melabur di Kedah. Ia tidak terhad untuk sektor perindustrian sahaja tetapi melibatkan bidang atau sektor lain.

“Mereka yakin dengan kestabilan politik yang wujud di Kedah selain hubungan erat antara negeri dan pusat. Ini akan memudahkan segala urusan yang berkaitan berbanding Kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Sumber : UMTK

15pelajar

ALOR SETAR 15 Disember – Seramai 307 pelajar di Parlimen Alor Setar menerima sumbangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2013 di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, di sini.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB. Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sumbangan bernilai RM126,700 daripada Kerajaan Negeri Kedah sebagai semangat kepada pelajar di negeri ini untuk menyambung pengajian.

“Sebanyak 21 pelajar peringkat sijil menerima RM100  manakala 92 pelajar peringkat diploma menerima RM300 diikuti 194 pelajar peringkat ijazah menerima RM500 setiap seorang.

“Pihak kami mengharapkan pelajar yang menerima sumbangan ini menggunakan wang dengan sebaiknya untuk tujuan pengajian masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang berminat mendapat sumbangan untuk 2014, ibu bapa pelajar boleh mengemukakan dokumen berkaitan ke pusat khidmatnya.

“Kita masih membuka permohonan sehingga kini. Sebenarnya ada yang masih belum mengetahui bantuan Kerajaan Negeri termasuklah sumbangan wang IPT ini.

“Sesiapa berhasrat mendapatkan sumbangan diminta membawa salinan surat tawaran pengajian dan kad pengenalan ke Pusat Khidmat DUN Bakar Bata,” ujarnya.

Sumber : UMTK

15kurangkan

ALOR SETAR 15 Disember – Kesedaran masyarakat amat penting dalam membendung wabak virus kencing tikus dan demam denggi dari terus menular secara berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Negeri Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kempen kesedaran tentang kesan bahaya wabak berkenaan hingga boleh membawa kepada kematian.

“Kita juga turut meminta jasa baik Jabatan Penerangan Kedah untuk kerap kali menghebahkan mengenai pelbagai maklumat berkaitan wabak supaya masyarakat lebih peka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Menurutnya, sehingga Jun 2014 kira-kira 134 pesakit yang disahkan mengidap virus kencing tikus dan tiga daripadanya dari Langkawi, Sik serta Padang Terap dilaporkan meninggal dunia sementara tahun 2013 mencatatkan 11 kes.

“Sikap serta tabiat baik anggota masyarakat mampu mengawal penularan wabak ini apabila sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata ketika berkunjung ke kawasan hutan lipur. Apabila persekitaran kotor, tikus mudah membiak seterusnya turut menyebarkan virus.

“Mereka tidak perlu takut ke kawasan hutan lipur disebabkan kes seperti ini, sebaliknya kena lebih berhati-hati. Kerajaan sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk menaiktaraf kawasan riadah dan tanggungjawab menjaga kebersihan terletak di bahu semua pihak,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perlu ada satu jabatan khusus boleh mengawasi kerja-kerja membasmi tempat pembiakan tikus supaya dapat dibuat secara lebih sistematik. Berbanding sekarang beberapa jabatan seperti kesihatan, perhutanan dan pihak berkuasa tempatan terlibat dalam memantau hutan lipur yang didapati berlaku penyebaran virus kencing tikus.

Sumber : UMTK

15wujud
ALOR SETAR 15 Disember – Dasar Perumahan Negeri akan dimuktamadkan pada Oktober 2014 sebagai langkah untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim, Kerajaan sedang mengkaji dan menambah baiknya agar memberi manfaat kepada semua pihak.

Menurutnya, dasar perumahan yang baru itu akan diperkemaskan dari segi levi, komposisi dan harga rumah yang akan dibina pada masa akan datang agar relevan dengan matlamat Kerajaan menyediakan rumah mampu milik.

“Pada masa sekarang, kita masih menggunakan dasar lama dan sedang mengemas kini beberapa aspek yang perlu diambil kira supaya rumah mampu milik, terutama kos sederhana dapat direalisasikan. Kita sedang memberi taklimat kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai dasar itu,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun dirangka sejak e mpat tahun lalu, pelaksanaannya tidak perlu dilakukan tergesa-gesa agar tidak menimbulkan sebarang kesan kelak.

“Dasar Perumahan Negeri turut mengambil kira dan akan memastikan setiap isi rumah tempatan mampu memiliki rumah berdasarkan tahap kemampuan,” jelasnya.

Sumber : UMTK